Respon kepada kenyataan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, di Parlimen bahawa CPTPP tidak akan memberi kesan buruk terhadap pertanian dan petani tempatan.

oleh Sivarajan Arumugam

Parti Sosialis Malaysia (PSM) berasa jijik dengan respon acuh tak acuh daripada Liew Chin Tong selaku Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang sengaja memperkecilkan kesan buruk Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dalam kenyataannya di Parlimen pada 1 Mac 2023.

Timbalan Menteri itu berkata bahawa CPTPP tidak akan memberi impak negatif terhadap sektor pertanian kerana ia tidak akan memberi kesan kepada subsidi yang dimaksudkan untuk eksport pertanian. Dia juga tambah bahawa dakwaan tentang CPTPP tidak akan membenarkan kerajaan untuk melaksanakan larangan ke atas eksport makanan asas seperti ayam adalah tidak benar. Dia juga memberi jaminan bahawa tidak akan ada sebarang penghapusan duti import ke atas produk pertanian. Chin Tong menerangkan bahawa Malaysia telah diberi tempoh 16 tahun untuk mengurangkan dan menghapuskan duti import, termasuk yang ke atas produk pertanian serta mengekalkan duti import negara kita ke atas ayam dan telur melalui sistem kuota kadar tarif.

CPTPP adalah mengenai liberalisasi perdagangan dan terdapat banyak laporan mengenai bagaimana liberalisasi akan memberi kesan yang hebat kepada petani-petani tempatan. Adakah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) cuba mengawal lambakan import dengan pili penutup selepas pintu banjir dibuka? Langkah-langkah mitigasi daripada Menteri nampaknya begitu.

Baru-baru ini, Francis Hong, Naib Presiden Persatuan Pekebun Buah-buahan Malaysia, berkata bahawa pekebun-pekebun buah-buahan tempatan sedang mengalami kerugian besar kerana harga sesetengah buah-buahan dan sayur-sayuran telah menjunam akibat lebihan bekalan berikutan import hasil sedemikian dari Vietnam sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Harga sesetengah buah-buahan telah menurun sebanyak lebih kurang 50%, sehingga menjejaskan pekebun-pekebun tempatan. Francis Hong menjelaskan bahawa sejak Tahun Baharu Cina, para pekebun telah menyaksikan lonjakan dalam import buah-buahan dan sayur-sayuran yang murah dari Vietnam (di mana Vietnam ialah salah sebuah negara anggota CPTPP), dan ia merugikan petani-petani kecil dengan teruknya. Dia merayu pada kerajaan supaya mengekalkan “halangan” terhadap import untuk melindungi pekebun-pekebun tempatan.

Bagaimanakah Timbalan Menteri dapat membuat kesimpulan bahawa CPTPP meningkatkan keterjaminan makanan sedangkan dalam realitinya akan meningkatkan bil import makanan kita? Keterjaminan makanan sepatutnya bermakna bahawa, kita sebagai sebuah negara berdaulat mampu memenuhi permintaan tempatan kita dengan hasil daripada petani-petani tempatan kita. Adakah kamus MITI itu menyatakan bahawa keterjaminan makanan bersinonim dengan mengimport makanan untuk memenuhi keperluan kita?

Nisbah Ketergantungan Import (IDR) negara kita telah meningkat daripada 7.3% kepada 13.7% dari tahun 1987 hingga 2015. Ini meletakkan rakyat kita dalam satu kedudukan yang sangat tidak menentu, terdedah kepada sebarang perubahan dalam peristiwa politik dan ekonomi global. (IDR – menunjukkan kebergantungan negara terhadap import pertanian untuk memenuhi permintaan tempatan.)

Kita hidup dalam dunia yang tidak menentu. Pandemik COVID-19 dan perang Rusia di Ukraine telah menunjukkan kepada kita bahawa sempadan negara boleh ditutup dan import boleh terganggu sehingga menyebabkan harga makanan meningkat. Kita hanya boleh melindungi diri kita sekiranya negara kita mempunyai hasil domestik yang mencukupi.

MITI nampaknya tidak tahu tentang implikasi liberalisasi perdagangan terhadap petani-petani secara keseluruhan, kerana ia terus menekankan bahawa telur, beras, ayam dan susu akan dilindungi dengan tarif. Bagaimana pula dengan semua yang lain? Beberapa item ini masih boleh dikawal dengan permit import yang diluluskan, tetapi semua produk pertanian yang lain akan menyaksikan tarif import dikurangkan sehingga sifar. Kita hanya boleh mengenakan sekatan import secara tidak langsung melalui syarat fitosanitasi atau sijil halal.

Chin Tong memberi jaminan kepada Parlimen bahawa Malaysia mempunyai tempoh pementasan 16 tahun untuk mengurangkan tarif import, tetapi dia gagal dalam mendedahkan bahawa hampir 85% produk pertanian yang diimport akan menyaksikan penghapusan tarif dalam tempoh satu tahun! Hanya baki 15% produk akan menyaksikan penyingkiran tarif secara berperingkat dalam baki tempoh 15 tahun.

MITI dengan bahayanya memperkecilkan kesan CPTPP terhadap petani-petani kita dan kedaulatan makanan. Kita tidak perlukan respon sedikit demi sedikit, tetapi kajian yang menyeluruh mengenai kesan-kesan apabila import meningkat.  

Menteri telah mengelak sama sekali gajah di dalam bilik, apabila tidak menyebut tentang pematuhan mandatori kepada konvensyen UPOV 91 (Konvensyen Antarabangsa untuk Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu) yang diperlukan di bawah CPTPP. UPOV ialah pertubuhan antara kerajaan yang ditubuhkan untuk melindungi kepentingan pembiak baka tumbuhan korporat. UPOV akan merampas hak petani kecil kita untuk menyimpan dan berkongsi benih, satu amalan yang dilakukan oleh mereka untuk bergenerasi lamanya. Adalah penting bagi petani-petani kecil di negara-negara sedang membangun dibenarkan untuk meneruskan tradisi sebegini kerana ia menghalang syarikat korporat agrobisnes besar daripada menentukan dan mengawal benih yang digunakan oleh para petani. Salah satu kes sedemikian ialah kes yang dibawa oleh PepsiCo terhadap petani-petani India dengan mendakwa bahawa petani-petani menanam varieti kentang tertentu yang serupa dengan varieti kentang yang digunakan oleh PepsiCo untuk mengeluarkan kerepek kentang di bawah jenama “Lay’s”. Menurut PepsiCo, petani-petani itu telah “mencabuli hak” syarikat itu!

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada Perdana Menteri untuk menilai dengan segera impak sebenar CPTPP dan tidak terpedaya dengan jaminan separuh masak daripada MITI. PSM telah hilang keyakinan terhadap Menteri-menteri MITI, Tengku Zafrul dan Liew Chin Tong, dalam menilai kesan buruk CPTPP secara objektif. CPTPP adalah lebih daripada perdagangan kerana ia mempengaruhi kedaulatan makanan, pemerolehan kerajaan, hak pelabur, dasar Bumiputera dan ruang dasar kerajaan di negara kita. Jangan biarkan isu CPTPP dalam tangan MITI!

==========

Sivaranjan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

===========

Baca versi Bahasa Inggeris di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *