Berikut ialan soal jawab bersama S. Arutchelvan, Timbalan Pengarah Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengarah Pilihan Raya PSM, mengenai perkembangan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 dan pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) yang menemui jalan buntu.

==========

S: Adakah saudara kecewa dengan keputusan PH yang tidak memberikan sebarang kerusi kepada PSM?

Arul: Ya, saya kecewa. Kekecewaan saya adalah kecil. Tetapi kekecewaan yang dirasai oleh ramai rakyat Malaysia, termasuk ramai penyokong PH, masyarakat sivil dan rakyat biasa yang mahu melihat PSM bersama PH untuk melawan parti lain adalah jauh lebih besar.

S: Ada persepsi bahawa PSM gagal dalam rundingan kerana hanya meminta kerusi Sungai Siput yang dimenangi oleh PH dan tidak meminta kerusi lain?

Arul: Ini adalah tidak benar sama sekali. Kami hanya meminta satu kerusi sandangan (incumbency) PH, iaitu Sungai Siput, tetapi kami juga ada meminta 2 lagi kerusi Parlimen dan 3 kerusi DUN – kesemuanya ialah kerusi yang PH kalah dalam PRU lalu. Namun, secara minimumnya kami hanya meminta satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN. Semua rundingan ada dirakam oleh PH, maka jika ada orang mempertikaikan perkara ini, bolehlah meminta PH untuk mendedahkan rakaman tersebut.

S: Mengapa Parti MUDA mendapat lebih kerusi berbanding dengan PSM?

Arul: Saya rasa Parti MUDA mendapat kerusi-kerusi yang sukar juga. Saya gembira sekurang-kurangnya mereka dapat sedikit kerusi. Dari segi kuasa tawar-menawar, memang MUDA ada lebih kuasa tawar-menawar berbanding dengan PSM kerana dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu, mereka tidak hilang deposit berbanding dengan PSM semasa PRU-14. Namun, kita kena faham bahawa, dalam PRU-14, PSM bertanding solo tetapi MUDA dalam PRN Johor mendapat dukungan daripada parti PH melalui satu kerjasama pilihan raya untuk semua kerusi kecuali Larkin.

S: Bukankah PH mempunyai lebih hak untuk bertanding kerusi Sungai Siput berbanding PSM kerana PSM hilang deposit dalam PRU-14 berbanding dengan calon PH, S. Kesavan?

Arul: Untuk PRU-15 ini, PSM sedia menggunakan logo bersama. Oleh itu, persoalannya ialah, siapakah calon terbaik? Rata-rata ramai orang, termasuk kumpulan NGO, pemerhati politik, kajian wartawan  malah pencabar utama PH di Sungai Siput iaitu MIC, melihat Dr. Jeyakumar sebagai calon yang lebih baik. Selain daripada mempunyai rekod kerja dan imej yang baik, Dr. Jeyakumar juga ialah orang yang telah mempopularkan logo PKR di Sungai Siput sejak tahun 2004, di mana pada masa itu, PSM tidak didaftar lagi dan PKR juga langsung tidak ada pengikut di Sungai Siput. Selain itu, ada beberapa isu peribadi yang akan menghantui calon Sungai Siput PH terkini sepanjang kempen pilihan raya. Dengan melihat semua ini, adalah tiada bandingan lagi siapa calon yang lebih baik dan mempunyai peluang terbaik untuk menang. Yang anehnya, kita sering mendengar bahawa Anwar dan Rafizi mencari calon yang ada kewibawaan untuk menang, tetapi alasan mereka untuk enggan melepaskan kerusi ini akhirnya ialah ini kerusi milik mereka.

S: Adakah orang melabel PSM meminta sedekah untuk kerusi?

Arul: Sebenarnya tidak sekali. Ramai orang, termasuk kumpulan masyarakat sivil dan orang ramai, meminta PSM untuk bergabung dengan satu gabungan politik. Ramai antara mereka mengambil posisi bahawa PH ialah gabungan terbaik. PSM pula mengambil keputusan untuk tidak menyertai PH tetapi meminta kerjasama pilihan raya (electoral pact) untuk memenuhi permintaan popular ini. Ada juga penyokong PH yang memberi idea bahawa kami kena berjumpa dengan Anwar dan Rafizi atau kepimpinan tertinggi PH untuk meminta kerusi. Ada pula berkata kena berjumpa dengan beberapa orang jutawan yang menaja PH untuk mendapatkan kerusi. Namun, selain daripada saluran rasmi surat-menyurat dan hantaran teks, PSM tidak mengambil sebarang inisiatif tambahan untuk berjumpa dengan penaja PH atau kepimpinan tertinggi PH untuk dapatkan kerusi. PSM terdiri daripada aktivis-aktivis rakyat yang terkenal dengan prinsip dan semangat perjuangan. Meminta sedekah kerusi bukanlah budaya PSM.

S: Adakah PSM akan menyokong PH atau bertanding sendiri dalam PRU ini?

Arul: Memandangkan PSM tidak ada dalam pakatan pilihan raya dengan PH lagi, maka kami adalah bebas untuk bertanding atau menyokong mana-mana individu atau parti dalam PRU nanti. Kami akan mengadakan berbincangan susulan dengan ahli-ahli kami untuk mendapat sedikit pandangan mengenai apa yang perlu dilakukan.

S: Apakah langkah seterusnya PSM?

Arul: Kita hanya ada 5 hari lagi sebelum hari penamaan calon. Selepas itu, hanya 2 minggu untuk berkempen. Semuanya akan berakhir dalam tempoh masa kurang daripada 20 hari. Sebagai parti yang tidak mempunyai sokongan daripada golongan kapitalis di belakang, maka kami akan memutuskan dalam sehari dua ini tentang apa yang kami akan buat dan sama ada kami akan bertanding dalam PRU ini. Namun, kami merasakan bahawa adalah tanggungjawab dan kewajipan kami untuk mengetengahkan keluhan dan suara rakyat marhaen semasa PRU ini.

S: Adakah PSM masih relevan?

Arul: PSM ialah sebuah parti yang berideologi sosialis. Selagi ada ketidaksamarataan, kemiskinan, krisis iklim dan agihan kekayaan yang tidak seimbang, maka kewujudan kami adalah relevan. Perjuangan kami adalah jauh lebih besar daripada bertanding dalam PRU setiap 5 tahun. Inilah sebabnya kami tidak hanya wujud semasa PRU tetapi kami mempunyai agenda dan mandat untuk menukar sistem yang sedia ada demi membawa kesejahteraan kepada rakyat terbanyak yang terdiri daripada semua kaum dan agama. Perjuangan untuk hak rakyat dan melawan sistem tidak bermula daripada kami dan juga tidak akan berakhir dengan kami.

(31 Oktober 2022)

One thought on “Soal Jawab bersama Arul: PRU-15 dan usaha kerjasama pilihan raya yang tidak membuahkan hasil

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *