IPOH, PERAK: Petani-petani di kawasan Kanthan, Perak, menyerahkan satu surat kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada 3 Mei 2023 untuk meminta supaya satu perjumpaan petani-petani bersama Menteri Besar Perak diaturkan demi membincangkan kemelut yang dihadapi oleh golongan petani kecil di situ.

Petani-petani sayur di kawasan Kanthan amat khuatir apabila mereka mendengar berita bahawa Saarani Mohamad selaku Menteri Besar Perak akan menghadiri upacara pecah tanah untuk projek kilang silika di kawasan Kanthan. Mereka bimbang bahawa upacara pecah tanah pembinaan kilang itu akan disusuli dengan usaha-usaha untuk mengusir keluar pekebun-pekebun sayur dan penternak-penternak ikan yang berhampiran dengan lokasi kilang itu.

Petani sayur di Kanthan amat khuatir mendengar berita bahawa YAB akan menghadiri upacara memecah tanah untuk projek kilang silica di kawasan Kanthan. Kami khuatir upcara ini akan disusuli dengan usaha-usaha untuk mengusir pekebun sayur dan pembela ikan berhampiran dengan lokasi kilang itu.

Dalam surat yang diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada 3 Mei 2023, Persatuan Petani Moden Chemor yang diangggotai petani-petani sayur di kawasan Kanthan telah membangkitkan perkara-perkara berikut:

  1. Kawasan Kanthan mengeluarkan 60 tan sayur-sayuran setiap hari. Petani-petani kecil di kawasan Kanthan merupakan satu sumber pembekalan makanan yang penting untuk rakyat negeri Perak.
  2. Janji yang diberi oleh kepada petani-petani kecil ini bahawa mereka akan ditawarkan tanah gentian, belum ditunaikan lagi. Pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) telah menunjukkan kepada petani-petani kecil ini satu kawasan berbukit di belakang Kampung Kolam, Changkat Kinding, sebagai tanah gantian. Namun, kawasan itu tidak sesuai untuk penanaman sayur-sayuran kerana berbukit dan kekurangan air. Kawasan tersebut lebih sesuai untuk penanaman kelapa sawit ataupun dusun buah-buahan. Ianya juga memerlukan banyak modal untuk menyediakan teres bagi penanaman.
  3. Prestasi 6 buah kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di negeri Perak amat tidak memuaskan. Pengeluaran sayur-sayuran di 6 buah kawasan tersebut sangat rendah dan sebahagian besar tanah di 6 buah TKPM tidak diusahakan.
  4. Bekalan makanan untuk rakyat Malaysia dijejaskan oleh perubahan iklim, di samping harga baja dan dedak binatang ternakan yang melambung naik. Bil import makanan negara kita telah mencecah RM70 bilion pada tahun lalu. Ini bukan masanya untuk memusnahkan salah sebuah kawasan pengeluaran sayur-sayuran dan jagung yang terbesar di negeri Perak.
  5. 25 tahun terlebih dahulu, 150 ekar tanah persayuran di Kanthan ditukar guna tanahnya kepada tanah perindustrian dan lebih kurang 30 orang pekebun kecil telah diusir keluar. Tetapi 40% kawasan itu masih terbiar. Ia telah dibeli oleh pelabur yang berspekulasi ke atas tanah. Petani-petani Kanthan mengesyorkan bahawa tanah perindustrian yang terbiar ini digunakan untuk menempatkan kilang-kilang yang ingin bertapak di Kanthan sekarang.

“Tolong jangan memusnahkan kebun-kebun sayur yang sedang menghasilkan makanan untuk rakyat tempatan,” begitunya seruan petani-petani kecil di kawasan Kanthan kepada Menteri Besar Perak. “Kami berharap Menteri Besar boleh berjumpa dengan kami untuk membincangkan perkara-perkara yang kami ketengahkan. Selagi masalah ini belum diselesaikan secara yang baik untuk rakyat Perak, Menteri Besar harus mengarahkan PKNPk untuk mengelak daripada sebarang tekanan ataupun pengusiran terhadap petani di kawasan Kanthan.”

Turut hadir bersama semasa petani-petani kecil kawasan Kanthan menyerahkan surat kepada Pejabat Menteri Besar ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM). PSM berpendirian tegas bahawa petani-petani kecil yang mengeluarkan makanan harus dibenarkan untuk bercucuk tanam di atas tanah yang diusahakan mereka dan tidak harus diusir secara paksa. Menghentikan pengusiran terhadap petani-petani kecil bukan sahaja untuk mempertahankan rezeki petani-petani kecil yang rajin mengusahakan tanah, malah juga untuk melindungi keterjaminan makanan bagi seluruh rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *