TELUK INTAN, PERAK: Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) mengadakan satu aksi piket secara aman di hadapan Hospital Teluk Intan pada 21 Ogos 2023 untuk membantah penindasan yang dilakukan oleh seorang penyelia perkhidmatan pembersihan di hospital tersebut terhadap pekerja-pekerja pembersihan di situ, termasuk mewujudkan sekatan terhadap pekerja untuk mengambil cuti sakit.

Pekerja-pekerja pembersihan di Hospital Teluk Intan diupah oleh syarikat Edgenta UEMS yang mendapat kontrak perkhidmatan pembersihan untuk hospital-hospital di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sejak tahun 2020. Penyelia syarikat Edgenta UEMS di Hospital Teluk Intan telah menetapkan satu peraturan yang tidak munasabah di mana ia menyekat hak pekerja pembersihan di situ untuk mendapatkan cuti sakit. Jika seseorang pekerja pembersihan di Hospital Teluk Intan hendak mengambil cuti sakit, dia perlu mengetik kad perakam waktu (punch card) terlebih dahulu, baru boleh pergi berjumpa doktor, dan kemudiannya perlu meletakkan slip MC (sijil cuti sakit) di atas meja penyelia. Peraturan yang menyukarkan pekerja dalam mengambil cuti sakit ini adalah bertentangan dengan Seksyen 60F Akta Kerja 1955.

“Cuti sakit adalah hak pekerja,” kata Roziah Hashim selaku Presiden NUWHSAS yang berpiket di hadapan Hospital Teluk Intan. “Tetapi penyelia Puan Azilah di Hospital Teluk Intan seolah-olah membuat undang-undang di tangannya sendiri. Dia suruh pekerja bahawa sebelum mengambil cuti sakit, mereka perlu punch card terlebih dahulu, baru boleh pergi berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan MC, dan kemudiannya perlu meletakkan slip MC itu di atas mejanya! Jika pekerja tidak dapat berbuat demikian, dia akan dianggap sebagai tidak hadir kerja tanpa kebenaran. Dan ada pekerja diberhentikan atas sebab ini!”

“Kami sudah cuba berbincang untuk mencari penyelesaian secara baik dengan pihak majikan. Sudah hampir 5 bulan berlalu, tetapi perkara ini masih berterusan,” ulas Roziah. “Jadi, pihak jawatankuasa kesatuan memutuskan untuk mengadakan aksi secara aman pada hari ini untuk meminta pada pihak majikan supaya mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan masalah ini dan menghentikan amalan yang menindas pekerja ini.”

“Peraturan yang dibuat oleh pihak majikan di Hospital Teluk Intan ini adalah satu penganiayaan terhadap pekerja,” tegas kata Roziah. “Kebanyakan pekerja pembersihan ini bukan muda-muda lagi. Kebanyakan kami berusia 40 tahun ke atas dan penyakit tak kenal usia. Jika pekerja sudah sakit, bayangkanlah jika tiba-tiba kena strok pada waktu pagi, macam mana dia boleh pergi punch card dan hantar slip MC ke pejabat? Cuti sakit adalah hak pekerja, dan bukan hak majikan untuk menentukannya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *