oleh Muhammad Isa Nahoo Gani

Penarikan 47 pertuduhan terhadap Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ialah sesuatu yang mengejutkan dan perlu penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara. Melawan rasuah mestilah bermula daripada pihak Yang berada di puncak kuasa dan ia memerlukan integriti dan kekuatan. Pengumuman slogan MELAWAN rasuah akan hanya menjadi sekadar RETORIK yang memualkan jika tiada pelaksanaan yang telus.

Mandat rakyat dalam PRU ke-15 adalah menolak kerajaan kleptokrat yang dipimpin oleh Barisan Nasional-UMNO. Dalam kempen Pakatan Harapan (PH) sama ada dalam ceramah umum atau media sosial, naratif yang dibawa adalah bahawa BN dan UMNO ini ialah parti perompak dan penyamun. Di sebelah pihak lain pula UMNO dan BN menyerang PH khasnya DAP. DAP dilabel anti-Melayu Dan anti-Islam.

Apabila PH bekerjasama dengan UMNO untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan, para pengundi merasakan mereka tertipu. Wujud persoalan prinsip dan adakah yang dikejar semata-mata jawatan dan kuasa atas nama kestabilan kerajaan dan kebaikan rakyat.

Parti politik seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengetengahkan dan mempersoalkan keputusan kes-kes berprofil tinggi tetapi dilemparkan dengan pelbagai tohmahan pengkhianatan dan diwujudkan satu persepsi bahawa mereka bekerjasama dengan Perikatan Nasional. Adakah wajib untuk sebuah parti politik dalam satu Blok untuk menyokong segala tindakan yang dilakukan walaupun ia bertentangan dengan prinsip yang diperjuangkan?

MUDA Dan PSM telah menolak kenyataan yang dibuat oleh Muhammad Sanusi (Perikatan Nasional) kerana ia amat tidak matang dan dangkal dibuat di atas pentas ceramah politik. MUDA dan PSM menjujung Perlembagaan Persekutuan sebagai batu asas kepada sistem demokrasi Malaysia, tetapi penggunaan Akta Hasutan ke atas beliau adalah tidak wajar.Ini kerana Presiden PKR Anwar Ibrahim sendiri menyatakan “komitmen” untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 apabila berjaya menjadi Perdana Menteri.

Pembaharuan institusi harus mengutamakan prinsip dan dibuat secara objektif serta telus tanpa mengutamakan keperluan untuk menyelamatkan NARATIF politik sahaja.Ia adalah penting untuk mendapatkan semula kepercayaan pertubuhan masyarakat sivil dan orang ramai.

Jika tidak, ‘reformasi’ hanya retorik sahaja..

==========

Muhammad Isa Nahoo Gani ialah aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Sungai Siput.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *