KUALA LUMPUR: Sekumpulan penternak dari kawasan Mukim Hulu Bernam Barat, Daerah Padang Batang, Perak, mengunjungi ibu pejabat syarikat Visi Bumi Unggul Sdn Bhd yang terletak di Wisma Lim Foo Yong pada 2 Ogos 2023 untuk menyerahkan surat yang menyeru supaya mengekalkan kawasan penternakan yang sedang diusahakan mereka.

Para penternak berkenaan merupakan anak atau cucu kepada pekerja-pekerja sebuah syarikat perlombongan bijih timah yang beroperasi di atas tanah lot PT 4040/4041 di Mukim Hulu Bernam Barat, Daerah Padang Batang, Perak. Apabila lombong bijih timah tersebut berhenti operasi pada tahun 1992, syarikat MMC yang merupakan majikan kepada mereka telah membenarkan bekas pekerjanya untuk menggunakan tanah lapang di lot PT 4040/4041 untuk menternak lembu dan menanam sayur-sayuran. Tanah tersebut telah menjadi punca pendapatan utama kepada pengusaha penternakan dan pertanian kecil ini.

Pada tahun 2004, apabila pajakan perlombongan di tanah tersebut tamat tempohnya, para penternak dan petani di situ telah memohon lesen pendudukan sementara daripada pihak berkuasa untuk meneruskan kegiatan penternakan dan pertanian mereka, tetapi Pejabat Tanah tidak membantu mereka dalam proses ini.

Sebaliknya, tanah yang diusahakan oleh penternak-penternak dan petani-petani kecil ini dilupuskan kepada syarikat Visi Bumi Unggul Sdn Bhd pada tahun 2010. Syarikat Visi Bumi Unggul Sdn Bhd dimiliki bersama oleh Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Malaysia, dan Jeanne Abdullah, isteri kepada Abdullah Ahmad Badawi.

Sekarang ini, Syarikat Visi Bumi Unggul Sdn Bhd telah memulakan prosiding mahkamah untuk mengusir penternak-penternak dan petani-petani kecil keluar dari tanah yang sedang diusahakan mereka. “Tindakan ini adalah bertentangan dengan jaminan Tun Abdullah Badawi bahawa kegiatan pertanian kami tidak akan diganggu oleh syarikat Visi Bumi Unggul. Jaminan ini diberikan oleh Tun sendiri apabila beliau melawat Slim River lebih kurang 12 tahun dahulu,” begitu katanya surat daripada Jawatankuasa Penternak di PT 4040 dan PT 4041 yang ditujukan kepada syarikat Visi Bumi Unggul Sdn Bhd.

Penternak-penternak dan petani-petani yang diancam pengusiran ini sedang mencari peguam untuk mewakili mereka dan mempersoalkan sebab Kerajaan Negeri Perak menolak permohonan mereka untuk meneruskan usaha penternakan lembu di situ walaupun mereka telah mengusahakan tanah tersebut untuk hampir 20 tahun pada ketika mereka memohon lesen pendudukan sementera, sebaliknya melupuskan tanah berkenaan kepada sebuah Syarikat yang dimiliki oleh seorang bekas Perdana Menteri.

“Kami berharap masalah ini dapat diselesaikan di luar mahkamah. Permohonan kami adalah Visi Bumi Unggul bersetuju menyewakan tanah ini kepada kami (dengan kadar sewa yang munasabah) supaya kami dapat meneruskan dengan kegiatan penternakan,” ujar Jawatankuasa Penternak di PT 4040 dan PT 4041 dalam suratnya.

“Memandangkan krisis dalam bekalan makanan dan kenaikan harga daging dan susu, sekiranya pihak syarikat Visi Bumi Unggul bersetuju untuk menyewakan tanah kepada penternak-penternak dan petani-petani kecil ini untuk meneruskan aktiviti penternakan dan pertanian mereka, ini bukan Sahaja menyelamatkan mata pencarian keluarga-keluarga marhaen ini, tetapi juga rakyat Malaysia yang sedang berhadapan dengan ketidakterjaminan makanan,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang turut hadir bersolidariti dengan penternak-penternak dari Mukim Hulu Bernam Barat. “Tahap sara diri negara kita dalam bekalan daging lembu hanya 30% pada takat ini. Ini bukannya masa untuk menghancurkan sebuah kawasan di mana sedang diternak lebih luring 1,000 ekar lembu.”

“Walaupun sewa yang mampu dibayar oleh penternak-penternak dan petani-petani kecil ini adalah jauh lebih rendah berbanding keuntungan yang dapat diperolehi melalui projek-projek ‘pembangunan’, tetapi keputusan untuk mengekalkan kawasan ini untuk pengeluaran makanan adalah baik untuk rakyat dan negara,” ulas Dr. Jeyakumar.

Para penternak dan petani kecil di Hulu Bernam Barat juga akan cuba melobi Kerajaan Negeri Perak untuk mengecualikan bayaran cukai tanah terhadap lot tanah PT 4040/4041 jika ia disewa oleh Visi Bumi Unggul kepada penternak-penternak dan petani-petani kecil yang sedia ada di situ. Jawatankuasa Penternak di PT 4040 dan PT 4041 berharap pihak syarikat Visi Bumi Unggul boleh mempertimbangkan rayuan daripada penternak-penternak dan petani-petani kecil ini, dan mengarahkan peguamnya untuk menundakan kes di mahkamah sehingga perbincangan diadakan antara pihak syarikat dan pihak penternak-penternak serta petani-petani untuk mencari satu jalan penyelesaian yang memuaskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *