oleh R. Saratbabu

M. Sivanesvari ialah seorang pekerja pembantu kejururawatan yang telah berkhidmat di Hospital Apollo Medical Centre, Taiping, Perak sejak tahun 2002. Walaupun M. Sivanesvari yang telah berkhidmat selama lebih 19 tahun, tetapi telah diberhentikan kerja tanpa sebab.

Majikan guna taktik pemindahan tempat kerja untuk mangsakan pekerja

Pada bulan Mei 2020, M. Sivanesvari telah diberikan satu surat pemindahan  tempat kerja ke Klinik Dalaman (In-House Clinic) Toyo Tyre Clinic. Majikan memberitahu bahawa ini ialah satu pemindahan sementara sahaja dan dia akan ditempatkan semula di wad hospital. Kemudian, pada bulan Julai 2020, M.Sivanesvari telah menerima satu lagi surat pemindahan tempat kerja ke Klinik Dalaman Silverstone Clinic. Alasan yang sama diberi oleh majikan apabila beberapa kali ditanya oleh M. Sivanesvari. Dia masih bekerja di Klinik Dalaman walaupun sudah 8 bulan berlalu.

Pekerja tetap dijadikan pekerja kontrak – Dirancang untuk buang kerja!

Tiba-tiba pada awal bulan Januari 2021, M. Sivanesvari telah diberi kontrak perkhidmatan baharu untuk tempoh setahun dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2021. M. Sivanesvari amat hairan dan bimbang kerana status yang telah lama wujud sebagai pekerja tetap kini berubah menjadi pekerja kontrak. Apabila M. Sivanesvari bertanya kepada majikan, dia diberitahu bahawa pemberian kontrak baharu tidak akan mendatangkan sebarang kesan terhadap status pekerja tetap atau mana-mana aspek lain dalam kontrak lama. Majikan memutarbelitkan isu dan niat jahat mereka yang akan membawa padah kepada pekerja kemudian.

Akhirnya, seperti yang dirancang oleh majikan, kontrak M. Sivanesvari ditamatkan pada bulan Julai 2021.  

Hak pekerja dibela

Walaupun M. Sivanesvari berpendidikan rendah, tetapi berasa dirinya telah dilayan secara tidak adil. Dia berasa tertipu dan tidak berpuas hati apabila majikan tidak memberitahunya tentang perkara sebenar dan memesongkan isu apabila sering ditanya olehnya. Maka, M. Sivanesvari memfailkan kes di Jabatan Tenaga Kerja Taiping pada 13 September 2021 untuk menuntut Faedah Penamatan Kerja dengan bantuan dan khidmat nasihat daripada pihak PSM. Kes ini dirujuk ke Mahkamah Buruh apabila tidak mencapai satu penyelesaian dalam mesyuarat perundingan damai yang telah diadakan. Akhirnya, satu perintah persetujuan bersama ditandatangani pada 9 Jun 2022 apabila majikan menawarkan RM15,000 sebagai Faedah Penamatan.

==========

R. Saratbabu ialah aktivis PSM Bercham yang membantu dalam kes pekerja ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.