GEORGE TOWN, PULAU PINANG – 4 JANUARI 2023: Penang Forum, satu gabungan organisasi masyarakat sivil di Pulau Pinang, menyatakan bantahannya terhadap Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 (DRTPPp 2030) yang penuh dengan kesilapan dan masalah yang boleh membawa impak besar kepada penduduk Pulau Pinang.

Kenyataan ini dibuat dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan pada hari ini. Turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Dr. Lim Mah Hui selaku Ahli Jawatankuasa Pemandu Penang Forum, Khoo Salma Nasution selaku Naib Presiden Penang Heritage Trust, Fathima Mohd Idris selaku Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulfikar Abdul Aziz selaku Bendari Persatuan Penumpang Pengangkutan Awam Pulau Pinang (PeTUA) dan Choo Chon Kai selaku Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dr. Lim Mah Hui daripada Penang Forum mengatakan bahawa DRTPPp 2030 mengandungi banyak kelemahan dan cadangan pengezonan untuk pembangunan yang bermasalah. Salah satu contoh yang dipetik oleh Dr. Lim ialah pengezonan semula tanah Kelab Lumba Kuda kepada zon pembangunan komersial dan bercampur yang utama dalam DRTPPp 2030. Mengezonkan keseluruhan kawasan tersebut kepada pembangunan berkepadatan tinggi telah melanggari janji Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini. Tanah Kelab Lumba Kuda pada asalnya telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang semasa Barisan Nasional (BN) masih memerintah untuk dizonkan sebagai kawasan rekreasi hijau tetapi dizonkan semula untuk pembangunan projek Penang Global City Centre (PGCC) oleh Kerajaan Negeri pada masa itu. Projek PGCC telah ditentang hebat oleh masyarakat sivil di Pulau Pinang sehingga ia terpaksa diberhentikan. Kemudiannya semasa Kerajaan Pakatan Rakyat pada tahun 2008, Ketua Menteri pada masa itu Lim Guan Eng pernah berjanji bahawa Kerajaan Negeri tidak akan meluluskan projek PGCC. Namun, di bawah DRTPPp 2030, tanah Kelab Lumba Kuda tersebut telah dizonkan semula untuk pembangunan komersial dan bercampur berkepadatan tinggi yang mungkin akan membawa kepada pembangunan yang setanding dengan 7 buah Bangunan Komtar (bangunan tertinggi di Pulau Pinang).

“Tanah Kelab Lumba Kuda ialah milik rakyat Pulau Pinang, maka ia harus dipulangkan kepada rakyat Pulau Pinang dengan menjadikannya taman rekreasi hijau yang dapat dinikmati oleh semua rakyat Pulau Pinang,” kata Dr. Lim Mah Hui.

“Pembangunan berketerlaluan sebegini ialah sesuatu yang tidak pernah berlaku. Ia akan membawa kepada impak negatif yang tidak boleh dipulihkan, dengan kesan merumitkan yang besar kepada seluruh Pulau Pinang yang akan menjejaskan alam sekitar, dinamik sosial dan ekonomi, dan sebagainya,” tegas kata Dr. Lim Mah Hui. “Draf rancangan tempatan ini ialah sebuah dokumen yang penting. Keutamaannya haruslah dilakukan dengan pendekatan dari bawah bukannya pendekatan dari atas.”

Dr. Lim Mah Hui menyeru pada rakyat Pulau Pinang untuk menyuarakan bantahan mereka dan mempersoalkan wakil rakyat mereka mengenai draf rancangan tempatan tersebut.

Zulfikar Abdul Aziz daripada PeTUA berkata bahawa DRTPPp 2030 menjadikan laluan LRT Bayan Lepas yang mungkin tidak sempat siap dibina pada tahun 2030 sebagai keutamaan rancangannya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Zulfikar juga mengatakan bahawa sasaran DRTPPp 2030 meningkatkan mod perkongsian pengangkutan awam kepada 40% menjelang tahun 2030 ialah sesuatu yang tidak realistik dan tiada cadangan yang konkrit untuk mencapainya.

PeTUA menyarankan supaya lebih baik memberi fokus kepada pembangunan perkhidmatan first mile last mile untuk laluan pengangkutan bas awam sekarang untuk meningkatkan bilangan penumpangnya secara mampan. PeTUA juga berpandangan bahawa bab mengenai pengangkutan awam dalam DRTPPp 2030 harus dirombak sepenuhnya untuk meletakkan fokus, sasaran dan tindakan betul yang memanfaatkan rakyat dan boleh dicapai menjelang tahun 2030.

Khoo Salma daripada Penang Heritage Trust mengkritik DRTPPp 2030 kerana ia tidak merujuk kepada dokumen yang sedia ada, seperti Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera dan Rancangan Kawasan Khas George Town. “Jumlah bangunan warisan yang disenaraikan dalam draf rancangan tempatan ialah 1,714 buah bangunan warisan (56 dalam Kategori 1 dan 1,658 dalam Kategori 2), tidak sepadan dengan 3,977 bangunan warisan (82 dalam Kategori 1 dan 3,895 dalam Kategori 2) yang disenaraikan dalam Rancangan Kawasan Khas George Town,” kata Khoo Salma.  

Khoo Salma juga mengingatkan bahawa draf rancangan tempatan harus mengutamakan rakyat yang sedang tinggal di Pulau Pinang. “Dengan mengezonkan semula kawasan di pusat bandar kepada komersial hanya akan menghalau keluar warga tempatan yang sedia ada dan akan mewujudkan sebuah ‘bandar berhantu yang besar’,” kata Khoo Salma. “Seluruh rancangan ini amat memudaratkan dan akan mewujudkan sebuah bandar yang tidak sesuai dihuni. Rakyat yang sudah tinggal di sini perlukan kesejahteraan, pembangunan lestari dan ruang hijau, bukannya kemusnahan seperti yang berlaku pada Persiaran Gurney.”

Choo Chon Kai daripada PSM pula mengulas tentang isu perumahan dalam DRTPPp 2030, antaranya peruntukan peratusan perumahan mampu milik tambahan yang tidak sepadan dengan keperluan golongan B40 dan M40, perlunya unjuran bilangan rumah yang jelas untuk setiap kategori perumahan mampu milik, harga perumahan mampu milik dan keperluan untuk mengubah syarat kelayakan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *