oleh S. Arutchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) baru menyempurnakan Kongres Parti yang ke-24 yang merupakan kongres pertama selepas pandemik, di Klang pada 15 hingga 17 Julai 2022. Kongres ini memberangsangkan kerana ramai anak muda menyertainya, dan memberi harapan bahawa Sosialisme tidak ketinggalan zaman, sebaliknya sedang membara dalam kalangan anak muda. Pemilihan untuk Jawatankuasa Pusat telah disertai oleh 49 orang calon yang bertanding untuk 10 posisi Ahli Jawatankuasa Pusat di mana untuk kali pertamanya calon-calon wanita menang 8 daripada 10 jawatan itu. 11 daripada 16 orang dalam Jawatankuasa Pusat PSM yang dipilih oleh perwakilan dalam Kongres Nasional PSM yang ke-24 ialah wanita, bersamaan dengan 68.75%. Ini menjadikan PSM parti politik yang pertama dan satu-satunya parti politik di Malaysia di mana kepimpinan tertingginya terdiri daripada majoriti dua pertiga wanita.

Namun, terdapat satu isu yang nampaknya aneh dan benar-benar menjengkelkan untuk parti ialah persoalan mengenai pilihan raya, politik gabungan, dan bagaimana untuk menang dalam pilihan raya. Sejak PSM kalah dalam semua kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya yang lalu, terdapat sentimen dan tekanan dalam parti bahawa PSM harus menjalinkan kerjasama politik; suka atau tidak, terpaksa bergabung dengan apa jua cara sekali pun dengan niat untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya yang akan datang. Bertanding secara bersendirian tanpa bersama gabungan sudah pastinya tidak akan membawa kejayaan pilihan raya.

Apabila PSM menjalankan Sesi Perbincangan Dalaman Khas mengenai pilihan raya pada bulan Februari tahun ini, ahli-ahli parti memberi sokongan bersyarat kepada kepimpinan parti untuk berunding dengan sesetengah parti dalam pihak pembangkang, dan parti akan terus dipandukan dengan prinsip-prinsipnya walaupun terlibat dalam politik gabungan.

Adalah tidak boleh dinafikan bahawa golongan kiri di Malaysia pernah merupakan pembangkang terbesar dalam Parlimen dan Ahli Parlimen daripada Fron Sosialis pernah memegang jawatan Ketua Pembangkang. Namun, keadaan berubah banyak selepas Darurat 1969 dan zaman Dasar Ekonomi Baru. Pada hari ini, kuasa kiri telah lemah dan merosot kepada kuasa ketiga, dan kadang-kadang juga diremehkan sebagai kuasa yang sudah ketinggalan kapal. Politik arus perdana negara juga berubah daripada politik berasaskan kelas kepada politik perkauman.

Pada bulan Januari 2020, PSM mengadakan satu proses perbincangan mendalam untuk merangka strategi mengenai peranan PSM dalam politik Malaysia dan menetapkan sasaran untuk mengembalikan kegemilangan gerakan kiri di Malaysia. Seperti yang disebut oleh Dr. Jeyakumar dalam ucapan pembukaannya dalam Kongres tahun ini, bahawa beliau tidak mahu PSM hanya dilihat sebagai hiasan tingkap dalam politik Malaysia. Kami mahu menjadi pemain utama dalam politik Malaysia dan berupaya menang kerusi dalam pilihan raya.

Deklarasi Trolak PSM sendiri yang dirangka 2 tahun dahulu, ialah sebuah rancangan 10-tahun untuk menjadikan PSM salah satu pemain utama dalam politik Malaysia seperti golongan kiri sebelum tahun 1970-an. Rancangan ini melibatkan penstrukturan semula jentera parti dan mewujudkan mekanisme dalam pembinaan keupayaan parti dalam masa terdekat. Antara isu-isu yang hendak diperjuangkan sebagai kempen utama parti termasuklah darurat iklim, pilihan raya tempatan, kesihatan awam, perumahan dan pembasmian kemiskinan. PSM hendak membentuk persefahaman dengan parti-parti pembangkang mengenai isu-isu ini, tetapi nampaknya isu-isu ini tidak mengujakan parti-parti politik arus perdana. Kebanyakan isu-isu ini diberi perhatian oleh sesetengah pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO). PSM mempunyai hubungan yang sangat baik dengan CSO-CSO dan NGO-NGO ini, dan telah bekerjasama dengan mereka sekitar isu-isu ini. PSM juga mempunyai inisiatif sendiri untuk membina lebih banyak gabungan berasaskan Marhaen dalam isu-isu sektoral.

Banyak kumpulan masyarakat bekerjasama secara rapat dengan PSM, dan banyak antara mereka ini melihat PSM sebagai satu-satunya harapan untuk membawa dasar-dasar yang lebih baik untuk Malaysia. PSM juga mempunyai sekumpulan aktivis dan mereka bekerjasama dengan NGO-NGO dalam banyak sektor. PSM telah menjadi cahaya harapan dalam memperjuangkan isu-isu mereka, termasuk darurat iklim, jaminan makanan, pertikaian tanah, LGBTQIA+, hak migran dan sebagainya, di mana isu-isu ini sering dielakkan oleh banyak parti politik arus perdana kerana tidak berbaloi bagi mereka.

Malangnya, strategi kebanyakan parti politik arus perdana adalah menyerapkan individu-individu daripada gerakan masyarakat sivil ke dalam organisasi mereka. Kita telah melihat bagaimana aktivis seperti Sivarasa, Charles Santiago, A. Samad Said dan Maria Chin Abdullan diserapkan.

PSM pernah menghadapi masalah yang serupa. Semasa parti memperjuangkan pendaftarannya yang mengambil masa 10 tahun, pada ketika itu kami telah dijemput sebagai individu untuk menyertai parti-parti politik pembangkang yang sedia wujud. Kami ditawarkan kerusi dan jawatan. Namun, oleh sebab kesetiaan kami terhadap parti kami dan perjuangan ideologi kami, kebanyakan kami telah menolak jawatan ini dan meletakkan syarat bahawa kami akan kekal sebagai ahli PSM, dan hanya bersetuju untuk meminjam logo mereka. Perkara ini tidak disenangi, dan pada tahun 2004, DAP enggan meminjam logonya kepada PSM dan akhirnya kami bertanding dengan tiket PKR dengan persetujuan meminjam logo yang serupa. Sejak itu, apabila bercakap mengenai rundingan kerusi, parti-parti lain tidak berminat untuk membawa masuk PSM ke dalam gabungan tetapi mereka lebih berminat merampas sesetengah ahli kami ke dalam barisan mereka.

Walaupun PSM sentiasa mendapat tekanan dan sentimen umum yang mahukan PSM menyertai barisan pembangkang yang kami sokong secara bersyarat sebelum ini, tetapi kami tidak boleh menyertai sesebuah gabungan secara membuta tuli. Kami sentiasa mahu melihat persetujuan mengenai dasar-dasar yang meluas. Pada tahun 2018, Pakatan Harapan (PH) mempunyai manifesto pilihan raya yang sebenarnya bagus dan progresif. Namun, kejutan datang selepas pilihan raya apabila Tun Mahathir yang merupakan Perdana Menteri pada masa itu mengatakan bahawa janji-janji dalam manifesto itu hanyalah dibuat dengan kepercayaan mereka tidak akan berkuasa. Ini merupakan satu pengkhianatan yang serius terhadap janji-janji pilihan raya dan bagaimana pengundi dilayan oleh pakatan yang sepatutnya membawa harapan.

Berbalik kepada isu politik gabungan. Dari segi sejarah, gabungan politik yang berasaskan konsep “musuh kepada musuh ialah kawan saya” itu tidak berjalan dengan baik. Kita telah melihat bagaimana Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan semuanya menemui kegagalan kerana mereka tidak membina konsensus mengenai isu-isu penting. Kita melihat parti-parti ini berbeza pendapat dengan jelasnya dalam isu-isu seperti Negara Islam dan Hudud. Oleh itu, adalah tidak berguna untuk membentuk sebuah gabungan politik apabila tidak terdapatnya konsensus mengenai isu-isu utama yang kritikal.

Tanpa pemahaman dan konsensus yang jelas, gabungan politik ini tidak akan bertahan lama. PSM berminat untuk menyertai sebuah gabungan politik di mana sebahagian besar isu-isu penting ini dapat dibincangkan dan diselesaikan. Namun, apa yang kita lihat di hadapan mata kita sekarang, bukanlah mengenai dasar tetapi hanya perbincangan mengenai bilangan kerusi dan siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri. Persoalan perpaduan yang terbesar dalam kalangan parti-parti pembangkang sekali lagi adalah siapa yang menjadi Perdana Menteri akan datang. Nampaknya dalam persoalan ini sahaja, PH tidak akan dapat membentuk satu persefahaman dengan gabungan politik besar yang lain seperti WARISAN dan Perikatan Nasional (PN). Jadi, kemenangan BN nampaknya tidak dapat dielakkan.

Berapa lama lagi rakyat boleh menunggu untuk menyaksikan permainan kuasa ini berterusan pada ketika harga barangan, kesusahan dan penderitaan semuanya telah meningkat?

Oleh itu, PSM harus bekerja lebih keras lagi, dan mewujudkan kerjasama dengan parti-parti seperti MUDA, WARISAN serta PH mengenai isu-isu yang mempunyai pendirian bersama dan program minimum. Nampaknya hanya sekadar menyertai sebuah gabungan palsu tidak akan bertahan lama. Suka atau tidak, kita perlu membina sebuah gabungan politik yang stabil dengan dasar-dasar yang lebih jelas untuk berkuasa lebih lama dan berkekalan.

Hari ini, kita sedang menunggu untuk berdepan dengan keputusan pilihan raya yang suram. Dalam senario yang menyedihkan ini, dua perkara yang mungkin membawa harapan ialah pelaksanaan Undi 18 dan undang-undang anti-lompat parti yang diluluskan dalam Dewan Rakyat baru-baru ini. Dua faktor ini sahaja yang mungkin menjadi sebab yang baik untuk meminta rakyat keluar mengundi. Lebih penting lagi, pengundi-pengundi yang pernah merasai pengkhianatan dan bagaimana parti-parti politik arus perdana boleh memperdayakan mereka, sepatutnya memperjuangkan tuntutan pra-pilihan raya supaya mereka boleh memainkan peranan yang aktif dalam pilihan raya, bukannya menyerahkan urusan politik ke dalam tangan segelintir kecil orang dan budak suruhan mereka.

PSM akan terus berusaha dan membina perubahan yang kita impikan. Kita harus memperkasakan politik berpusatkan rakyat di samping membina kerjasama kelas dalam kalangan kumpulan-kumpulan etnik yang berbeza, kerana kami percaya bahawa terdapat lebih banyak persamaan antara 99% berbanding 1%. Ini semestinya satu perjalanan yang panjang. Adalah mustahil untuk mencapainya dengan jalan pintas atau melalui manipulasi pengundi.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *