Berikut ialah kenyataan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) pada 8 Oktober 2023 bersempena satu perhimpunan pesawah yang diadakan di Alor Setar, Kedah, untuk membantah penurunan mendadak dalam harga belian padi/beras yang dibayar kepada pesawah-pesawah yang terpaksa menanggung kenaikan kos operasi.

**********

Perhimpunan pesawah pada hari ini adalah bagi menyatakan kekecewaan kami terhadap kecelaruan industri padi dan beras di negara ini yang sudah mencapai tahap kronik dan gila.

Belum lagi selesai isu kehilangan beras putih tempatan dari pasaran akibat daripada eksploitasi di peringkat kilang dan borong, harga belian padi pula jatuh mendadak daripada sekitar RM1,700 pada beberapa bulan lalu kepada harga minimum RM1,200 dalam masa beberapa hari ini, jelas menunjukkan keadaan bekalan beras dan harga padi yang tidak normal atau wujud campur tangan kartel.

Pesawah semakin tersepit apabila semua kos untuk menanam padi telah naik sejak kenaikan harga padi seperti harga benih, jentera dan sewaan bendang. Maka penurunan harga padi ini sudah tentu menyebabkan kerugian yang besar tanpa diduga.

Punca utama permasalahan ini ialah mekanisme harga kawalan yang sudah tidak sesuai kerana ia tidak dikaji semula sejak tahun 2008. Sudah tiba masanya harga siling beras putih tempatan perlu dinaikkan daripada RM2.60 per kilogram kepada RM3.50 per kilogram maksimum. Harga lantai belian padi mentah pula dinaikkan dari RM1,200 per tan dinaikan kepada RM1,500 per tan. Cadangan ini adalah jaminan untuk jangka panjang bagi mengelakkan manipulasi yang berterusan.

Kami juga mencadangkan agar kawalan beras yang lebih efektif bagi mengelak penipuan harga dan bekalan beras dibuat dengan disatukan beras tempatan dan import dengan satu kategori, iaitu beras putih sahaja dengan harga kawalan RM3.50 per kilogram maksimum. Perbezaan kualiti beras dinilai atas peratusan beras hancur sama ada 5% atau 10%.

Selain itu, harga benih padi sah kini mencecah RM52 per beg (pintu kilang) dan RM56 per beg (runcit). Ini menunjukkan penguatkuasaan yang lemah daripada pihak Kawalselia Padi dan Beras kerana harga tersebut melebihi harga kawalan, iaitu RM31 per beg (pintu kilang) dan RM35 per beg (runcit). Ini amat mendukacitakan sedangkan pengeluar benih telah mendapat subsidi sebanyak RM20.60 per beg daripada pihak kerajaan dan penurunan harga belian padi skim ladang benih daripada RM1,800 kepada RM1,380 per tan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *