KUALA LUMPUR – 17 SEPTEMBER 2022: Gabungan Marhaen melancarkan tuntutan rakyat marhaen yang merangkumi 12 sektor masyarakat untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dalam satu aksi perhimpunan di hadapan stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur, pada hari ini bersempena sambutan Hari Pembasmian Kemiskinan Sedunia.
Hari Pembasmian Kemiskinan Sedunia disambut pada 17 Oktober di peringkat antarabangsa setiap tahun. Pada tahun ini, Gabungan Marhaen mengambil kesempatan sambutan Hari Kemiskinan Sedunia untuk mengemukakan tuntutan-tuntutan masyarakat marhaen menjelang PRU-15 kerana PRU-15 akan diadakan tidak lama lagi selepas Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022.
Wakil daripada pelbagai sektor masyarakat telah hadir dalam aksi pelancaran Tuntutan Gabungan Marhaen untuk PRU-15 ini. Turut hadir bersolidariti ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sivarajan Arumugam selaku Setiausaha Agung PSM dan Karthiges Rajamanickam selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Penyelaras Gabungan Marhaen.
“Kami berkumpul pada hari ini untuk menyuarakan tuntutan-tuntutan rakyat marhaen menjelang Pilihan Raya Umum yang akan diadakan tidak lama lagi,” kata Karthiges Rajamanickam semasa pelancaran Tuntutan Gabungan Marhaen untuk PRU-15. “Tuntutan-tuntutan ini ditujukan kepada semua calon pilihan raya daripada semua parti politik, supaya mereka boleh memberi perhatian dan membawa tuntutan ini kepada mana-mana kerajaan yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum. Ini diperlukan kerana rakyat terperangkap dalam kemiskinan yang semakin teruk sejak berlakunya pandemik COVID-19. Selagi kita tidak menangani kemiskinan dalam kalangan rakyat marhaen, maka kita akan gagal sebagai sebuah negara dan masyarakat.”
Tuntutan PRU-15 oleh Gabungan Marhaen merangkumi tuntutan-tuntutan daripada pelbagai sektor masyarakat, termasuk masyarakat Orang Asal, pekerja ekonomi gig, pekerja kontrak, pekerja ladang, pekerja kilang, petani kecil, penternak kecil, pemandu lori, peneroka bandar, penduduk rumah pangsa dan sebagainya. Antara tuntutan-tuntutan yang dikemukakan ialah: pengiktirafan hak tanah adat masyarakat Orang Asal/Asli, penghapusan sistem kontrak yang memiskinkan pekerja bawahan, perlindungan hak pekerja ekonomi gig, perlindungan hak kesatuan sekerja, hentikan pengusiran paksa terhadap petani kecil yang sedang mengusahakan pengeluaran makanan, perlindungan hak perumahan pekerja ladang dan peneroka bandar, pengambilalihan penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah oleh majlis perbandaran, pengisytiharan darurat iklim dan sebagainya.
Baca Tuntutan Gabungan Marhaen untuk PRU-15 selanjutnya di sini.