oleh Gandipan Nantha Gopalan

Pemuda Sosialis dan Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF) menyokong penuh mogok sehari pekerja penghantaran Grab dan Foodpanda. Mogok ini telah dilancarkan untuk membantah yuran penghantaran yang rendah yang juga menyebabkan pekerja-pekerja penghantaran bekerja lebih masa untuk mencapai sasaran mereka.

Situasi yang dihadapi oleh penghantar-penghantar makanan ini mendedahkan masalah serius yang wujud dalam ekonomi gig. Perkembangan bisnes platform perkhidmatan atas talian seperti Grab dan Foodpanda adalah sebahagian daripada penyusunan semula ekonomi kapitalis untuk menjamin keuntungan pemodal dengan menghakis lebih lanjut lagi hak pekerja dan jaminan hidup bermaruah untuk pekerja.

Ini bukannya kali pertama pekerja-pekerja gig bermogok dan turun berprotes untuk jaminan pendapatan dan membantah kadar bayaran sementara kapitalis syarikat platform atas talian menikmati keuntungan lumayan. Delivery Hero, syarikat pemilik Foodpanda Malaysia di Berlin, mencatat keuntungan yang bernilai 1.258 bilion euro dan servis penghantaran merupakan penyumbang yang penting dalam pendapatan tahunan Grab Malaysia. Sementara itu, pekerja-pekerja penghantaran terpaksa mogok dan turun ke jalan untuk membantah sistem bayaran yang tidak adil.

Pemuda Sosialis dan JPTF juga ingin menyeru pada rakyat Malaysia untuk bersolidariti bersama mogok sehari pekerja penghantaran. Ketiadaan polisi kerajaan untuk mengawal selia dan melindungi hak pekerja dalam kerangka sistem ekonomi gig amat mengecewakan. Tuntutan pekerja dan aksi mogok ini amat penting dalam menyampaikan suara pekerja kepada kerajaan supaya pekerja tidak dibuli lagi.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Setiausaha Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *