oleh Titania

Pada 26 Julai 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen bagi menghentikan penggunaan produk tembakau dalam kalangan rakyat yang dilahirkan pada dan selepas 1 Januari 2007. Meskipun visi tersebut bermanfaat dari segi perubatan dan kesihatan, kandungan RUU ini mempunyai beberapa masalah khususnya dalam cara pelaksanaan.

Pertama sekali, Fasal 17 menyatakan bahawa sesiapa sahaja dilahirkan pada dan selepas 1 Januari 2007 yang ditangkap merokok atau mempunyai produk tembakau mahupun penggantinya, bahkan hanya menggunakan apa-apa alat merokok, akan didenda tidak melebihi RM500 (asalnya RM5,000 tetapi telah diturunkan menurut hantaran twitteroleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin). Ini bermakna kaedah menghukum akan digunakan untuk melawan masalah merokok yang merupakan isu kesihatan, bukan jenayah, memburukkan lagi stigma dalam kalangan masyarakat. Tambahan pula, pilihan untuk mengenakan bayaran denda akan menyebabkan golongan berpendapatan rendah lebih terkesan berbanding golongan lain. Secara amnya, hukuman tidak akan menghentikan orang daripada merokok dan orang yang didenda tidak punya apa-apa insentif untuk berhenti merokok; dia hanya akan lebih berjaga-jaga untuk mengelakkan diri daripada ditangkap lagi oleh badan penguatkuasaan. Oleh itu, adalah jelas bahawa RUU ini bertentangan dengan matlamat akhir yang dinyatakan.

Selain itu, Fasal 26, 31, dan 34 mengancam keselamatan orang kerana memberi kuasa berlebihan kepada badan penguatkuasaan, membolehkan salah guna kuasa yang mengganggu ketenteraman individu serta komuniti. Ini berpunca daripada penggunaan bahasa yang kabur dalam RUU. Tiada syarat jelas untuk menentukan apa yang dianggap sebagai kelakuan mencurigakan bagi membolehkan badan penguatkuasaan memasuki premis, menghenti, memeriksa serta merampas pengangkutan, dan mendapat akses kepada maklumat dalam rekod termasuk data komputer. Meluluskan RUU tanpa mengubah fasal-fasal ini akan menjejaskan keselamatan dan privasi rakyat, termasuk orang yang ada kaitan dengan suspek. Kelulusan IPCC yang lemah juga perlu diberi perhatian kerana buat masa sekarang, tiada badan bebas daripada pengaruh kerajaan untuk memantau kegiatan badan penguatkuasaan; masalah salah guna kuasa akan terus berlaku dengan meluluskan RUU ini.

Seterusnya, Fasal 33 yang memperkasakan badan penguatkuasaan untuk bertindak menurut Fasal 32 tanpa waran memudaratkan masyarakat. Sama ada mereka mempunyai alasan munasabah atau tidak untuk mengabaikan waran tertangguh bagi memeriksa dan merampas premis (secara paksa jika perlu seperti termaktub dalam Fasal 32), perkara ini membolehkan mereka untuk melakukan demikian, hanya perlu menjawab penyoalan Majistret (jika mereka dipertanggungjawabkan) setelah pencabulan hak suspek berlaku. Izharnya, kuasa yang diberikan oleh fasal ini tidak munasabah dan hanya mengundang keburukan kepada masyarakat terutamanya golongan kemacar dan berpendapatan rendah yang sering menjadi sasaran.

Seperti yang disebut, Khairy Jamaluddin selaku Menteri Kesihatan telah memuat naik hantaran twitter pada 1 Ogos 2022, jam 6.15 petang, di mana beliau mengumumkan beberapa pengubahsuaian kecil pada RUU seperti mengurangkan bayaran denda maksimum, meletakkan opsyen khidmat kebajikan, mengharamkan pemeriksaan badan pada orang bawah umur 18 tahun, dan menggugurkan hukuman bagi mereka yang ditangkap memiliki produk tembakau. Namun demikian, hal ini tidak memadai kerana masih lagi wujud fasal yang memberi kuasa melampau kepada badan penguatkuasaan untuk disalahgunakan. Pengubahsuaian yang dilakukan pula tidak mengubah keberkesanan RUU, malah masih menyebabkan golongan berpendapatan rendah lebih terkesan kerana sama ada denda diberikan adalah RM500 mahupun RM5,000, kedua-duanya adalah jumlah yang sangat besar kepada mereka. Lebih-lebih lagi, sesiapa pun tidak patut mengalami pemeriksaan badan hanya kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan RUU ini.

Sebagai rumusan, RUU yang dibentangkan KKM perlu diubahsuai sepenuhnya sebelum dipertimbangkan untuk kelulusan di Parlimen. Ia mengandungi pelbagai peruntukan berbahaya yang mendedahkan masyarakat kepada pencabulan hak demokratik dan kemanusiaan mereka. Dengan ini, Pemuda Sosialis menuntut penggubalan RUU yang menjaga kepentingan rakyat, menitikberatkan kaedah pemulihan bukannya hukuman bagi menangani isu merokok di Malaysia. KKM juga wajib mempertimbangkan pengedaran tampalan nikotin dan alternatif lain secara percuma bagi membantu orang dalam mengatasi ketagihan merokok jika KKM benar-benar mengambil berat akan kesihatan masyarakat.

==========

Titania ialah Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *