(Rencana khas sempena ulangtahun ke-10 pemergian Hugo Chávez.)
5 Mac 2023 menandakan ulangtahun ke-10 pemergian Hugo Chávez, seorang tokoh revolusioner berhaluan kiri di Venezuela yang berkarisma, berwawasan dan penting pada zaman kita ini. Walaupun Chávez telah meninggal dunia selama 10 tahun, tetapi idea dan warisannya terus menjadi inspirasi kepada kita untuk memperjuangkan sebuah dunia yang lebih baik.
Ringkasan riwayat hidup Chávez
Hugo Chávez dilahirkan pada 28 Julai 1954 di Sabaneta, negeri Barinas, Venezuela, dalam sebuah keluarga kelas menengah. Chávez berkhidmat sebagai seorang pegawai tentera selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Ketenteraan Bolivar Venezuela. Chávez pada awalnya ditugaskan untuk memburu saki baki kumpulan gerila berhaluan kiri yang masih tinggal di Venezuela, tetapi Chávez melahirkan perasaan empati terhadap perjuangan pemberontak berhaluan kiri dan melihat mereka sebagai golongan petani yang hanya berjuang untuk kehidupan yang lebih baik. Chávez juga terdedah kepada idea-idea revolusioner berhaluan kiri apabila beliau membaca buku-buku Marxis yang ditinggalkan oleh golongan pemberontak.
Mulai penghujung tahun 1970-an, Chávez cuba mewujudkan gerakan revolusioner dalam tentera Venezuela dengan hasrat memperjuangkan sebuah kerajaan berhaluan kiri yang mampu membela nasib rakyat bawahan. Chávez menubuhkan Gerakan Bolivar Revolusioner-200 (MBR-200) pada tahun 1982, sebuah kumpulan sulit dalam tentera Venezuela yang bercita-cita untuk memperjuangkan alternatif yang membebaskan negara Venezuela daripada cengkaman golongan oligarki yang rapat dengan kuasa imperialis.
Pada 4 Februari 1992, Chávez yang berpangkat Leftenan Kolonel pada masa itu, cuba melancarkan kudeta untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Presiden Carlos Andrés Pérez pada masa itu yang melaksanakan dasar neoliberal di bawah arahan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), tetapi ditangkap selepas usaha tersebut menemui kegagalan. 3 tahun sebelum cubaan kudeta Chávez itu, iaitu pada tahun 1989, sudah tercetusnya gelombang protes rakyat hebat yang dikenali sebagai “Caracazo” untuk melawan dasar ekonomi neoliberal tetapi dipatahkan secara ganas oleh pihak berkuasa. Cubaan kudeta yang dipimpin oleh Chávez pada tahun 1992 mendapat sokongan daripada ramai rakyat Venezuela yang menjadi mangsa kepada dasar neoliberal yang meliberalisasikan ekonomi kepada pasaran kapitalis global, menswastakan perkhidmatan awam, mengurangkan subsidi petrol dan sebagainya yang menyusahkan lagi hidup rakyat miskin. Walaupun Chávez dipenjarakan kerana merancang kudeta terhadap kerajaan pada masa itu, tetapi beliau menjadi semakin popular kerana tindakan beraninya yang melawan golongan berkuasa di Venezuela.
Selepas Chávez dibebaskan pada tahun 1994, beliau menjelajah ke seluruh negara Venezuela untuk menyebarkan ideanya tentang Revolusi Bolivar yang bakal mengubah haluan dasar negara daripada ekonomi neoliberal.
Chávez menubuhkan Gerakan Republik Kelima (MVR) pada tahun 1997, dan bertanding dalam Pilihanraya Presiden Venezuela pada tahun 1998. Chávez menang dalam Pilihanraya Presiden Venezuela pada bulan Disember 1998, dengan memperoleh hampir 3.7 juta undi (bersamaan 56.2% undian).
Selepas mengambil alih jawatan Presiden Venezuela pada bulan Februari 1999, Chávez memulakan usaha pembaharuan masyarakat yang dikenali sebagai Revolusi Bolivar. Chávez memperkenalkan dasar sosio-ekonomi yang mengagihkan semula kekayaan negara Venezuela (khususnya kekayaan sumber minyak) untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin. Kerajaan pimpinan Chávez juga merangka satu perlembagaan baharu bagi Venezuela melalui penubuhan Perhimpunan Perlembagaan yang dipilih secara demokratik pada bulan April 1999. Perlembagaan baharu Venezuela diluluskan dalam referendum pada bulan Disember 1999, dengan 71.78% pengundi yang keluar mengundi menyatakan sokongan kepada perlembagaan baharu. Perlembagaan Venezuela 1999 yang digubal secara demokratik itu menandakan kelahiran Republik Bolivar Venezuela.
Namun, dasar yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Chávez tidak disenangi oleh golongan oligarki lama di Venezuela dan kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) kerana kepentingan mereka tergugat. Jadi, golongan pembangkang berhaluan kanan yang mewakili kepentingan oligarki lama dan kuasa imperialis AS telah menggunakan pelbagai taktik kotor untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Chávez dan menggagalkan Revolusi Bolivar.
Golongan berhaluan kanan melancarkan kudeta pada 11 April 2002 untuk menjatuhkan Presiden Chávez pada masa itu, tetapi cubaan kudeta tersebut ditewaskan dalam tempoh 47 jam kerana massa rakyat Venezuela yang berani dan tegas dalam mempertahankan Revolusi Bolivar serta kerajaan yang dipilih secara demokratik itu telah bermobilisasi dalam jumlah yang besar. Banyak lagi cubaan untuk menjatuhkan kerajaan Chávez selepas itu, tetapi semuanya juga ditewaskan oleh kuasa rakyat yang hebat.
Satu referendum diadakan pada 15 Ogos 2004 untuk menentukan sama ada Chávez patut dilucutkan jawatannya sebagai Presiden Venezuela atau tidak, dengan keputusannya berpihak kepada Chávez, di mana 59.25% pengundi yang keluar mengundi tidak bersetuju untuk melucutkan jawatannya.
Chávez telah menang dalam 4 Pilihan Raya Presiden, iaitu pada tahun 1998 (memperoleh 56.20% undian), 2000 (59.72%), 2006 (62.85%) dan 2012 (55.07%). Kemenangan rakyat Venezuela dalam mempertahankan Revolusi Bolivar telah memberi keyakinan kepada Chávez untuk terus membawa usaha pembaharuan masyarakat yang lebih radikal lagi.
Selepas Pilihan Raya Presiden pada tahun 2006, Chávez berusaha untuk menggabungkan parti-parti berhaluan kiri yang menyokongnya (termasuk MVR) ke dalam sebuah parti yang lebih besar, iaitu Parti Sosialis Bersatu Venezuela (PSUV).
Chávez meninggal dunia pada 5 Mac 2013 di Caracas kerana penyakit kanser. Nicolás Maduro, Naib Presiden Venezuela pada masa itu, mengambil alih jawatan Presiden sementara sehingga beliau dipilih untuk meneruskan kepresidenannya dalam Pilihan Raya Presiden pada bulan April 2013. Proses Revolusi Bolivar telah diteruskan walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai ancaman dan cabaran yang hebat.
Revolusi Bolivar dan Sosialisme Abad ke-21
Revolusi Bolivar yang diterajui oleh Chávez telah menjadi inspirasi pada abad ke-21 untuk semua orang yang hendak memperjuangkan alternatif kepada susunan dunia kapitalis neoliberal. Walaupun Republik Bolivar Venezuela menghadapi ancaman berterusan daripada imperialism AS, rakyat Venezuela berjaya mengatasinya dengan ketekadan untuk mempertahankan Revolusi Bolivar.
Idea Revolusi Bolivar yang dibawa oleh Chávez telah menggabungkan unsur-unsur anti-imperialisme, Bolivarianisme, nasionalime Amerika Latin, populisme kiri, demokrasi keterlibatan dan sosialisme. Chávez mendapat ilham daripada tokoh-tokoh Venezuela seperti Simón Bolívar (1783–1830), Simón Rodríguez (1769–1854) dan Ezequiel Zamora (1817–1860), serta tokoh-tokoh revolusioner lain seperti Karl Marx (1818-1883), Jorge Eliécer Gaitán (1903-1948), Fidel Castro (1926-2016), Ernesto Che Guevara (1928-1967) dan sebagainya.
Di bawah Revolusi Bolivar, kerajaan Venezuela yang dipimpin oleh Chávez telah melaksanakan program-program kebajikan sosial (yang dikenali sebagai Misiones) untuk mengagihkan kekayaan masyarakat secara adil, di samping memperbaiki kehidupan rakyat biasa dari segi kesihatan, pendidikan, perumahan, pembangunan luar bandar dan sebagainya.
Dari segi politik rakyat dan pemberdayaan masyarakat, Chávez mendukung demokrasi keterlibatan dengan mewujudkan majlis komunal di peringkat komuniti tempatan. Chávez sentiasa menekankan bahawa rakyat ialah protagonis dalam membangunkan Sosialisme Abad ke-21.
Dalam bidang hubungan antarabangsa, Chávez ialah seorang peneraju usaha anti-imperialis yang teguh, dengan menganjurkan idea mempertahankan kedaulatan ekonomi dan politik Amerika Latin daripada kekuasaan imperialis AS melalui integrasi serantau Amerika Latin dan pembentukan kerjasama serantau seperti Perikatan Bolivar untuk Rakyat Amerika Kita (ALBA). Usaha integrasi serantau dan dasar ekonomi pro-rakyat yang diamalkan dalam Revolusi Bolivar telah mencabar dominasi kekuasaan imperialis AS di rantau Amerika Latin. Oleh itu, adalah tidak hairan bahawa kerajaan AS telah cuba menggagalkan proses Revolusi Bolivar dengan menggunakan pelbagai taktik kotor.
Dalam ucapannya di Porto Alegre, Brazil, semasa Forum Sosial Dunia pada bulan Januari 2005, Chávez berkata, “Saban hari saya menjadi lebih yakin lagi, dengan tiadanya keraguan dalam minda saya dan seperti ramai intelektual telah berkata, bahawa adalah perlu untuk mengatasi kapitalisme. Namun kapitalisme tidak boleh diatasi dengan kapitalisme itu sendiri, tetapi melalui sosialisme, sosialisme yang sebenar, dengan kesamarataan dan keadilan. Namun saya juga yakin bahawa adalah berkemungkinan untuk melakukannya di bawah demokrasi, tetapi bukannya dalam bentuk demokrasi yang dikenakan daripada Washington… Kita perlu mencipta semula sosialisme. Ia tidak boleh lagi jenis sosialisme yang kita lihat di Kesatuan Soviet, tetapi ia akan muncul apabila kita membangunkan sistem baharu yang dibina atas dasar kerjasama, bukannya persaingan.” Ini boleh dikatakan kali pertama Chávez menyatakan dengan jelasnya ideanya untuk membina “Sosialisme Abad ke-21”.
Perjuangan yang belum selesai
Walaupun menghadapi serangan dan sekatan ekonomi yang berterusan daripada kuasa imperialis AS, rakyat Venezuela yang menyokong Revolusi Bolivar berjaya bertahan dan mengatasi segala kesulitan yang wujud. Ini ialah manifestasi semangat perjuangan yang ditinggalkan oleh Chávez. Usaha Chávez tidak mengenal penat untuk menggerakkan Revolusi Bolivar di Venezuela telah menyedarkan rakyat di Amerika Latin dan dunia bahawa adalah penting untuk membina Sosialisme Abad ke-21 sekiranya kita hendak mengatasi kapitalisme global yang penuh dengan kezaliman. Perjuangan Chávez untuk pembebasan masyarakat Venezuela dan Amerika Latin daripada cengkaman imperialis masih belum selesai, dan sedang diteruskan oleh rakyat yang inginkan perubahan sebenar. Chávez terus hidup dalam minda rakyat yang mendahagakan perubahan sebenar dan memperjuangkan keadilan sosial. Chávez akan terus menjadi inspirasi kepada rakyat sedunia dalam usaha kita melawan kapitalisme dan imperialisme.