Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada 16 Julai 2023 semasa mengumumkan calon PSM yang akan bertanding di kawasan DUN N39 Kota Damansara dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023.

**********

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Subang mempunyai sejarah yang lama berkhidmat di kawasan Parlimen Subang (kini dikenali dengan nama kawasan Parlimen Sungai Buloh).  Cawangan PSM yang pertama di Selangor ialah Cawangan Subang. Pada tahun 2004, Dr. Mohd Nasir Hashim telah bertanding di kawasan Parlimen Subang dan Saudara Selvam (Pengerusi Cawangan Subang sekarang) telah bertanding untuk kerusi DUN Bukit Lanjan, salah satu kerusi DUN di bawah Parlimen Subang.

Pada tahun 2008, Dr Nasir Hashim telah berjaya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara. Setelah perkhidmatan cemerlang selama satu penggal, beliau kalah dalam PRU-13 akibat sabotaj puak PAS di bawah pimpinan Hadi Awang yang meletakkan calon mereka sendiri walaupun Dr Nasir diendos sebagai calon Pakatan Rakyat pada masa itu.

Justeru, Parti Sosialis Malaysia ingin bertanding semula di Kota Damansara yang telah lama kami menyumbangkan khidmat. Pelbagai isu telah kami libatkan diri dan juga dapat selesaikan dalam jangka masa 15 tahun yang lepas.

Maka, untuk PRN Selangor 2023 ini, Parti Sosialis Malaysia menamakan Saudara Sivarajan Arumugam sebagai calon bagi kawasan DUN N39 Kota Damansara.

Beliau merupakan salah seorang pengasas PSM dan perintis Cawangan Subang apabila parti ditubuhkan pada tahun 1998.   Saudara Sivarajan telah berkhidmat di Kota Damansara, Subang, sejak tahun 1998 sehingga kini. Saudara Sivarajan juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam dari tahun 2008 hingga 2013. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha kepada ADUN Kota Damansara Dr Mohd Nasir Hashim pada masa itu.

Kami ingin mempergiatkan lagi perjuangan kami di sini, jika rakyat Kota Damansara memberikan peluang sekali lagi kepada PSM untuk menerajui kerusi DUN Kota Damansara. Pelbagai permasalahan rakyat masih belum diselesaikan sejak kami tamat khidmat kami sebagai Pejabat ADUN Kota Damansara pada tahun 2013, selepas kekalahan dalam PRU-13.

Oleh itu, demi meneruskan perjuangan warga marhaen, kami menawarkan diri sebagai suara tulen marhaen untuk memperjuangkan isu-isu kepentingan asas rakyat dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.  

One thought on “Sivarajan tawar diri sebagai suara marhaen dalam DUN Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *