Sudah dua tahun Kerajaan Madani mentadbir, tetapi ia masih lembab dalam melaksanakan reformasi yang dijanjikan untuk memajukan demokrasi di negara kita, malah kebebasan bersuara masih disekat oleh pelbagai undang-undang represif dan tindakan intimidasi daripada pihak berkuasa.

“Dalam manifestonya pada tahun 2022, Kerajaan Madani berjanji untuk melaksanakan banyak reformasi yang diperlukan terhadap undang-undang dan institusi-institusi yang menyekat kebebasan bersuara, tetapi janji-janji ini masih belum ditunaikan,” begitu tulisnya Laporan Keadaan Kebebasan Bersuara di Malaysia 2024. “Setakat ini, kerajaan tidak melakukan banyak kemajuan dalam agenda reformasinya, tetapi telah memperluaskan penapisannya melalui pindaan atau penggubalan undang-undang baharu. Reformasi seperti menubuhkan Majlis Media Malaysia dan menerima pakai perundangan hak untuk bermaklumat telah maju ke hadapan pada tahun ini, tetapi kekurangan keterdesakan dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif ini menjejaskan komitmen untuk melindungi kebebasan bersuara, kebebasan media dan hak untuk bermaklumat.”

Laporan Keadaan Kebebasan Bersuara di Malaysia 2024” yang diterbitkan oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) telah dilancarkan pada 14 Disember 2024. Laporan ini memberikan gambaran yang menyeluruh tentang situasi ruang kebebasan bersuara di negara kita pada masa ini dan juga sejauh mana kemajuan atau kemunduran dalam perlindungan hak kebebasan bersuara.

Berikut ialah penilaian CIJ terhadap komitmen kerajaan dalam kebebasan bersuara

JanjiMungkir janjiTiada kemajuanSedang berjalan
Akta Hasutan√   
Akta Mesin Cetak dan Percetakan√   
Akta Komunikasi dan Multimedia√   
Gubal Akta Kebebasan Maklumat  √ 
Pinda Akta Rahsia Rasmi √  
Tubuh Majlis Media  √ 
Lindungi pemberi maklumat √  

Daripada data yang dikumpul oleh CIJ melalui pemantauan laporan media dalam talian, tidak banyak perbezaan dalam penggunaan akta-akta yang menyekat kebebasan bersuara pada tahun 2024 (dari Januari hingga November) berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023 yang melibatkan penyiasatan polis, penangkapan dan pendakwaan. Menurut pemantauan CIJ, antara bulan Januari dan November 2024, undang-undang yang menyekat kebebasan digunakan sebanyak 187 kali. CIJ telah memantau dan menganalisis 105 kes yang unik, mendapati bahawa pelbagai undang-undang sering digunakan terhadap peristiwa atau dakwaan kesalahan yang sama.

Pecahan angka kes yang dicatatkan (di mana angka sebenar mungkin lebih besar) adalah seperti berikut:

Undang-undang2023 (Jan-Nov)2024 (Jan-Nov)
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (menjenayahkan penggunaan rangkaian yang tidak wajar, dan sebagainya)10399
Akta Hasutan 1948 (menjenayahkan wacana yang dianggap menghasut)3119
Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (menjenayahkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam)3019
Seksyen 298 + Seksyen 298(a) Kanun Keseksaan (mengucapkan kata-kata, dan sebagainya, dengan niat yang untuk melukakan perasaan keagamaan mana-mana orang; menyebabkan, cubaan untuk menyebabkan, atau berkemungkinan akan menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat)614
Seksyen 504 Kanun Keseksaan (menjenayahkan penghinaan yang sengaja dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan614
Akta Perhimpunan Aman 2012 (mengawal selia perhimpunan awam)1214
Seksyen 500 Kanun Keseksaan (menjenayahkan pemfitnahan)1311
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (mengawal akhbar bercetak)33
Jumlah193187

CIJ dan pelbagai pihak lain mendapati bahawa pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 9 Disember 2024 itu agak membimbangkan, kerana ia akan mempertingkatkan lagi aspek penghukuman di bawah akta itu dan mengembangkan skop serta kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Pindaan baharu terhadap Seksyen 233 akta itu masih merangkumi terma-terma yang meluas dan tidak jelas, malah diburukkan lagi dengan kuasa yang semakin meningkat dan tindakan menghukum yang berat.

Selain penggunaan undang-undang untuk menyekat kebebasan bersuaran, “Laporan Keadaan Kebebasan Bersuara di Malaysia 2024” juga menyentuh pelbagai isu lagi, termasuk privasi dalam ruangan digital, kebebasan media, hak untuk bermaklumat, “litigasi strategik terhadap penyertaan awam” (SLAPP) atau saman ugutan, perhimpunan aman, kebebasan seni dan gender.

CIJ mengemukakan cadangan-cadangan berikut untuk memperkukuhkan kebebasan bersuara:

1. Memastikan sebarang cubaan untuk mengehadkan hak perlembagaan rakyat untuk kebebasan bersuara dan hak untuk bermaklumat mematuhi prinsip-prinsip hak asasi manusia dan piawaian antarabangsa dengan memenuhi kriteria seperti:

    • Ia berasaskan kerangka undang-undang;
    • Ia berdasarkan keperluan multak dan bukan sewenang-wenangnya; dan
    • Ia adalah berkadar dan dibuat demi kepentingan awam.

    2. Mewujudkan ruang yang selamat dan telus untuk rakyat terlibat dalam perbincangan yang terbuka dan membina sambil menegakkan nilai-nilai demokratik. Menggunakan perundangan yang menyekat yang menimbulkan ketakutan atau penguatkuasaan tidak adil untuk menyekat atau membuli individu-individu yang menyatakan pendapat yang berbeza atau tidak menghormati kerajaan adalah tidak boleh diterima dan harus dielakkan sama sekali dalam apa jua keadaan.

    3. Menghentikan penapisan dan pengharaman seni dan persembahan seni, termasuk satira.

    4. Memulakan pembaharuan undang-undang yang komprehensif berdasarkan kewajipan hak asasi manusia antarabangsa Malaysia, dan meminda atau memansuhkan undang-undang berikut:

    • Akta Penapisan Filem 2002,
    • Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981,
    • Akta Rahsia Rasmi 1972,
    • Akta Perhimpunan Aman (Pindaan) 2019,
    • Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,
    • Akta Hasutan 1948,
    • Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,
    • Seksyen 114A Akta Keterangan (Pindaan)(No. 2) 2012,
    • Seksyen 203A Kanun Keseksaan,
    • Seksyen 298A Kanun Keseksaan,
    • Seksyen 500, 504 dan 505(b) Kanun Keseksaan.

    5. Mewujudkan moratorium terhadap penggunaan undang-undang ini sementera melaksanakan inisiatif-inisiatif pembaharuan.

    6. Mendukung rejim maklumat yang progresif dan tadbir urus terbuka dengan menggubal undang-undang Hak Bermaklumat.

    7. Meratifikasi semua perjanjian hak asasi manusia antarabangsa dan protokol pilihan yang masih tertangguh.

    8. Menggubal undang-undang anti-SLAPP dan memupuk persekitaran toleransi sifar terhadap tindak balak terhadap pembela hak asasi manusia dan pengamal media.

    9. Menyahjenayahkan pemfitnahan dan membenarkan prosiding pemfitnahan terletak di bawah bidang kuasa undang-undang sivil, bukannya undang-undang jenayah.

    10. Membangunkan sebuah pelan tindakan atau rangka kerja kebangsaan demi melindungi kebebasan wanita dan kanak-kanak perempuan untuk berpendapat dan bersuara dalam talian/ruangan digital dengan menghapuskan dan mencegah keganasan berasaskan gender dalam talian.

    11. Memansuhkan semua undang-undang dan langkah-langkah yang mendiskriminasi, termasuk maklumat tidak benar, serbuan dan penapisan terhadap golongan LGBTQ.

    CIJ juga mencadangkan perkara-perkara berikut untuk memperkukuhkan kebebasan media:

    1. Mewujudkan persekitaran yang membolehkan media berfungsi secara bebas dan tanpa ketakutan terhadap akibat daripada fungsi pelaporannya.

    2. Menggugurkan semua penyiasatan dan berjanji untuk menghentikan semua tindakan mengintimidasi dan tindakan buruk terhadap media dan wartawan pada masa hadapan.

    3. Menyemak semula, meminda dan memansuhkan undang-undang represif yang menyekat kebebasan media supaya selaras dengan hak asasi untuk kebebasan bersuara, khususnya:

    • Akta Rahsia Rasmi 1972,
    • Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,
    • Akta Hasutan 1948, dan
    • Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    4. Menubuhkan Majlis Media Malaysia sebagai badan kawal selia kendiri dan telus dan beas untuk perusahaan media dengan menerima pakai hasil kerja Jawatankuasa Protem yang dibentuk pada bulan Januari 2020.

    Berkenaan peraturan media sosial, CIJ mencadangkan supaya:

    1. Menubuhkan sebuah majlis media sosial sebagai rangka kerja pengawalseliaan bersama pelbagai pemegang taruh yang bebas untuk memastikan platform-platform media sosial bertanggungjawab.

    2. Bekerjasama dengan platform-platform media sosial dan pakar-pakar pelbagai pemegang taruh untuk memperkukuhkan piawaian dan mekanisme media sosial semasa untuk memastikan respon yang berkesan dalam situasi bahaya dalam ruangan dalam talian dan untuk meminta platform-platform media sosial untuk menjalankan penilaian impak hak asasi manusia berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penyeliaan kandungan.

    CIJ mencadangkan untuk memberi perlindungan data dan digital yang lebih baik dengan mewujudkan kerangka undang-undang dan dasar yang mencegah diskriminasi akibat daripada pemperibadian dan penyasaran produk dan perkhidmatan yang membawa kepada diskriminasi.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *