oleh Gandipan Nantha Gopalan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin menyeru ahli-ahli politik untuk berhenti mempolitikkan KWSP. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah satu-satunya tempat untuk rakyat marhaen mencarum dan menyimpan wang supaya mereka dapat menggunakannya pada masa depan mereka selepas mereka bersara sekitar umur 60 tahun. Ahli-ahli politik harus berhenti mempolitikkan mengenainya dan berhenti memberi naratif yang tidak tepat kepada rakyat.

KWSP telah mengeluarkan banyak data mengenai jumlah yang disimpan oleh golongan pekerja. Satu laporan yang dikeluarkan oleh Khazanah Research Institute (KRI) pada tahun 2024 menyatakan bahawa lebih 90% pencarum KWSP kurang daripada umur 30 tahun tidak akan mencapai paras asas yang diperlukan untuk bersara pada masa hadapan, iaitu RM240,000. Paras RM240,000 ini telah diubah suai oleh KWSP pada hujung tahun lalu kepada RM390,000. 

Tambahan pula, Malaysia boleh diklasifikasikan sebagai sebuah “negara menua”, ataupun sudah memasuki masyarakat penuaan pada masa ini, dengan lebih 7% daripada lebih 34 juta orang penduduk berumur lebih 65 tahun. Apa yang boleh kita nampak adalah kerajaan kita langsung tidak mempunyai dasar yang konkrit untuk menangani cabaran. Pembangkang di Parlimen pula tidak ada idea untuk menangani situasi ini selain daripada memainkan isu pengeluaran KWSP.

PSM mengenali cabaran warga emas yang tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menjalani kehidupan selepas bersara dan terpaksa terus bekerja walaupun kesihatan badan fizikal tidak mengizinkannya berbuat demikian. Sebab itulah, PSM telah berkempen dan menyerahkan memorandum kepada kerajaan untuk melaksanakan Pencen Warga Emas Sejagat. Sebagai permulaan, skim cadangan ini akan membayar RM500 sebulan kepada warga emas yang berumur 65 tahun ke atas dan tidak mempunyai apa-apa pencen kerajaan, pencen PERKESO, pencen swasta atau pendapatan bulanan tetap daripada hartanah. 

Pengeluaran KWSP untuk menghadapi isu-isu seperti rumah dilelong dan kos rawatan hospital jelas menunjukkan isu struktural neoliberalisme di mana rakyat biasa terpaksa mengorbankan wang simpanan persaraan mereka untuk menyelesaikan masalah-masalah asas mereka. Cadangan pengeluaran KWSP oleh Wan Saiful disebabkan pernah berjumpa dengan pekerja pencuci pinggan di sebuah kedai makan yang sebenarnya mempunyai wang sebanyak RM1.3 juta dalam akaun KWSP adalah satu cadangan yang malas berdasarkan situasi yang sukar untuk dikaitkan atau difahami oleh rakyat marhaen di negara ini. Ahli-ahli Parlimen yang mendapat elaun lebih RM20,000 sebulan harus meluangkan lebih masa untuk berfikir dan memberi cadangan yang bernas tentang bagaimana kita boleh mengendalikan isu-isu asas yang dihadapi oleh rakyat biasa. 

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *