KUALA LUMPUR – 15 OKTOBER 2024: Walaupun hujan lebat mencurah dan banjir berlaku di beberapa buah kawasan di Kuala Lumpur, ia tidak dapat menghalang orang ramai yang prihatin pada nasib seluruh warga emas di negara kita untuk berarak ke Parlimen pada hari ini, dengan seruan kepada kerajaan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membentangkan skim Pencen Warga Emas Sejagat dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentang dalam tempoh 3 hari lagi.

Kira-kira 200 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat berarak dan berhimpun di sepanjang jalan menuju ke Bangunan Parlimen, untuk menyuarakan tuntutan mereka kepada kerajaan supaya melaksanakan skim Pencen Warga Emas yang membayar RM500 sebulan kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas yang tidak menerima apa-apa pencen pada masa ini.

Cadangan untuk skim Pencen Warga Emas RM500 ini dikemukakan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan disokong oleh pelbagai organisasi masyarakat sivil. Sebanyak 45 buah organisasi menyokong memorandum yang sudah diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri pada 1 Oktober 2024. PSM datang ke Parlimen pada hari ini bersama-sama wakil-wakil masyarakat sivil untuk menyerahkan satu lagi memorandum bersertakan kira-kira 10,000 tandatangan yang dikutip daripada orang ramai, untuk mengingatkan Kerajaan Perpaduan bahawa pelaksanaan skim Pencen Warga Emas Sejagat tidak boleh ditangguh lagi.

“Golongan warga emas itu ibu bapa kita. Warga emas itu jiran kita. Warga emas ialah pekerja-pekerja yang pernah menyumbang kepada pembangunan negara ini. Apa salahnya untuk sebuah negara yang sudah begitu kaya memberikan sedikit pencen kepada golongan warga emas?” kata Soh Sook Hwa, Bendahari Nasional PSM yang hadir dalam aksi penyerahan memorandum pada hari ini. “RM500 itu bukannya satu jumlah yang besar. RM500 sebulan sebagai pencen itu masih sedikit sahaja dan tidak mencukupi. Ini satu angka yang munasabah dan penanda aras yang rendah untuk kerajaan kita memulakan skim ini. Ia akan sangat bermakna kepada semua warga emas di negara kita, terutamanya golongan warga emas yang sudah hidup dalam kesusahan dan golongan wanita yang sudah bekerja sebagai suri rumah tangga bertahun-tahun tetapi langsung tiada apa-apa pencen.”

“Pencen ini bukan sahaja akan membantu golongan warga emas, tetapi golongan muda yang mempunyai ibu bapa dan berhadapan dengan cabaran hidup, juga akan diringankan beban mereka,” ulas Soh Sook Hwa dengan lebih lanjut.

“Kami membawa tuntutan ini kerana kami sedar tentang bagaimana susahnya kehidupan warga emas kita sekarang yang tanpa simpanan wang dan perlu bergantung pada anak-anak mereka,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM yang merupakan salah seorang penggerak kempen menuntut skim Pencen Warga Emas Sejagat. “Ramai anak kepada golongan warga emas ini juga bukannya orang kaya. Mereka juga perlu bersusah payah untuk menjaga anak mereka sendiri. Ini satu masalah yang besar!”

“Kami berharap Ahli-ahli Parlimen boleh membincangkan isu ini dengan serius dan melaksanakan sesuatu dasar yang baik untuk rakyat, seperti skim Pencen Warga Emas yang kami cadangkan ini,” tambah Dr. Jeyakumar.

Turut hadir bersama dalam aksi penyerahan memorandum kepada Parlimen pada hari ini termasuk S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM, Sivaranjani Manickam selaku Setiausaha Agung PSM, Nik Aziz Afiq selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Lim Chee Han daripada Agora Society Malaysia, Jayanath Appudurai yang mewakili Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) dan anggota-anggota komuniti Orang Asli yang datang jauh dari Gua Musang, Kelantan.

Memorandum yang disokong oleh 45 buah organisasi bersertakan tandatangan orang ramai dikumpulkan itu diserahkan kepada Chan Ming Kai selaku Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri.

“Bayaran pencen RM500 sebulan masih tidak mencukupi untuk penerimanya hidup berseorangan. Tetapi wang pencen ini akan banyak membantu untuk keluarga mereka dalam menampung keperluan harian, dan akan memainkan peranan besar dalam membolehkan mereka hidup dengan bermaruah,” begitu katanya memorandum yang disokong oleh 45 buah organisasi. “Pelaksanaan skim pencen ini juga akan meningkatkan permintaan kasar untuk perniagaan kecil seperti penjaja kecil seperti di pasar malam, dan ini akan membantu golongan peniaga kecil di seluruh negara.”

Jika kita hendak melihat seluruh warga emas di negara kita dapat berdikari, memartabatkan diri dan hidup secara bermaruah, maka kita perlu memastikan semua warga emas kita mempunyai keterjaminan pendapatan usia tua melalui pencen warga emas sejagat.

Bacaan lanjutan: Kenapa kita perlukan pencen warga emas sejagat?

4 thoughts on “Laksanakan Pencen Warga Emas Sejagat segera

  1. Very much appreciated….I’m too a retired private sector aged 73, living from the children’s aid.Hope the Madani Govt.will approve our humble request. Thank You.

  2. I’m also one of the affected senior citizen aged 73. A private sector retiree fully dependent on the children. Hope the Madani Govt. will approve our humble request without any prejudice. Thank you.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *