Berikut ialah kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 18 Julai 2023 oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM):

==========

Pertamanya, kami menolak kenyataan yang dibuat oleh Muhammad Sanusi Md Nor. Ianya amat tidak matang dan dangkal yang dibuat di atas pentas ceramah politik. MUDA dan PSM menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang menjadi batu asas kepada sistem demokrasi Malaysia.

Walau bagaimanapun, kami menolak akan pengunaan Akta Hasutan ke atas beliau, serta memanggil untuk akta ini dimansuhkan. Akta yang bersifat “draconian” dan lapuk ini yang mula-mula digubal oleh penjajah British untuk mengekalkan kuasa mereka wajar dimansuhkan. Malah, United Kingdom sendiri telah memansuhkan akta ini di negara mereka sejak tahun 1970-an.

Sudah terdapat peruntukan lain untuk menguruskan isu-isu berbangkit yang berkait dengan perihal ini. Satu undang-undang baharu boleh digubal sekiranya perlu, dengan perbincangan perlu melibatkan semua pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan.

Kami turut ingin mempersoalkan tindakan menahan beliau pada jam 3 pagi, sedangkan beliau boleh sahaja diarahkan untuk hadir sendiri sama ada ke Balai Polis atau mahkamah.

Kerajaan Madani hari ini yang ditunjangi Pakatan Harapan telah lama memperjuangkan untuk memansuhkan akta ini, malah ianya tertulis dalam Manifesto Pakatan Harapan. Kita tidak boleh hanya menjadi idealis hanya ketika dalam pembangkang kemudian meninggalkan prinsip apabila mendapat kuasa.

MUDA dan PSM sekali lagi memanggil untuk Akta Hasutan dimansuhkan selari dengan janji Reformasi yang diperjuangkan selama ini.

Apa guna berunding untuk mendapatkan kuasa kalau ianya tidak digunakan untuk melaksanakan perubahan.

==========

Kenyataan bersama ini dibuat oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *