PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan telah memutuskan pada 11 November 2022 bahawa kes 2 orang pemandu lori terhadap syarikat Perwakilan Cekap Sdn Bhd harus didengar di Mahkamah Buruh. Keputusan yang berpihak pada pekerja ini sekali lagi menggagalkan usaha pihak majikan yang enggan mengiktiraf dua orang pemandu lori yang diupahnya itu pekerjanya.

Keputusan Mahkamah Rayuan ini dibuat oleh panel hakim yang terdiri daripada Datuk Yaacob bin Haji Md Sam, Datuk Ravinthran a/l Paramaguru dan Datuk Nantha Balan a/l E.S. Moorthy.

Dua orang pemandu lori yang terlibat dalam kes ini, Vasudevan dan Gunaseelan, diambil kerja oleh syarikat Perwakilan Cekap Sdn Bhd pada bulan Januari 2020 dengan perjanjian kerja secara lisan, diberi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP). Kedua-dua orang pemandu lori ini memfailkan tuntutan di Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang kerana pihak majikan tidak membayar upah mereka mengikut kadar gaji minimum, di samping gagal membayar upah kerja lebih masa, elaun telefon dan cuti tahunan yang sepatutnya. Namun, pihak majikan yang tidak hadir ke sesi sebutan di Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang sebanyak dua kali, melalui peguam yang dilantiknya mengemukakan bantahan semasa perbicaraan di Mahkamah Buruh bahawa kedua-dua pemandu lori ini bukan pekerja, sebaliknya mereka hanya merupakan kontraktor bebas, maka kes tuntutan pekerja ini tidak dilayak untuk didengar di Jabatan Tenaga Kerja. Pihak majikan kemudian membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 28 Mac 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa persoalan sama ada kedua-dua orang pemandu lori dalam kes ini pekerja atau kontraktor bebas harus ditentukan melalui perbicaraan penuh di Mahkamah Buruh. Namun, pihak majikan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi ini terus merayu ke peringkat Mahkamah Rayuan. Walau bagaimanapun, Mahkamah Rayuan telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan bahawa kes ini harus didengar dalam Mahkamah Buruh. Ini ialah satu lagi kemenangan kepada usaha dua orang pemandu lori yang mencari keadilan untuk mereka ini.

Dua orang pemandu lori ini telah diwakili oleh peguam New Sin Yew secara pro bono. Kes ini telah dibantu oleh PSM Cawangan Klang.

Baca lebih lanjut lagi tentang latar belakang kes ini di sini.

One thought on “Pemandu lori menang kes lagi di Mahkamah Rayuan: Majikan harus patuhi proses pengadilan di bawah undang-undang buruh

  1. Saya sebagai pengawal keselamatan yg telah berkhidmat selama 14 tahun secara terus oleh majikan akan di berhentikan oleh majikan kerana telah buat aduan ke JTK atas kesalahan gaji minimum jga lain2 kesalahan..saya akan ajukan aduan lagi ke pihak mahkamah buruh selepas tarikh di berhentikan..adakah saya punyai hak?

Leave a Reply to Mohamad samsudin Bujang Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *