(foto: Matheus Alves)

Golongan pelampau kanan yang merupakan penyokong tegar Jair Bolsonaro, bekas Presiden Brazil, mengganas dengan menyerang bangunan Mahkamah Agung Brazil, Kongres Kebangsaan Brazil dan pejabat rasmi Presiden Brazil di Brasília, ibu negara Brazil, pada 8 Januari 2023. Serangan terbaru oleh golongan pelampau kanan terhadap institusi demokratik di Brazil merupakan tindakan terdesak mereka untuk melancarkan rampasan kuasa demi menjatuhkan Luiz Inácio Lula da Silva yang baru mengangkat sumpah sebagai Presiden Brazil pada 1 Januari 2023.

Pasukan keselamatan hanya menawan semula tiga buah bangunan yang diduduki oleh golongan pelampau kanan itu 3 jam selepas berlakunya pencerobohan. Lebih kurang 400 orang telah ditangkap berhubung dengan serangan tersebut.

Peristiwa serangan golongan pelampau kanan di Brazil terhadap institusi demokratik di Brasília bagaikan ulang tayang serangan golongan pelampau kanan di Amerika Syarikat (AS) yang menyokong Donald Trump terhadap Bangunan Kapitol AS di Washington, D.C., dua tahun yang lalu, pada 6 Januari 2021, kerana enggan mengaku kekalahan pemimpin mereka dalam Pilihan Raya Presiden. Bolsonaro ialah sekutu rapat kepada Tump, malah dia turut digelar sebagai “Donald Trump Brazil”. Kedua-dua orang ini telah mengalami nasib yang sama dalam mempertahankan jawatan Presiden dalam pilihan raya, dan sekarang ini penyokong Bolsonaro sedang meniru apa yang pernah dilakukan oleh penyokong Trump.

Peristiwa serangan ganas di Brasília pada 8 Januari 2023 bukannya sesuatu yang berlaku secara mengejut. Ia merupakan sebahagian daripada usaha golongan pelampau kanan yang berterusan untuk menghancurkan demokrasi di Brazil dan telah dimulakan sekurang-kurangnya beberapa bulan yang lalu.

Lula da Silva berjaya menewaskan Bolsonaro yang merupakan penyandang jawatan Presiden Brazil dalam Pilihan Raya Presiden yang diadakan pada bulan Oktober 2022. Dalam pengundian pusingan kedua pada 30 Oktober 2022 yang menyaksikan pertarungan sengit antara Lula dan Bolsonaro, Lula meraih undi sebanyak 50.9% berbanding 49.1% yang diperolehi Bolsonaro.

Sebelum pilihan raya lagi, sekutu dan penyokong Bolsonaro sudah pun membangkitkan idea untuk melancarkan serangan seperti serangan terhadap Kapitol AS pada tahun 2021 sekiranya Bolsonaro tewas dalam Pilihan Raya Presiden. Selepas Bolsonaro sah ditewaskan dalam Pilihan Raya, golongan pelampau kanan yang menyokong Bolsonaro menyebarkan dakwaan liar bahawa wujudnya penipuan dalam pilihan raya dan menghasut orang ramai untuk berprotes. Penyokong-penyokong Bolsonaro telah mengadakan protes dan menyeru pada pihak tentera untuk mencampurtangan demi menghalang Lula daripada kembali berkuasa sebagai Presiden Brazil. Seruan daripada golongan pelampau kanan kepada pihak tentera untuk mencampurtangan jelasnya ialah isyarat untuk melakukan rampasan kuasa dan cubaan untuk menghancurkan demokrasi di Brazil.

Pada bulan Disember 2022, beberapa orang penyokong Bolsonaro telah ditahan kerana terlibat dalam cubaan merampas kuasa. Bolsonaro sendiri pula terbang ke Florida, AS, pada 30 Disember 2022, untuk berselindung di situ, dua hari sebelum Lula mengambil alih jawatan Presiden daripadanya. Pada hari pertama mengambil alih jawatan Presiden pada 1 Januari 2023, Lula mengumumkan langkah-langkah kerajaan baharu yang memfokus pada usaha membasmi kemiskinan dan mengembalikan dasar-dasar pro-rakyat yang diberhentikan oleh Bolsonaro.

Lula mengecam tindakan ganas golongan pelampau kanan yang menyerang bangunan kerajaan di Brasília, dan menyifatkan mereka sebagai “fasis”. Lula juga mengkritik ketidakcekapan malah wujudnya niat jahat dalam kalangan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan awam di Brasília yang membenarkan keganasan itu berlaku.

Lula memberitahu pihak media, “Mereka yang kita panggil fasis, yang merupakan golongan paling keji dalam politik, telah menceroboh pejabat kerajaan, mereka telah menceroboh Kongres, dan mereka telah menceroboh Mahkamah Agung. Sebagai penjenayah yang sebenar, mereka memusnahkan segala di hadapan mereka. Kami percaya bahawa terdapatnya kekurangan dalam keselamatan. Dan saya hendak beritahu anda, bahawa semua orang yang melakukan ini akan ditemui dan dihukum. Mereka akan melihat bahawa demokrasi menjamin hak untuk kebebasan dan kebebasan bersuara, tetapi menuntut bahawa rakyat menghormati institusi-institusi.”

Serangan golongan pelampau kanan terhadap institusi demokratik di Brazil telah dikecam oleh kerajaan-kerajaan dan organisasi-organisasi antarabangsa. Alexandria Ocasio-Cortez, Ahli Dewan Perwakilan AS, berkata dalam hantaran twitternya, “Hampir 2 tahun selepas hari Kapitol AS diserang oleh golongan fasis, kita melihat gerakan fasis di luar negara cuba melakukan yang sama di Brazil. Kita harus berdiri dalam solidariti dengan kerajaan Lula yang dipilih secara demokratik. AS harus berhenti memberi perlindungan kepada Bolsonaro di Florida.”

Kerajaan Venezuela berkata dalam kenyataannya, “Venezuela percaya pada keyakinan demokratik rakyat Brazil, yang hanya seminggu lalu berdemonstrasi di jalanan untuk menyatakan sokongan mereka terhadap demokrasi dan Presiden Lula. Begitu juga Venezuela percaya bahawa Angkatan Tentera Brazil akan mempertahankan komitmen mereka kepada Perlembagaan dan tidak akan terlibat dalam usaha rampasan kuasa.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *