SHAH ALAM, SELANGOR – 2 JUN 2023: Penduduk-pendudukdari Pangsapuri Sunway Sinar, Sunway Kayangan, Shah Alam, Selangor, menyerahkan satu memorandum kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada hari ini dengan seruan supaya Pihak Berkuasa Tempatan menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk-penduduk di situ yang kebanyakannya daripada golongan berpendapatan rendah B40.

Turut hadir bersama semasa penyerahan memorandum pada hari ini ialah Suresh Balasubramaniam daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) Unit Shah Alam.

“Kebanyakan penduduk yang tinggal di Pangsapuri Sunway Suria ialah golongan B40 dan sesetengah daripada mereka tidak mempunyai pengangkutan sendiri,” kata Suresh Balasubramaniam semasa menyerahkan memorandum yang ditujukan kepada Dr. Nor Fuad Abdul Hamid selaku Datuk Bandar Shah Alam. “Oleh kerana tiadanya perkhidmatan bas yang melalui kawasan perumahan mereka, penduduk-penduduk di sini terpaksa bergantung kepada kereta sapu (kereta bertambang yang membawa penumpang tanpa lesen sah), teksi dan perkhidmatan e-panggilan. Perbelanjaan untuk perkhidmatan pengangkutan ini adalah di luar kemampuan penduduk-penduduk di sini yang kebanyakannya daripada keluarga B40.”

“Perkhidmatan Bas Selangor Percuma mempunyai laluan dari hab Shah Alam ke Pekan Subang, tetapi tidak memasuki kawasan Pangsapuri Sunway Sinar. Bas-bas ini hanya melalui kawasan perumahan golongan M40 di Bukit Jelutong,” ujar Suresh. “Bas Rapid T605 hanya melalui jalan besar yang terletak sejauh 2 kilometer dari Pangsapuri Sunway Sinar. Bas-bas ini hanya memberi perkhidmatan dari bandar Shah Alam ke Puncak Perdana, tetapi tidak berhenti untuk mengambil penumpang di Pangsapuri Sunway Sinar.”

“Anak-anak penduduk di Pangsapuri Sunway Sinar pergi ke sekolah yang terletak sejauh hampir 10 kilometer, di Taman TTDI Jaya, Taman Ladang Jaya Glenmarie dan Bukit Jelutong. Kanak-kanak ini terpaksa menaiki van dan kereta yang tidak berinsurans kerana tiadanya perkhidmatan bas awam. Kos menaiki bas sekolah adalah tinggi dan ada sesetengah ibu bapa memang tidak mampu untuk menanggungnya,” tambah Suresh lagi.

Penduduk-penduduk di Pangsapuri Sunway Sinar telah meminta pelaksanaan perkhidmatan bas di kawasan mereka sejak tahun 2007, tetapi masih tiada perkhidmatan bas yang melalui kawasan mereka selepas 16 tahun. Penduduk-penduduk di situ pernah memohon kepada Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) pada 11 September 2007 dan 3 Jun 2008. Jawapan yang diterima oleh mereka ialah permohonan mereka telah mendapat perhatian daripada RapidKL tetapi keputusan untuk mengadakan perkhidmatan bas adalah bergantung kepada permintaan yang menggalakkan. Satu surat daripada MBSA kepada Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pada 18 September 2008 telah meminta supaya menyediakan perkhidmatan bas di kawasan sekitar Pangsapuri Sunway Sinar.

Penduduk-penduduk Pangsapuri Sunway Sinar menghantar satu surat kepada Kumaravel Subrayan selaku Ahli Majlis MBSA pada 1 April 2021 untuk memohon perkhidmatan Bas Selangor Percuma. Pada 22 Disember 2022, Persatuan Penduduk Pangsapuri Sunway Sinar mengemukakan cadangan laluan baharu Bas Smart Selangor kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 22. Pada 6 Januari 2023, penduduk-penduduk Pangsapuri Sunway Sinar menghantar surat kepada Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor, Ng Sze Han selaku Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam, dan Najwan Halimi selaku ADUN Kota Anggerik, untuk memohon penyediaan perkhidmatan Bas Selangor Percuma di kawasan Sunway Kayangan.

Atas nama berusaha untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan di negeri Selangor, Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan perkhidmatan bas secara percuma melalui 3 buah Pihak Berkuasa Tempatan, iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang. Penyediaan bas ini dikatakan bertujuan memberikan perkhidmatan pengangkutan secara percuma sekaligus membantu menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam selain dapat meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan, perkhidmatan ini juga

dapat membantu mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian yang boleh menyebabkan kesesakan lalulintas dan pencemaran alam sekitar.

Oleh yang demikian, Jawatankuasa Bertindak Pangsapuri Sunway Sinar menyeru kepada pihak MBSA supaya menyediakan perkhidmatan Bas Selangor Percuma yang melalui kawasan kediaman mereka dengan segera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *