KARANGAN, KEDAH: Penduduk-penduduk yang masih tinggal di Ladang Padang Meha, Mukim Karangan, Daerah Kulim, Kedah, menghadapi ancaman keselamatan dan kesihatan akibat daripada tindakan pihak pemaju yang merobohkan rumah-rumah kosong berbumbung asbestos di kawasan kediaman mereka.

Syarikat pemaju Vintage Developers Sdn Bhd telah menjalankan operasi perobohan rumah-rumah kosong di kawasan Ladang Padang Meha pada 18 Disember 2023. Tindakan perobohan rumah kosong yang semuanya berbumbung asbestos ini dilakukan walaupun masih terdapat banyak keluarga yang tinggal di situ. Perobohan rumah ini menyebabkan para bekas pekerja Ladang Padang Meha yang masih tinggal di kawasan ladang tersebut terdedah kepada habuk berbahaya daripada bumbung asbestos. Gentian asbestos boleh mendatangkan pelbagai ancaman kesihatan termasuk penyakit kanser.

Penduduk-penduduk yang masih tinggal di kawasan Ladang Padang Meha pada hari merupakan bekas pekerja yang diberhentikan kerja oleh majikan mereka, East Asiatic Company (Malaysia), pada tahun 1995, apabila tanah ladang tersebut dijual kepada MBf Country Homes & Resort Sdn Bhd (kemudiannya dikenali sebagai syarikat Alamanda Development Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh MBf Holdings). Syarikat East Asiatic Company (Malaysia) telah membayar sebanyak RM3.3 juta kepada syarikat MBf untuk dibayar kepada 210 orang bekas pekerjanya tetapi pihak MBf tidak berbuat demikian.

Syarikat Alamanda Development Sdn Bhd, anak syarikat kepada MBf, pernah berjanji untuk membina rumah teres kepada bekas pekerja Ladang Padang Meha dengan caj RM12,500 sebuah rumah. Namun, janji pembinaan rumah tersebut tidak ditunaikan, malah apabila pekerja-pekerja memfailkan kes di mahkamah pada tahun 2004 dan berjaya mendapat keputusan mahkamah yang berpihak pada pekerja pada tahun 2011, syarikat Alamanda Development Sdn Bhd mengisytiharkan dirinya muflis!

130 orang bekas pekerja Ladang Padang Meha telah memfailkan satu lagi kes di mahkamah untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya dibayar pampasan yang disediakan oleh bekas majikan mereka sejak tahun 1995. Kumpulan pekerja ini bersedia untuk mengosongkan rumah mereka selepas menerima wang pampasan.

Namun, terdapat satu lagi kumpulan pekerja seramai 80 orang masih belum mendapat sebarang pampasan. Oleh itu, mereka tidak rela untuk mengosongkan rumah sebelum mendapat apa-apa pampasan yang sewajar, dan mereka masih berjuang untuk hak perumahan.

Syarikat Vintage Developers Sdn Bhd cuba mendapatkan perintah mahkamah untuk mengusir keluar penduduk-penduduk yang masih tinggal di situ pada tahun ini, tetapi telah ditolak oleh pihak mahkamah. Pihak bekas pekerja Ladang Padang Meha telah mendapat satu perintah mahkamah di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah pada 19 Mac 2023 untuk menghentikan sebarang perobohan rumah selagi masih terdapat penduduk yang tinggal di dalam kawasan Ladang Padang Meha, kerana wujudnya risiko dan ancaman berbahaya kepada kesihatan akibat pendedahan kepada habuk asbestos daripada kerja-kerja perobohan rumah.

Kumpulan bekas pekerja Ladang Padang Meha yang belum menerima apa-apa pampasan yang sepatutnya juga sedang berusaha untuk memfailkan kes di mahkamah untuk menuntut pampasan mereka.

Perobohan rumah yang dilakukan pada 18 Disember adalah untuk merobohkan rumah-rumah kosong yang pernah diduduki oleh mereka yang telah menerima pampasan. Namun, oleh sebab masih adanya penduduk yang tinggal di dalam kawasan Ladang Padang Meha, mereka khuatir tentang keselamatan dan kesihatan diri mereka yang terdedah kepada ancaman habuk asbestos yang berbahaya.

Para bekas pekerja Ladang Padang Meha yang masih tinggal di situ tidak membantah tindakan pihak pemaju sekiranya hanya mengosongkan rumah mereka yang telah menerima pampasan dan sudah keluar. Namun, mereka tidak mahu rumah-rumah yang berbumbung asbestos itu dirobohkan, kerana ia akan mengundang risiko berbahaya kepada kesihatan.

Pada 18 Disember 2023, pihak pemaju telah merobohkan rumah-rumah di kawasan Bahagian 1 di Ladang Padang Meha, di mana hampir semua keluarga bekas pekerja telah berpindah keluar. Di kawasan Bahagian 2, masih terdapat lebih kurang 20 buah rumah yang masih diduduki keluarga bekas pekerja, di mana 14 orang adalah daripada kumpulan 80 orang bekas pekerja yang masih belum mendapat apa-apa pampasan. 4 buah rumah di kawasan Bahagian 2 telah dirobohkan secara tidak selamat. Pihak pemaju mengatakan bahawa mereka akan kembali dalam masa 3 hari untuk merobohkan baki rumah di kawasan Bahagian 2.

Gabungan Marhaen dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantah tindakan pihak pemaju yang tidak mempedulikan keselamatan dan kesihatan penduduk-penduduk Ladang Padang Meha, dan menggesa pada pihak pemaju untuk memberhentikan tindakan perobohan rumah sehingga isu pampasan kepada bekas pekerja di situ diselesaikan sepenuhnya. Gabungan Marhaen dan PSM juga menggesa pada pihak polis supaya bersikap neutral dan menasihatkan pihak pemaju supaya mematuhi perintah mahkamah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah untuk menghalang perobohan rumah yang berbumbung asbestos selagi masih adanya penduduk di situ.

2 thoughts on “Pemaju robohkan rumah berbumbung asbestos tanpa pedulikan kesihatan bekas pekerja ladang yang masih tinggal di situ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *