KOTA DAMANSARA – 6 OGOS 2023: Sivarajan Arumugam, calon kerusi DUN N39 Kota Damansara dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Selangor, mengemukakan manifestonya untuk kawasan DUN Kota Damansara pada hari ini dalam satu sidang media khas.
Manifesto PSM untuk kawasan DUN N39 Kota Damansara dalam PRN Selangor 2023 ini menggariskan beberapa perkara sebagai terasnya:
1. Kemampuan membeli rumah
Di bawah dasar perumahan semasa di Selangor, rumah kos rendah dalam jalur RM42,000 hingga RM100,000 semakin berkurangan. PSM akan memperjuangkan supaya kuota pembinaan rumah kos rendah perlu ditingkatkan ke 30% daripada keseluruhan jumlah rumah dalam sesuatu pembangunan.
2. Trafik dan pembangunan
PSM akan mewujudkan satu mekanisme di mana penduduk-penduduk setempat mampu untuk memantau dan melapor keadaan traffik dan pembangunan semasa kepada pihak berkuasa tempatan. Penduduk setempat akan diperkasakan untuk memastikan penyelenggaraan dilaksanakan.
3. Majlis Perundingan Rakyat
PSM akan mewujudkan Majlis Perundingan Rakyat (MPR) Kota Damansara yang akan dianggotai oleh wakil penduduk setempat. MPR akan meneliti projek dan bajet pembangunan dan juga penyelenggaraan kemudahan awam di Kota Damansara.