Tahun 2022 telah sampai ke penghujungnya. Dunia kita masih berdepan dengan pelbagai krisis yang mengancam kehidupan rakyat biasa di merata tempat.
Walaupun banyak negara telah mengalihkan pendekatan kesihatan awam mereka terhadap penularan wabak COVID-19 kepada fasa endemik, termasuk Malaysia, ancaman wabak COVID-19 masih ketara. Setakat penghujung tahun 2022, jumlah kes positif COVID-19 terkumpul yang disahkan telah melebihi 650 juta dan angkat kematian yang dilaporkan telah mencecah 6.7 juta orang.
Krisis iklim global pula semakin mengancam, dengan berlakunya bencana hebat seperti banjir di Pakistan pada bulan Jun-Oktober 2022 yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 1,739 orang, banjir di Nigeria pada bulan Jun-November 2022 yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 612 orang, banjir di Afrika Selatan pada bulan April 2022 yang mengorbankan nyawa sekurang-kurangnya 461 orang, banjir di Petrópolis, Brazil, pada bulan Februari 2022 yang meragut nyawa 233 orang, Ribut Tropika Megi di Filipina pada bulan April 2022 yang membunuh sekurang-kurangnya 214 orang, kemarau di Afrika Timur pada bulan Julai 2022 yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 200 orang, dan banyak lagi. Kehidupan rakyat bawahan yang terjejas kerana krisis iklim menjadi lebih teruk lagi dengan ketidakadilan sosial yang disebabkan oleh sistem sosio-ekonomi yang terus memiskinkan golongan miskin.
Pertembungan kuasa-kuasa untuk kepentingan strategik masing-masing turut mengundang ketidaktentuan dan ketidakstabilan kepada keamanan sedunia. Perang Ukraine tercetus pada awal tahun 2022, yang diakibatkan oleh pertembungan antara perluasan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di rantau Eropah Timur dan cita-cita nasionalis-chauvinis Rusia untuk mengekalkan lingkungan kuasanya, bukan sahaja membawa kepada pengorbanan nyawa yang tidak perlu, malah mewujudkan krisis makanan dan ancaman perang nuklear yang mempunyai implikasi jauh lebih besar di luar rantau Eropah Timur. Kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) yang semakin tergugat dengan kemunculan China sebagai kuasa baharu di pentas dunia, cuba mengekalkan dominasinya dengan melancarkan “Perang Dingin” yang baharu, sekali gus menyumbang kepada ancaman krisis ketidakstabilan politik dunia.
Pada ketika dunia dilanda pelbagai krisis yang disebabkan oleh kepincangan sistem kapitalis global, golongan berkuasa yang memerintah di banyak negara telah cuba menggunakan pendekatan yang semakin bersifat autoritarian untuk terus berkuasa.
Namun begitu, gerakan perjuangan rakyat dari bawah untuk menentang ketidakadilan dan penindasan tidak pernah mengerti kalah, malah diteruskan dengan usaha yang lebih hebat.
Marilah kita imbas kembali beberapa peristiwa pergolakan politik dan perjuangan rakyat yang penting di peringkat antarabangsa sepanjang tahun 2022:
1. Perang Ukraine-Rusia
Rusia melancarkan serangan ketenteraan ke atas Ukraine pada 24 Februari 2022 berikutan peningkatan konflik yang gagal diselesaikan oleh kuasa-kuasa besar yang berdegil untuk melindungi kepentingan geopolitik masing-masing. Sekurang-kurangnya 200,000 orang telah mati terkorban dalam perang ini, tambahan ke atas 14,000 orang yang mati dalam peperangan di wilayah Donbas selama 8 tahun sebelum pencerobohan tentera Rusia ke dalam negara Ukraine. Protes membantah perang di Ukraine telah tercetus di banyak tempat di seluruh dunia, termasuk di dalam Rusia. Gerakan anti-perang telah menggesa pengunduran tentera Rusia keluar dari Ukraine, dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) harus menghentikan usahanya mengembang ke timur.
2. Kazakhstan: Kenaikan harga gas cetuskan protes besar-besaran
Gelombang protes anti-kerajaan yang besar-besaran tercetus di Kazakhstan pada 2 Januari 2022 apabila harga gas petroleum cecair meningkat secara mendadak selepas kerajaan membatalkan kawalan harga. Kassym-Jomart Tokayev, Presiden Kazakhstan, mengisytihar darurat dan mendapatkan bantuan ketenteraan daripada Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) untuk mematahkan gelombang protes. Perdana Menteri Askar Mamin dan Kabinetnya meletak jawatan pada 5 Januari 2022. Tokayev kemudiannya menjanjikan pembaharuan untuk meredakan kemarahan rakyat.
3. Sri Lanka: Protes rakyat jatuhkan kekuasaan keluarga Rajapaksa
Protes besar-besaran mula tercetus pada bulan Mac 2022 kerana rakyat Sri Lanka marah dengan kegagalan pengurusan ekonomi oleh kerajaan yang dikuasai oleh keluarga Rajapaksa sehingga membawa kepada krisis ekonomi yang serius. Menteri-menteri Kabinet meletak jawatan beramai-ramai pada bulan April 2022 dan Mahinda Rajapaksa meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri pada bulan Mei 2022. Pada bulan Julai 2022, para demonstran menyerbu Rumah Presiden, menyebabkan Gotabaya Rajapaksa melarikan diri dan meletak jawatannya sebagai Presiden Sri Lanka.
4. Iran: “Wanita, Hidup, Kebebasan!”
Kematian Jina Mahsa Amini, seorang wanita beretnik Kurdi yang berumur 22 tahun, semasa ditahan oleh “Peronda Bimbingan” (iaitu “polis akhlak” di Iran) di Tehran, mencetuskan gelombang protes besar-besaran di seluruh negara Iran. Para demonstran menuntut perlindungan hak sivil dan politik, termasuk hak wanita, di samping menuntut pembubaran “polis akhlak” dan membatalkan undang-undang keagamaan yang menekan rakyat. Pihak berkuasa Iran menggunakan kekerasan untuk mematahkan protes rakyat, sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 400 orang terbunuh dan ribuan orang ditahan.
5. Ecuador: Rakyat bangkit lawan dasar neoliberal
Ketidakpuasan hati rakyat terhadap masalah inflasi yang teruk dan dasar ekonomi neoliberal yang menyusahkan masyarakat bawahan, mencetuskan gelombang protes besar-besaran di Ecuador. Aksi protes yang digerakkan oleh organisasi-organisasi gerakan sosial seperti Konfederasi Bangsa-bangsa Orang Asal Ecuador (CONAIE) berjaya memaksa kerajaan Ecuador untuk bersetuju dengan sebahagian besar daripada tuntutan yang dibawa oleh gerakan sosial.
6. Peru: Pemecatan Pedro Castillo cetuskan protes
Pedro Castillo yang dipilih sebagai Presiden Peru pada tahun 2021 telah menghadapi pelbagai ancaman daripada puak berhaluan kanan yang menguasai Parlimen Peru. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh parti-parti berhaluan kanan untuk menyingkirkan Castillo sebagai Presiden. Apabila Castillo hendak membubarkan Parlimen, dia dilucutkan jawatannya sebagai Presiden oleh Parlimen dan ditahan pada 7 Disember 2022. Pemecatan Castillo sebagai Presiden mencetuskan aksi protes besar-besaran. Para demonstran yang menyokong Castillo menuntut pembubaran Parlimen untuk pilihan raya baharu, pembebasan Castillo dan penubuhan Perhimpunan Perlembagaan. Kerajaan yang mengambil alih kuasa selepas pemecatan Castillo telah mengisytihar darurat dan menggunakan kekerasan terhadap demonstran untuk mematahkan gelombang protes. Parlimen Peru meluluskan usul pada 20 Disember 2022 untuk mengawalkan pilihan raya umum dari bulan April 2026 ke bulan April 2024.
7. Brazil: Lula da Silva menang
Lula da Silva, calon daripada Parti Pekerja (PT), berjaya menewaskan Jair Bolsonaro dalam Pilihan Raya Presiden Brazil. Lula meraih sebanyak 48.43% undian dalam pengundian pusingan pertama pada 2 Oktober 2022 dan 50.90% undian dalam pengundian pusingan kedua pada 30 Oktober 2022. Kemenangan Lula menandakan pencapaian penting dalam perjuangan rakyat Brazil untuk menyekat pengaruh politik pelampau kanan dan menegakkan demokrasi di negara itu.
8. Colombia: Gustavo Pedro dapat kemenangan bersejarah untuk Kiri dalam Pilihan Raya Presiden
Gustavo Petro, calon daripada gabungan parti politik berhaluan kiri Pacto Histórico menang dalam Pilihan Raya Presiden Colombia, dengan meraih sebanyak 40.34% undian dalam pengundian pusingan pertama pada 29 Mei 2022 dan 50.42% undian dalam pengundian pusingan kedua pada 19 Jun 2022. Pedro menjadi Presiden berhaluan kiri yang pertama di Colombia. Selepas Pedro mengambil alih jawatan Presiden pada bulan Ogos 2022, kerajaan Colombia mewujudkan semula hubungan diplomatik dengan Venezuela yang telah diputuskan selama 3 tahun, dan Pedro juga mengumumkan rancangan untuk mengadakan rundingan damai dengan kumpulan gerila berhaluan kiri di negara itu.
9. Kuba: Referendum rakyat luluskan Kanun Keluarga yang paling progresif
Kuba meluluskan Kanun Keluarga yang boleh dikatakan paling progresif di dunia pada masa kini dalam referendum yang diadakan pada 25 September 2022. Sebanyak 66.85% warga Kuba yang mengundi dalam referendum tersebut menyokong undang-undang baharu yang memperluaskan hak wanita, kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya dan minoriti seksual di sisi undang-undang, di samping menakrif semula makna sebuah keluarga dengan memberi penekanan kepada kasih sayang, maruah manusia dan prinsip tanpa diskriminasi.
10. China: Protes bantah dasar sifar COVID
Gelombang protes membantah dasar sifar COVID yang diamalkan oleh kerajaan China tercetus berikutan kebakaran maut di Ürümqi, Xinjang, pada 24 November 2022 yang sudah berada di bawah perintah berkurung selama 3 bulan ketika itu. Mereka yang berprotes menuntut pembatalan dasar sifar COVID dan sekatan yang sering dikenakan secara tiba-tiba sehingga menimbulkan kesusahan kepada rakyat. Berikutan gelombang protes ini, kerajaan China melonggarkan dasarnya mengenai COVID-19 dengan mengurangkan sekatan dan ujian COVID-19.
Perjuangan masyarakat berterusan di merata tempat…
Selain daripada pergolakan politik antarabangsa yang disenaraikan di atas, terdapat banyak lagi perjuangan masyarakat yang berlaku di merata tempat di dunia sepanjang tahun 2022, antaranya: perjuangan demokrasi yang berterusan di Sudan; protes berterusan di Haiti yang menentang kerajaan pimpinan Ariel Henry; protes berterusan di Eswatini; protes di Panama pada bulan Julai 2022 yang tercetus kerana inflasi yang semakin hebat, korupsi dan krisis kos sara hidup; protes Sierra Leone pada bulan Ogos 2022 yang dicetuskan oleh krisis kos sara hidup; protes membantah kenaikan kos sara hidup dan inflasi di Eropah (Perancis, Jerman dan Britain) pada bulan Oktober 2022; protes di Jordan yang membantah kenaikan harga bahan api pada bulan Disember 2022; protes di Mongolia pada bulan Disember 2022 yang tercetus kerana skandal korupsi; dan sebagainya.