oleh Danny Villenguez Mohd Amani 

Pemuda Sosialis menyatakan solidariti bersama Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dan seluruh warga mahasiswa Universiti Malaya (UM) dalam bantahan mereka terhadap Zero-Balance Policy yang akan menjejaskan mahasiswa marhaen dan tidak berkemampuan. Hal ini kerana mahasiswa UM tidak lagi diberikan kelonggaran untuk membayar yuran sebelum peperiksaan akhir universiti, bahkan sebaliknya, terpaksa membayar yuran universiti sebelum semester bermula. 

Jika yuran tidak dibayar, status pelajar tidak akan aktif untuk semester berikutnya dan mahasiswa itu mungkin terpaksa menangguhkan tempoh pelajaran. Ini merupakan sebuah polisi yang hanya akan menzalimi mahasiswa yang datang daripada latar belakang yang tidak mewah. Walaupun menurut Pentadbiran UM, hanya 4% mahasiswa UM akan terjejas disebabkan polisi ini, ia masih bermakna bahawa sekurang-kurangnya 807 orang warga mahasiswa akan terjejas disebabkan polisi ini. Adakah pihak universiti menganggap 807 orang mahasiswa ini tidak bernilai? 

Kami di Pemuda Sosialis percaya bahawa tiada mahasiswa yang patut ditindas polisi ini dan bahawa semua mahasiswa, tidak kira bilangan, patut mampu menghadiri universiti tanpa tekanan disebabkan beban kewangan. Sebagai “Best University in Malaysia”, UM sepatutnya mengangkat mahasiswanya, bukan membebankan dengan isu wang. Kami menuntut UM supaya memansuhkan Zero-Balance Policy, dan kami menekankan solidariti bersama KMUM dan seluruh warga mahasiswa UM. 

==========

Danny Villenguez Mohd Amani ialah Ahli Jawatankuasa Biro Mahasiswa Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *