oleh Karthiges Rajamanickam

Salam Hari Habitat Sedunia. Hari Habitat ialah satu hari penting untuk memperingati bahawa perumahan ialah hak asasi manusia, dan disambut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari Isnin pertama dalam bulan Oktober setiap tahun.

Hari Habitat 2023 merupakan Hari Habitat yang pertama selepas pentadbiran negara kita diambil alih oleh ikon reformis Anwar Ibrahim (PMX) yang pernah menjanjikan satu sistem perumahan yang adil untuk negara ini. Maka, persoalan utama di sini adalah, adakah pentadbiran beliau di bawah Kerajaan Perpaduan berjaya membawa obor perubahan terhadap sistem perumahan negara atau sebaliknya.

Pada ketika dunia semakin sembuh daripada pandemik COVID-19, ternyata sistem perumahan negara juga sedang membaiki dirinya, tetapi untuk siapa? Apakah tindakan-tindakan oleh pihak berkuasa dan golongan pemodal dalam satu tahun ini berjaya membantu dalam membaiki kepincangan yang sedia wujud? Apakah tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Perpaduan kita?

  1. Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara sehingga 3 peratus. Siapakah yang lebih disimpati oleh kerajaan ini melalui kenaikan ini? Pihak perbankan atau peminjam perumahan rakyat B40?
  2. Kenaikan harga barangan asas yang teruk dan tiada kenaikan gaji minimum. Adakah beban perumahan rakyat akan berkurangan dengan senario ini?
  3. Harga rumah melambung tinggi tahun ini. Adakah Kerajaan Perpaduan mengikut rentak pemaju yang menganggap rumah sebagai komoditi untuk dijual ataupun melihat perumahan itu sebagai suatu hak rakyat?
  4. PMX sendiri mengakui bahawa syarat yang ditetapkan kepada pemaju swasta untuk membina sekurang-kurangnya 30% rumah mampu milik dalam setiap projek perumahan tidak mengikut jadual dan skala yang ditetapkan. Namun, tiada sebarang usaha konkrit untuk menyelesaikan isu ini
  5. Para peneroka bandar dan pekerja ladang masih menghadapi pengusiran paksa. Ladang-ladang di Kuala Selangor dan sebagainya masih menerima notis pengusiran paksa dan tangan-tangan reformis yang menahan jentera perobohan pada satu ketika dahulu kini bersembunyi di Putrajaya. Adakah Kerajaan Perpaduan kini menganggap peneroka bandar sebagai setinggan haram?
  6. Salah satu janji manifesto parti gabungan yang menyokong PMX ialah kerajaan akan mengambil alih penyelenggaraan rumah flat kos rendah jika menang Pilihan Raya Umum 2022. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk melaksanakan janji ini?

Masalah perumahan negara tidak menunjukkan tanda-tanda penyelesaian walaupun kerajaan baharu yang “reformis” telah mengambil alih pentadbiran negara. Kerajaan Madani yang dipimpin oleh PMX masih tidak menganggap perumahan sebagai satu keperluan asasi rakyat dan tiada satu tindakan konkrit untuk memperbaiki kelemahan sistem tersebut.

Pada tahun ini, tema sambutan Hari Habitat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ialah “Ekonomi bandar yang berdaya tahan – Bandar sebagai pemacu pertumbuhan dan pemulihan”.  Jaringan Peneroka Bandar (MARHAEN-PSM) mahu tuntutan-tuntutan berikut diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa untuk menangani masalah perumahan rakyat Malaysia.

(A)         Kurangkan kadar dasar semalaman (OPR)

Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas daripada 2.75 peratus kepada 3.00 peratus pada tahun ini telah memberi kesan kepada peminjam perumahan terutamanya golongan B40 walaupun dinafikan oleh pihak perbankan. PMX pula berkata bahawa kenaikan OPR akan menyebabkan rakyat berjimat. Maka, mulut-mulut yang menentang kenaikan OPR sebelum Pilihan Raya 2022 telah dizipkan oleh salah satu tuan baharu mereka, iaitu kaum pemodal perbankan. Adakah mereka sedar bahawa kenaikan OPR ini menyebabkan bayaran balik pinjaman perumahan meningkat dan memberi kesan yang teruk kepada golongan rakyat marhaen B40 yang mengharapkan gaji minimum untuk kelangsungan kehidupan harian mereka? Inikan pula dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan ketiadaan kenaikan gaji minimum.

(B) Kurangkan harga rumah ke paras di bawah RM100,000 – Bina lebih banyak rumah sewa / sewa beli

Kenaikan harga rumah selepas pandemik adalah satu tindakan spekulasi oleh kaum pemodal yang mendapat restu kerajaan. Malangnya, kerajaan masa kini juga menari pada rentak yang sama, amat pro-pemaju dan tidak meletakkan kawalan untuk membantu dalam mengawal kenaikan ini. Besar kemungkinan ialah kerajaan tidak mempunyai satu posisi untuk menghalang kaum pemodal dan membenarkan sistem pasaran bebas menentukan harga rumah. Ini jelas satu tindakan yang menindas golongan marhaen dan kerajaan harus menyediakan sendiri rumah pertama rakyat dengan harga subsidi di bawah RM100,000. Rakyat biasa dengan gaji minimum tidak mampu untuk membeli rumah biasa yang baharu dibina.

Kami juga mencadangkan agar kerajaan membina 200 buah rumah di setiap kawasan Parlimen di Malaysia dan menyewakannya dengan skim perumahan mampu sewa / sewa beli untuk membolehkan masyarakat yang paling terpinggir juga mampu hidup berbumbung dengan kadar sewa yang paling minimum.

(C) Hentikan lelong rumah marhaen – Tawarkan penstrukturan semula pembayaran

Saban hari, kita melihat bagaimana rumah rakyat marhaen dilelong kerana ketidakmampuan mereka untuk membayar balik pinjaman perumahan. Pihak bank tidak memikul tanggungjawab sosial untuk melihat kesan sosio-ekonomi masa kini terhadap rakyat biasa yang dihimpit dengan pandemik ini. Seruan untuk moratorium tidak diendahkan dan walaupun semua pihak, baik ahli politik daripada pelbagai parti melaungkan perlanjutan moratarium, jelas pihak bank hanya mengakui untuk moratorium bersasar. Kami di PSM menerima moratorium bersasar ini, tetapi pihak bank tidak harus menggunakan hanya taktik ini untuk membantu rakyat biasa kerana ia hanya satu langkah jangka pendek dan tidak menyelesaikan masalah yang wujud. Kerajaan melalui Bank Negara harus tegas dalam menetapkan regulasi yang secukupnya untuk menekan pihak bank supaya menyelesaikan krisis peminjam, termasuk menawarkan skim penstrukturan semula dan skim pembayaran statik minimum untuk tempoh tertentu.

(D) Hentikan pengusiran paksa terhadap peneroka bandar dan pekerja ladang – Iktiraf peneroka bandar dan gubal Akta Skim Perumahan Ladang

Tahun ini juga masih menyaksikan kejadian pengusiran paksa terhadap peneroka bandar dan pekerja ladang. Isu kejadian di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, dan ladang-ladang di Kuala Selangor membuktikan bahawa betapa pentingnya Kerajaan Madani mengimbas balik perjuangan mereka melawan pengusiran paksa pada satu ketika dahulu yang ahkirnya menjadi asas kepada kejayaan mereka untuk membentuk kerajaan negeri dan seterusnya mengambil alih kerajaan pusat pada hari ini. Mengapakah kejadian pengusiran paksa ini masih berlaku walaupun kerajaan hari ini diterajui oleh kelompok reformis ini? Kerajaan pusat/negeri harus menyahut seruan supaya mewujudkan satu enakmen yang mewajibkan peneroka bandar yang diusir keluar secara automatik ditawarkan perumahan atau lot tanah alternatif, dan menggubal Akta Perumahan Pekerja Ladang untuk menyelesaikan masalah pengusiran paksa sebegini.

(E) Majlis Perbandaran Tempatan mengambil alih penyelenggaraan rumah flat kos rendah

Badan Pengurusan Bersama (JMB) di rumah flat kos rendah terpaksa menghadapi pelbagai kerumitan, terutamanya dalam mengutip wang penyelenggaran daripada penghuni flat. Ini menyebabkan keadaan flat yang tidak terjaga dan uzur. Penyelesaian yang senang ialah majlis perbandaran mengambil alih penyelengaraan rumah pangsa kos rendah. Penghuni flat kos rendah hanya perlu membayar dua jenis cukai, iaitu cukai tanah (setahun sekali) dan cukai pintu (6 bulan sekali) seperti mana rumah teres kos rendah. Bayaran harus dibuat terus kepada Majlis Perbandaran dan Pejabat Tanah. Bayaran harus meliputi kutipan sampah, pembersihan koridor, pembersihan longkang, taman permainan, lampu jalan dalam kawasan flat dan jalan raya dalam kawasan flat.

(F) Hentikan penindasan terhadap pekerja migran, pelarian dan pemohon suaka

Perumahan untuk pekerja migran dan pelarian adalah tanggungjawab kita dalam erti kata kemanusiaan. Pekerja migran dihimpit beramai-ramai di dalam rumah kedai dan kini pula ada usaha untuk menghalau mereka dari rumah sewaan PPR. Kita harus sedar bahawa pekerja migran turut membantu dalam membangunkan negara ini, sementara masyarakat pelarian pula ditindas di negara asal dan memerlukan sokongan kita. Sediakan skim perumahan mampu sewa untuk pekerja migran dan pelarian. Jangan melakukan pengusiran paksa terhadap pekerja migran / pelarian yang tinggal di PPR dan sediakan perumahan alternatif untuk mereka. Penempatan sementara harus disediakan di perumahan majlis (council housing) sehingga penyelesaian untuk perumahan mereka tercapai.

Kami yakin bahawa tuntutan-tuntutan ini adalah untuk kepentingan majoriti rakyat yang dihimpit dan ditindas kerana kepentingan dan kerakusan segelintir pihak yang mahu meniagakan sistem perumahan untuk keuntungan semata-mata. Kaum pemodal perumahan tidak akan memikirkan idea bahawa perumahan untuk rakyat biasa adalah tanggungjawab bersama kerana ia tidak akan menguntungkan mereka. Malangnya, kerajaan reformasi juga masih tidak menunjukkan usaha untuk memperbaiki sistem perumahan kita yang semakin hancur dan sukar dikecapi oleh marhaen.

Tanggungjawab untuk menyediakan rumah untuk rakyat perlu dipikul oleh kerajaan yang harus sedar bahawa perumahan selesa mampu milik/sewa adalah hak asasi rakyat dan tidak harus dihidangkan kepada buaya kapitalis yang akan menjadikannya komoditi untuk keuntungan. Kerajaan harus mengeluarkan penyediaan perumahan rakyat daripada pasaran swasta.

Setiap rakyat berhak mempunyai bumbung di atas kepala tanpa mencekik lehernya. Perumahan ialah Hak Asasi Rakyat.

==========

Karthiges Rajamanickam ialah Penyelaras Gabungan Marhaen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *