KUALA LUMPUR – 29 MAC 2023: Rumah seorang warga B40 dapat diselamatkan daripada pelelongan pada saat-saat terakhir selepas aksi protes di ibu pejabat bank.
Krisha Kumar, seorang warga B40 dari Ipoh, Perak, telah berprotes bersama ahli keluarganya di Menara AmBank di Kuala Lumpur pada hari ini, kerana rumah kediamannya di Ipoh telah dijadualkan untuk dilelong pada hari esok, 30 Mac 2023.
Di hadapan ibu pejabat AmBank pada hari ini, Krisha Kumar mempamerkan kain rentang yang tercetaknya gesaan pada AmBank untuk menghentikan pelelongan satu-satu rumah kediamannya. Krisha Kumar menyeru pada pihak bank supaya jangan mengabaikan tanggungjawab sosialnya dalam melindungi rumah golongan B40 yang miskin daripada dirampas sewenang-wenangnya.
Turut hadir bersolidariti ialah M. Sarasvathy, aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Perak yang merupakan mantan Timbalan Pengerusi Nasional PSM, Chandran daripada PSM Bercham dan Chong Yee Shan selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.
Krisha Kumar telah membeli rumah kediamannya di Ipoh sekarang pada tahun 2004 dengan mengambil pinjaman perumahan sejumlah RM69,000 pada masa itu daripada pihak Ambank. Sejak tahun 2016, Krisha Kumar telah membayar RM700 kepada AmBank seperti yang dikehendaki untuk pihak bank berikutan penyusunan semula pinjamannya pada masa itu. Krisha Kumar tidak pernah culas dalam pembayaran balik pinjamannya sejak tahun 2016, tetapi secara tiba-tiba pada bulan Januari 2023, dia terima panggilan daripada ibu pejabat AmBank di Kuala Lumpur yang mengatakan bahawa rumahnya akan dilelong dan dia perlu membayar kira-kira RM17,000 sekali gus, iaitu satu jumlah yang besar. Krish Kumar agak terkejut dan keliru dengan berita itu. Dia kemudiannya telah pergi berulang kali ke pejabat AmBank di Menglembu, Perak, untuk mendapatkan penjelasan dan meminta cara penyelesaian, namun tidak mendatangkan apa-apa hasil. Krisha Kumar merayu bahawa dia tiada rumah lain selain rumah yang sedang dihuninya itu. Selain itu, ibunya yang sudah tua juga tinggal di rumah yang sama.
Krisha Kumar pernah mengunjungi ibu pejabat AmBank di Kuala Lumpur pada 7 Februari 2023 untuk berjumpa dengan pegawai bank di situ mengenai isu rumahnya, tetapi pada hari yang sama juga pihak bank telah menetapkan tarikh untuk pelelongan rumahnya di mahkamah. Krisha Kumar amat terkilan dan tidak berpuas hati kerana pihak bank telah cuai dan tidak bertanggungjawab dalam mengendalikan masalahnya.
“Perkara ini sebenarnya boleh diselesaikan jika pihak bank dapat berkomunikasi secara baik dengan peminjam. Kenapa bertindak seperti Ah Long? Adalah tidak adil kepada golongan B40 untuk bank melelong rumah mereka sewenang-wenangnya,” kata Sarasvathy semasa hadir bersolidariti dengan Krisha Kumar. “Inilah sebabnya kami datang ke sini untuk meminta satu penyelesaian yang adil.”
Selepas perjumpaan dengan pegawai bank berikutan aksi protes di ibu pejabat AmBank pada hari ini, pihak AmBank telah bersetuju untuk membatalkan pelelongan yang dijadualkan pada hari esok. Pihak bank juga bersetuju untuk mempertimbangkan penyusunan semula bayaran ansuran untuk pinjaman yang harus dibayar oleh Krisha Kumar.
Krisha Kumar berasa lega buat sementara waktu kerana rumahnya dapat diselamatkan sehari sebelum dilelongkan!