Resolusi Kongres Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ke-25
Resolusi Kongres Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ke-25
1 Oktober 2023, Pulau Pinang
Laksanakan Pencen Warga Emas untuk semua dengan segera.
Kembalikan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.
Pastikan Gaji Minimum RM1,500 dilaksanakan sepenuhnya untuk semua pekerja. Pelaksanaan gaji minimum tidak harus dikompromikan dengan cadangan gaji progresif. Selain itu, gaji minimum harus mencerminkan tahap gaji sara hidup. Nisbah gaji minimum dan gaji Menteri harus dihadkan.
Hapuskan sistem kontrak untuk kerja tetap.
Pinda Akta Kesatuan Sekerja untuk meningkatkan keahlian dan semangat kesatuan sekerja.
Wujudkan Skim Jaminan Kerja untuk graduan baharu daripada golongan B40 bekerja dalam sektor kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai program pembasmian kemiskinan.
Kawal harga barangan asas untuk mengurangkan beban kehidupan rakyat. Tolak sebarang cadangan melaksanakan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada masa ini.
Pinda Undang-undang Tanah untuk melindungi pengeluar makanan. Hentikan pengusiran paksa petani dan penternak.
Kerajaan harus membina lebih banyak rumah yang berharga RM100,000 dan ke bawah dengan ruang kediaman yang selesa.
Kerajaan harus mengiktiraf dan mewartakan wilayah tanah adat Orang Asli dengan status geran komunal.
Kerajaan harus meningkatkan sistem pengangkutan awam, menambah baik lorong motosikal dan membuat perancangan bandar yang mampan.
Laksanakan pendidikan percuma sehingga ke peringkat tertiari. Mansuhkan PTPTN dan hapuskan hutang PTPTN yang ditanggung oleh golongan B20 sekarang. Tambahkan bilangan universiti awam. Rombak sistem pendidikan awam agar mewujudkan budaya memikir secara terbuka dan kritikal.
Hormati Perlembagaan Persekutuan dan jangan gugat hak demokratik rakyat. Mansuhkan semua akta zalim, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, dan sebagainya.
Kerajaan harus membatalkan projek Ladang Hutan yang telah diluluskan sebelum Disember 2022.
Wujudkan satu mekanisme untuk memecat melalui pengundian Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat. Gubal rang undang-undang yang menetapkan tarikh pilihan raya umum selepas setiap lima tahun penggal Parlimen.
Jangan melantik ahli politik untuk memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Kerajaan Malaysia harus meratifikasi Konvensyen mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol berkaitan Status Pelarian 1967.
Kerajaan harus meneruskan program bekalan PrEP (profilaksis pra-pendedahan) dan PEP (profilaksis pasca pendedahan) yang percuma di hospital dan klinik kesihatan kerajaan untuk mengurangkan risiko jangkitan HIV.
Undang-undang Malaysia harus dipinda untuk membolehkan setiap rakyat Malaysia, termasuk mereka yang bekerja di kedutaan dan organisasi asing, mempunyai hak untuk menyaman di Malaysia dan mengehadkan imuniti diplomatik perwakilan negara asing, terutamanya dalam perkara seperti pemecatan yang tidak adil dan pelanggaran kontrak.
One thought on “Resolusi Kongres Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ke-25”