Kita melangkah masuk ke dalam tahun baharu 2024 dengan pelbagai cabaran besar.
Tahun 2023 merupakan tahun paling panas sepanjang 174 tahun lalu yang mempunyai rekod pemerhatian suhu dunia. Tahun 2024 akan memecah rekod ini sekiranya tiada lagi usaha konkrit yang berkesan diambil oleh kerajaan-kerajaan negara di seluruh dunia untuk menangani krisis iklim yang semakin teruk.
Pada ketika dunia sedang menyambut tahun baharu 2024, rakyat Palestin di Gaza masih terus diserang dan dibedil oleh tentera Israel yang zalim. Perang dan penderitaan yang menimpa rakyat Palestin mengingatkan dunia bahawa pembebasan rakyat Palestin masih jauh belum tercapai dan kuasa imperialis masih mengganas.
Kapitalisme global terus berada dalam krisis dan memangsakan rakyat seluruh dunia dengan kemiskinan, kelaparan, ketidakjaminan hidup dan ketidakadilan sosial.
Rakyat sedunia, termasuk rakyat Malaysia, sedang berhadapan dengan 4 ancaman besar:
- Ketidakadilan sosio-ekonomi yang semakin teruk kerana kepincangan sistem kapitalis yang masih mendominasi dunia kita. Pengejaran kapitalis untuk keuntungan dan pemusatan kekayaan dalam tangan segelintir kecil golongan korporat besar merupakan punca kepada kemiskinan dan ketidaksamarataan ekonomi yang masih berleluasa di dunia pada hari ini. Pengagihan kekayaan masyarakat yang tidak sama rata telah menyebabkan perlindungan sosial yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat jelata semakin terhakis, dan ini menjadi punca kepada permasalahan lain.
- Krisis iklim sedunia yang berbahaya kepada kewujudan umat manusia di atas muka bumi semakin terus. Krisis iklim yang ditunjukkan dalam bentuk cuaca yang melampau sehingga menjejaskan kehidupan masyarakat di pelbagai tempat, terjadi kerana aktiviti-aktiviti pencemaran alam yang dilakukan oleh golongan kapitalis yang sentiasa hendak memaksimumkan keuntungan mereka.
- Politik pelampau kanan yang mengapi-apikan kebencian dalam kalangan masyarakat semakin berkembang. Golongan pelampau kanan yang mempermainkan sentimen kaum dan agama, telah menggunakan kemudahan teknologi seperti media sosial untuk menyebarkan fahaman perkauman sempit dan xenofobia. Penyebaran pelampau kanan sebegini bertujuan untuk melemahkan solidariti rakyat merentasi kaum dan agama di samping memenuhi agenda politik yang mengangkat kepentingan segelintir kecil elit politik yang hendak berkuasa. Di tempat di mana golongan pelampau kanan belum berkuasa, mereka mengapi-apikan sentimen kebencian untuk menimbulkan kekecohan masyarakat; sementara di tempat di mana golongan pelampau kanan sudah berkuasa, mereka tidak teragak-agak untuk menyekat ruang demokrasi demi mematahkan sebarang suara yang mengkritik mereka.
- Persaingan kuasa-kuasa besar dunia untuk kepentingan geopolitik masing-masing sedang mengancam keamanan dunia dan mengundang ancaman perang yang lebih besar. Kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) yang sedang dicabar oleh kuasa-kuasa besar memuncul (khususnya China dan Rusia) cuba mengekalkan dominasi kekuasaannya dengan penghasutan perang di sana sini. Pembantaian di Gaza dan perang di Ukraine yang berterusan merupakan akibat dasar kuasa imperialis yang agresif. Perluasan ketenteraan dan peningkatan ancaman konflik bersenjata turut didorong oleh kepentingan golongan kapitalis pembuat senjata yang hendak mengaut keuntungan lumayan daripada peperangan yang tidak berkesudahan.
Untuk menghadapi dan menangani 4 ancaman besar ini, kita harus meneruskan usaha membina gerakan rakyat dari bawah yang merentasi batasan kaum dan agama, di samping berlandaskan tuntutan-tuntutan untuk perkara-perkara berikut:
- Pengagihan semula kekayaan masyarakat melalui pelaksanaan dasar yang memperkukuhkan sistem perkhidmatan awam (kesihatan, pendidikan dan sebagainya) dan perlindungan sosial (seperti pencen warga emas sejagat) untuk seluruh rakyat, dengan pendanaan daripada sistem percukaian progresif yang memastikan golongan kaya membayar cukai yang sewajarnya.
- Pelaksanaan langkah-langkah perlindungan alam sekitar yang menjana pekerjaan pada masa yang sama. Kita perlukan lebih banyak pelaburan dalam usaha peralihan ke sumber tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan awam yang ekstensif, pemuliharaan dan pemeliharaan hutan, dan banyak lagi perkara yang menjamin pembangunan lestari, di mana semua ini bukan sahaja dapat menangani krisis iklim, malah mewujudkan jaminan kerja bagi rakyat biasa.
- Ruang demokrasi yang lebih besar untuk rakyat biasa melibatkan diri dalam proses membuat keputusan yang berkaitan dengan kehidupan harian mereka.
- Dasar hubungan antarabangsa yang berasaskan semangat saling hormat-menghormati dan bersolidariti. Kerajaan-kerajaan negara di seluruh dunia harus bekerjasama dalam menangani pelbagai cabaran di peringkat dunia, seperti krisis iklim, ketidakadilan sosial, peperangan dan sebagainya. Kita harus memutuskan segala sokongan (sama ada dari segi kewangan atau bekalan senjata) kepada mana-mana rejim yang bersifat agresif dan melancarkan perang terhadap negara lain atau menzalimi rakyatnya.
Memang bukan muda untuk kita mengatasi ancaman-ancaman hebat dan merealisasikan tuntutan-tuntutan yang disebut di atas. Kita hanya dapat melakukannya dengan terus membina kuasa rakyat dari bawah. Tiadanya jalan pintasan atau jalan yang mudah, hanya dengan kesabaran, kesungguhan, kegigihan, kecekalan dan keberanian yang berterusan dalam usaha memperjuangkan hak rakyat, kita mampu membawa perubahan yang bermakna.
Selamat tahun baharu, dan teruskanlah perjuangan untuk sebuah masyarakat yang lebih bebas, demokratik, sama rata, adil dan sejahtera.