Apabila dunia melangkah masuk ke tahun baharu 2022, rakyat Kazakhstan menyambutnya dengan aksi protes yang hebat…

Kenaikan harga gas petroleum cecair (LPG) di Kazakhstan mencetuskan gelombang protes anti-kerajaan yang besar-besaran di negara Asia Tengah itu.

Aksi protes pada mulanya tercetus di bandar Zhanaozen, wilayah Mangystau, yang terletak di bahagian Barat Kazakhstan, pada 2 Januari 2022, apabila penduduk di situ melakukan sekatan jalan untuk membantah kenaikan harga gas. Zhanaozen yang terletak di wilayah pengeluar minyak utama di Kazakhstan itu, mempunyai sejarah perjuangan buruh yang lama. Protes merebak tidak lama kemudian ke bandar-bandar lain, termasuk Almaty, bandar terbesar Kazakhstan, dan Nur-Sultan, ibu negara Kazakhstan.

Gelombang protes yang bermula dengan ketidakpuasan hati terhadap kenaikan harga gas ini telah berkembang dengan cepatnya menjadi pemberontakan rakyat terhadap kerajaan yang berkuasa di Kazakhstan. Selain menuntut untuk menstabilkan harga bahan api, para demonstran yang berprotes di jalanan turut menggesa pengunduran kerajaan pusat pimpinan Presiden Kassym-Jomart Tokayev, perletakan jawatan Nursultan Nazarbayev (bekas Presiden Kazakhstan) daripada Majlis Keselamatan Kazakhstan dan pemulihan Perlembagaan 1993. Mereka juga menuntut pilihanraya untuk akim (ketua kerajaan tempatan), kebebasan untuk menubuhkan parti politik dan kesatuan pekerja, di samping pembebasan tahanan politik.

Nursultan Nazarbayev yang merupakan Setiausaha Agung Parti Komunis Kazakhstan semasa zaman pemerintahan Kesatuan Soviet, telah menjadi Presiden Kazakhstan sejak kemerdekaan negara itu daripada Kesatuan Soviet pada tahun 1991. Nazarbayev telah memerintah Kazakhstan dengan pendekatan yang autoritarian dan amalan nepotisme yang berleluasa. Walaupun Nazarbayev meletak jawatannya sebagai Presiden Kazakhstan pada tahun 2019 selepas satu gelombang protes anti-kerajaan yang hebat, tetapi dia masih mempunyai pengaruh poltik yang agak besar dan kebal daripada pendakwaan jenayah. Nama ibu negara Kazakhstan, telah ditukar daripada nama sebelum ini Astana kepada Nur-Sultan sempena nama Nursultan Nazarbayev, beberapa hari selepas dia meletak jawatan pada tahun 2019. Presiden sekarang, Tokayev, ialah sekutu rapat kepada Nazarbayev.

(foto: Esetok / Wikimedia Commons)

Di bandar Aktau dan Aktobe, demonstran cuba menyerbu bangunan kerajaan. Pertempuran yang hebat berlaku di banyak tempat di mana para demonstran berjaya menangkis cubaan pihak berkuasa untuk menangkap atau menyuraikan mereka. Pertempuran jalanan yang paling sengit berlaku di bandar Almaty, dengan pihak polis dan tentera menggunakan bom tangan terpegun, gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyerang demonstran.

Gelombang protes terbaru ini bukan sahaja terhad pada aksi demonstrasi jalanan. Pekerja-pekerja perindustrian yang diupah oleh syarikat-syarikat besar, termasuk pekerja syarikat minyak Tengizchevroil dan pekerja lombong ArcelorMittal Temirtau, juga bermogok untuk mengetengahkan tuntutan mereka.

Kebanyakan orang yang berprotes di jalanan Almaty ialah anak muda yang menganggur dan migran dalaman yang tinggal di pinggir kota dengan pekerjaan sementara atau bergaji rendah. Kerajaan cuba menenangkan keadaan dengan janji mengurangkan harga gas, tetapi tidak dapat meredakan kemarahan rakyat.

Kerajaan Kazakhstan merespon kepada gelombang protes rakyat terbaru ini dengan campuran taktik berkompromi dan penindasan yang lebih lanjut. Presiden Tokayev mengumumkan darurat di wilayah Mangystau dan Almaty pada 4 Januari 2022. Perdana Menteri Askar Mamin dan Kabinetnya meletak jawatan pada 5 Januari 2022. Tokayev juga mengumumkan perletakan jawatan Nursultan Nazarbayev sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Kazakhstan dan Tokayev sendiri mengambilalih posisi tersebut. Kemudiannya pada hari yang sama, Tokayev mengumumkan darurat untuk seluruh negara sehingga 19 Januari 2022, dengan niat untuk mematahkan kebangkitan rakyat secara ganas. Tokayev meminta Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (sebuah pakatan ketenteraan yang disertai oleh negara-negara bekas Kesatuan Soviet seperti Armenia, Belarus, Kyrgyzstan, Rusia, Tajikistan dan Kazakhstan sendiri) untuk mengerahkan tentera ke Kazakhstan atas nama “menjaga keamanan”, tetapi jelasnya untuk membantu dalam mematahkan secara keras kebangkitan rakyat Kazakhstan yang menggugat kekuasaan golongan pemerintah. Belasan orang telah dibunuh oleh pihak berkuasa setakat ini.

Gerakan Sosialis Kazakhstan telah mengemukakan tuntutan berikut:

  • Menghentikan segera permusuhan terhadap rakyat dan pengunduran tentera dari bandar-bandar;
  • Perletakan jawatan segera semua pegawai puak Nazarbayev, termasuk Presiden Tokayev;
  • Pembebasan semua tahanan politik;
  • Memastikan hak pekerja untuk menubuhkan kesatuan sekerja, parti politik dan mengadakan mogok serta mesyuarat;
  • Menamatkan pengharaman terhadap Parti Komunis Kazakhstan dan Gerakan Sosialis Kazakhstan.

Gerakan Sosialis Kazakhstan juga menyeru pada semua pekerja di negara itu untuk melaksanakan tuntutan memiliknegarakan, di bawah kawalan kolektif buruh, seluruh industri ekstratif dan berskala besar di Kazakhstan.

Rakyat Kazakhstan telah menunjukkan kesungguhan dan keberanian mereka untuk melawan rejim yang korup dan zalim. Namun, gerakan perjuangan rakyat Kazakhstan juga menghadapi ancaman penindasan yang lebih kejam lagi daripada golongan berkuasa yang mendapat bantuan ketenteraan daripada negara-negara Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif. Ini merupakan saat-saat kritikal untuk perjuangan rakyat Kazakhstan…

One thought on “Kazakhstan: Kenaikan harga gas cetuskan protes besar-besaran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *