ISKANDAR PUTERI, JOHOR – 8 MEI 2023: Lebih kurang 200 orang daripada masyarakat Orang Asli di negeri Johor mengadakan aksi protes di hadapan Pejabat Menteri Besar Johor pada hari ini untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap rancangan kerajaan untuk menjadikan semua tanah Orang Asli di negeri itu sebagai Tanah Kesultanan.

Gabungan Pemimpin dan Akar Umbi Orang Aasli Negeri Johor menegaskan dalam memorandumnya yang ditujukan kepada Datuk Onn Hafiz bin Dato’ Ghazi selaku Menteri Besar Johor bahawa masyarakat Orang Asli di negeri Johor memang tidak bersetuju dengan cadangan meletakkan semua tanah Orang Asli diletakkan di bawah Enakmen Tanah Kesultanan seperti yang dicadangkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor baru-baru ini.

Pemimpin-pemimpin dan wakil-wakil masyarakat Orang Asli di negeri Johor telah memutuskan sebulat suara dalam satu persidangan pada 14 April 2023 bahawa mereka membantah cadangan yang hendak menjadikan semua tanah Orang Asli di Johor sebagai “Tanah Kesultanan”.

Memorandum daripada Gabungan Pemimpin dan Akar Umbi Orang Aasli Negeri Johor menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Johor tidak mempunyai sebab yang kukuh untuk menukarkan tanah rizab Orang Asli di negeri itu kepada Tanah Kesultanan. Ini kerana perizaban tanah untuk masyarakat Orang Asli dibuat berdasarkan Seksyen 6 dan 7 Akta Orang Asli 1954 serta peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, di mana ia terpakai untuk semua tanah rizab Orang Asli di seluruh negara. Masyarakat Orang Asli di Johor bimbang bahawa hak tanah adat mereka akan diancam lebih lanjut lagi apabila status tanah rizab Orang Asli ditukar kepada Tanah Kesultanan.

Dolah Tekoi, Pengerusi Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) yang turut hadir semasa penyerahan memorandum, berkata bahawa tindakan meletakkan tanah rizab orang asli di bawah Tanah Kesultanan akan bercanggah dengan Seksyen 7(2)(i) Akta Orang Asli 1954 yang menyatakan bahawa “di dalam sesuatu rizab orang asli, iada tanah boleh diisytiharkan sebagai Rizab Orang Melayu di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan Rizab Orang Melayu”.

“Kami juga tidak mahu semua fakta-fakta kes yang menang di mahkamah yang memihak kepada Orang Asli seperti kes Adong Kuwau dan Sagong Tasi, hilang tidak terpakai lagi, maka selepas ini Orang Asli tidak lagi boleh membawa kes tuntutan tanah ke mahkamah,” kata Dolah Tekoi. “Kami mahu semua tanah adat di sekitar kampung kami diiktiraf dengan cara diwarta atau dirizab sebagai Rizab Orang Asli berpandukan peta komuniti yang munasabah yang dihasilkan oleh penduduk kampung bagi menambahkan jumlah tanah rizab sedia ada sebagai langkah untuk mengurangkan pencerobohan yang lebih luas.”

Memorandum bantahan daripada masyarakat Orang Asli di Johor ini disokong oleh wakil-wakil dari perkampungan Orang Asli di pelbagai kawasan di seluruh negeri Johor, termasuk Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Mersing, Muar dan Segamat. Aktivis-aktivis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) Johor, termasuk Arangkannal Rajoo yang merupakan bekas calon PSM untuk kawasan Kota Iskandar dalam Pilihan Raya Negeri Johor 2022, turut hadir bersolidariti dengan masyarakat Orang Asli Johor yang menuntut hak tanah adat mereka.

Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor juga akan membawa isu ini kepada perhatian Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *