oleh Suresh Balasubramaniam
Pada pertengahan tahun 2023, saya pertama kali mendendar tentang Kannan Subramaniam melalui satu mesej WhatsApp yang merayu sumbangan RM1,000 untuk membiayai kos pengimbasan MRI (pengimejan resonans magnet) di sebuah hospital swasta. Mesej tersebut mencapai kumpulan WhatsApp Parti Sosialis Malaysia (PSM). Oleh sebab Kannan tinggal di kawasan Shah Alam di mana saya berada, saya diminta untuk meninjau keadaannya.
Kannan bekerja sebagai operator pembungkusan di dalam sebuah kilang, di mana dia menghabiskan masa berjam-jam untuk membungkus barangan ke dalam kotak, mengangkat dan memindahkannya ke atas palet. Berat kotak-kotak ini antara 5 kg hingga 35 kg, dan dia sering perlu memikul kotak di atas bahunya. Secara purata, Kannan bekerja 210 jam sebulan, termasuk kerja lebih masa.
Isu perubatan
Selepas bekerja selama 8 bulan, pada bulan Mac 2023, Kannan mula mengalami kesakitan teruk di leher dan bahunya. Dia mendapatkan rawatan awal di Hospital Shah Alam, di mana pihak hospital menjadualkan satu pengimbasan MRI untuknya pada bulan September 2024. Ini bermakna dia perlu menunggu dalam kesakitan selama 18 bulan!
Oleh sebab tidak dapat menahan kesakitan lagi, Kannan cuba mengumpulkan dana untuk melakukan pengimbasan MRI di hospital swasta. Ketika itulah permintaannya untuk sumbangan yang menyentuh hati mendapat perhatian daripada kumpulan PSM.
PSM menghubungi Pengarah Hospital Shah Alam pada bulan Oktober 2023. Pihak hospital merespon dengan cepat, dan pengimbasan MRInya dijadualkan semula ke bulan November 2023. Ini sangat melegakan, tetapi perjuangan Kannan masih jauh belum selesai.
Hasil daripada keputusan MRI, Kannan dirujuk kepada Hospital Selayang, di mana kemudiannya dirujuk kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang pada bulan Disember 2023. Satu lagi pengimbasan MRI diperlukan, dengan janji temu yang tersedia seterusnya dijadualkan pada bulan Disember 2024 – iaitu betul-betul setahun lagi!
Pada bulan April 2024, PSM membantu Kannan untuk menghubungi Pengarah HTAR Klang, tetapi kami tidak menerima apa-apa maklum balas. Tanpa berputus asa, kami menghubungi Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor pada bulan Jun 2024, tetapi hanya mendapati diri kami terperangkap dalam satu kitaran surat-menyurat e-mel dan panggilan telefon yang mengecewakan.
Kannan terus menanggung kesakitan luar biasanya, dengan tiada kemungkinan untuk rawatan pembetulan sehingga pengimbasan MRI yang keduanya selesai. Pada masa yang sama, dia menerima jagaan di Klinik Pengurusan Kesakitan di HTAR, bergantung pada dos ubat penahan sakit yang tinggi untuk menangani keadaannya. Walaupun terdapat empati dan usaha daripada kakitangan perubatan di hospital kerajaan, mereka dikekang oleh sistem kesihatan awam negara kita yang mengalami masalah kekurangan kakitangan dan kekurangan dana yang teruk.
Kesempitan kewangan
Menjelang bulan Oktober 2024, Kannan sudah mengambil cuti sakit untuk lebih 400 hari sejak bulan Mac 2023. Kesakitannya yang tidak terhenti-henti menyebabkan dia tidak dapat bekerja, dan syarikatnya memberitahu bahawa tiada kerja ringan yang tersedia untuknya.
Selama hampir setahun setengah, Kannan sebenarnya menganggur, hanya menerima bayaran dalam jumlah yang kecil dan tidak konsisten daripada majikannya – dari RM250 hingga RM350 sebulan.
Situasi kewangan Kannan memang teruk. Sebagai seorang yang bujang, tanggungan kewangan utamanya ialah rumahnya di Seksyen 20, Shah Alam. Malangnya, dia telah ketinggalan dalam pembayaran pinjaman perumahan selama berbulan-bulan, dan pihak bank sekarang telah mengeluarkan sepucuk surat tuntutan yang mengancam untuk mengambil tindakan selanjut melainkan dia boleh menjelaskan tunggakan bayaran hutangnya.
Permohonan PERKESO ditolak
Kannan telah memohon untuk skim Penyakit Khidmat di bawah PERKESO pada bulan Februari 2024. Namun, disebabkan kelewatan, dia hanya dinilai oleh panel doktor PERKESO pada bulan Jun 2024. Apa yang mengejutkannya adalah, panel doktor itu menolak tuntutannya, dan membuat kesimpulan bahawa keadaannya boleh dikaitkan dengan faktor-faktor di luar kerjanya.
Sekarang ini, Kannan sedang mendapatkan semakan semula terhadap keputusan itu melalui Jemaah Doktor Rayuan. Skim Penyakit Khidmat sepatutnya bertujuan untuk memberikan faedah kepada pekerja-pekerja yang penyakit mereka disebabkan atau dipengaruhi oleh kerja mereka. Walaupun PERKESO mempunyai matlamat yang terpuji sebagai jaring keselamatan sosial di bawah Kementerian Sumber Manusia, caranya mengendalikan kes Kannan adalah diragui. PERKESO memang telah menjalankan penilaian tapak di tempat kerja Kannan, dan sepatutnya ini membantu jemaah dalam membuat keputusan termaklum. Namun, apa yang membingungkan adalah, jemaah doktor gagal menghubungkaitkan kecederaannya dengan sifat kerjanya.
Dalam rayuannya kepada Jemaah Doktor Rayuan, Kannan melampirkan surat akuan berkanun yang menyenaraikan tugas-tugas berat fizikal yang perlu dilakukannya di tempat kerja. Dia menegaskan bahawa dia bukan seorang penunggang motosikal, tidak mempunyai lesen memandu, dan tidak terlibat dalam aktiviti sukan seperti tenis atau badminton, di mana semuanya memperkukuhkan dakwaannya bahawa kecederaan itu berpunca semata-mata daripada keadaan kerjanya.
PSM telah secara konsistennya menegaskan kepentingan latihan berterusan untuk panel doktor PERKESO supaya membantu mereka menghubungkaitkan penyakit pekerja dengan persekitaran kerja mereka secara lebih berkesan. Tambahan pula, PSM menyokong penubuhan sebuah jawatankuasa khas, yang merangkumi wakil-wakil daripada orang awam dan NGO, untuk mempertimbangkan kes-kes yang kompleks, mendesak dan kritikal.
Bantuan kebajikan
Pada bulan Julai 2024, Kannan menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasannya dan Ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab atas pembasmian kemiskinan, untuk mendapatkan bantuan kebajikan. Walaupun dijanjikan bantuan, dia masih menunggu apa-apa bantuan yang bermakna itu menjelma kepada realiti.
Satu kes contoh
Kisah Kannan ialah satu peringatan yang jelas tentang jurang dalam sistem kemasyarakatan dan kesihatan di Malaysia, di mana seorang individu yang bekerja keras boleh dibiarkan menderita begitu sahaja dengan sedikit bantuan. Walaupun menghubungi pelbagai pihak berkuasa, berurusan dengan birokrasi, dan bergantung pada sistem kesihatan awam untuk membiayai prosedur perubatan asas, perjalanan Kannan menonjolkan rintangan yang dihadapi oleh seorang pekerja biasa yang bekerja keras tetapi terperangkap dalam sistem.
Penantian lama untuk rawatan perubatan yang diperlukan, ditambah lagi dengan beban kewangan kerana tidak dapat bekerja, telah meletakkan Kannan dalam keadaan yang teruk. Ketidakmampuannya untuk mendapatkan keperluan asas dan ancaman kehilangan rumah yang didudukinya mencerminkan isu yang lebih besar yang dihadapi oleh banyak pekerja Malaysia yang tertinggal gagal dilindungi oleh jaring keselamatan sosial yang sepatutnya melindungi mereka.
Sementara Kannan menanti-nantikan PERKESO untuk mempertimbangkan semula kesnya dan menunggu bantuan kebajikan yang dijanjikan, keadaannya terus merosot. Kelewatan dalam rawatan perubatan dan penolakan daripada PERKESO bukan sekadar tragedi peribadi untuk Kannan, tetapi mencerminkan cabaran yang dihadapi oleh ramai pekerja di Malaysia.
Kes Kannan seharusnya menjadi loceng penggera kepada penggubal dasar dam masyarakat secara umumnya. Pekerja-pekerja sepertinya, yang menyumbangkan apa yang terbaik dalam diri mereka dalam keadaan yang sukar, berhak mendapatkan jagaan perubatan yang tepat pada masanya, kestabilan kewangan yang baik, dan jaminan bahawa sistem yang direka untuk membantu mereka itu tidak gagal melindungi mereka pada ketika mereka memerlukannya, khususnya dalam Kerajaan MADANI hari ini. Tanpa reformasi segera, lebih banyak lagi pekerja akan mendapati mereka berada dalam keadaan seperti Kannan – terperangkap dalam kesakitan, kemiskinan dan ketidakpastian, tanpa jalan jelas untuk mendapatkan bantuan.
Ini masanya untuk bertindak, bukan sahaja untuk Kannan, tetapi untuk semua pekerja yang menghadapi cabaran yang serupa. Mereka memerlukan apa yang lebih daripada simpati; mereka perlukan tindakan.
==========
Suresh Balasubramaniam ialah Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras PSM Unit Shah Alam.