Sivarajan Arumugam (kanan), membangkitkan isu-isu berkaitan dengan rumah mampu milik dalam sidang media yang diadakan pada 1 Ogos 2023 untuk mendedahkan kegagalan Kerajaan Negeri Selangor dalam menyediakan perumahan mampu dihuni bagi golongan rakyat marhaen.

oleh Sivarajan Arumugam

Parti Sosialis Malaysia (PSM) sentiasa memperjuangkan hak perumahan bagi semua dan menekankan tanggungjawab pihak berkuasa untuk menggagaskan dasar bagi merealisasikan hak ini, terutamanya bagi rakyat marhaen dan golongan pekerja. Kami mengamati perkembangan Perusahaan dan dasar perumahan yang menunjukkan hala tuju yang membimbangkan. Lanjutan itu, PSM menggariskan beberapa isu yang membangkitkan persoalan tentang komitmen kerajaan dalam memperjuangkan hak perumahan bagi semua.

1. Peningkatan harga menjangkaui ambang “mampu milik

Berdasarkan kaedah gandaan median (“median multiple”), sesuatu perumahan itu dianggap mampu milik sekiranya harga rumah tidak melebihi tiga kali ganda (3.0) gaji median. Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (2019) menganggarkan harga RM188,208 untuk perumahan mampu milik, namun telah mendapati bahawa harga median perumahan yang sebenar adalah RM 293,000, jauh menjangkaui ambang mampu milik tersebut.

Khazanah Research Institute (KRI) juga telah mendapati bahawa sepanjang tahun 2002-2016, harga median perumahan negara adalah empat atau lima kali ganda gaji median. Antara sebab yang didapati ialah jurang yang semakin membesar antara pertumbuhan gaji dan pertumbuhan harga rumah. Didapati bahawa pendapatan isi rumah meningkat sebanyak 11.7% manakala harga rumah meningkat sebanyak 26.5%.

2. Jurang antara harga dan kos pembinaan rumah

Meskipun harga perumahan telah meningkat dengan ketara, data yang sedia ada menunjukkan bahawa kos pembinaan rumah, iaitu kos tenaga kerja, bahan-bahan buatan, mesin, perkakas dan peralatan, mengalami peningkatan yang kecil. Jurang ini membangkitkan persoalan berkenaan margin keuntungan pemaju-pemaju dan kemungkinan bahawa wujudnya eksploitasi terhadap rakyat marhaen dan golongan pekerja yang memerlukan perumahan mampu milik.

3. Isu lebihan (“overhang”) stok perumahan   

Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC)telah menyatakan pada bulan Februari 2023 bahawa jumlah rumah yang tidak terjual (“overhang”) telah menunjukkan penurunan ke 29,534 unit pada Q3 2022 berbanding 34,092 unit pada tahun sebelumnya. Walaupun ini adalah berita yang baik, kebanyakan daripada unit “overhang” ialah perumahan berharga antara RM500,000 – RM1 juta, menunjukkan bahawa penurunan ini didorong oleh pembelian rumah oleh kelas menengah atas dan T20.

Selain itu, NAPIC juga telah menyatakan bahawa stok “overhang” bagi perumahan di bawah harga RM300,000 adalah 23.5% lantas membangkitkan persoalan sama ada perumahan tersebut benar-benar mampu dimiliki oleh rakyat marhaen dan golongan pekerja. Hakikatnya, ramai antara mereka hanya mampu menyewa. Sebagai contoh, 29.2% isi rumah di Selangor menyewa pada tahun 2019. Dan bagi isi rumah berpendapatan B40 di Selangor, 47.5% menyewa pada tahun yang sama.

4. Hala tuju dasar perumahan

Sementara itu, PSM mengamati perubahan penekanan dalam dasar perumahan negara yang kami lihat semakin tidak peka terhadap hakikat kehidupan rakyat biasa. Sebelum tahun 2012, dasar perumahan negara menekankan aspek kos rendah dalam kategori perumahan dalam dasar negara dan secara langsung menyediakan kerangka dasar yang lebih mesra rakyat. Misalnya, paras harga perumahan kos rendah pada tahun 2000 adalah RM42,000.

Namun, sejak tahun 2012, istilah “mampu milik” digunakan sebagai kategori perumahan yang paling rendah dan ambang mampu milik pada ketika itu ditetapkan antara RM100,000 sehingga RM300,000.

Perkara ini juga boleh dilihat dalam dasar Rumah Selangorku 2.0 di mana had maksimum “mampu milik” diletakkan pada harga RM250,000. Hanya dua projek di bawah dasar ini yang menyediakan perumahan berharga antara RM42,000 hingga RM100,000.

PSM mendapati bahawa dengan penjenamaan baharu ini, iaitu dari kategori Rumah Kos Rendah kepada Rumah Mampu Milik ini, maka kuota pembangunan perumahan kos rendah telah dikurangkan secara mendadak, iaitu dari 30% kuota perumahan kos rendah (dahulu) ke sekitar 10% – 20% rumah Selangorku Jenis A berharga RM42,000.

Hala tuju dasar perumahan negeri Selangor menjadi lagi teruk jika kita mengkaji Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor (Rumah Selangorku 3.0) yang telah merombak kategori perumahan seperti berikut:

  1. Solo, 450 kaki persegi (kps) – RM114,750
  2. Duo, 600 kps – RM153,000
  3. Trio, 750 kps – RM191,250
  4. Quad, 900 kps – RM229,500
  5. Quad (Teres), 900 kps – RM250,000

Apa sudah jadi dengan rumah kos rendah? Rumah dengan harga antara RM42,000 dan RM100,000??
Persoalan-persoalan di atas berbangkit kerana wujudnya peningkatan pengaruh pasaran yang tidak diimbangi dengan aspek keadilan sosial. Tanggungjawab kerajaan yang mesra rakyat adalah untuk menekankan perumahan sebagai hak sosial. PSM akan terus memperjuangkan supaya hak perumahan tidak terus dikomodifikasikan dan secara langsung membela nasib rakyat marhaen serta golongan pekerja.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *