KUALA LUMPUR – 17 JUN 2022: Ratusan orang peguam yang hendak berarak ke Parlimen pada hari ini untuk menegakkan kebebasan kehakiman telah dihalang oleh pihak polis.

Kira-kira 500 orang peguam telah berhimpun di tempat letak kereta Padang Merbok, Kuala Lumpur, pada pukul 10 pagi tadi, untuk menyertai aksi “Berjalan untuk Kebebasan Kehakiman” yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia. Namun, aksi “berjalan” ini gagal disempurnakan apabila barisan perarakan peguam dihalang oleh polis sebelum dapat keluar dari Padang Merbok. Pihak polis menyekat mereka yang berhimpun di Padang Merbok daripada bergerak menuju ke Parlimen. Adalah tidak masuk akal untuk polis menghalang mana-mana kumpulan masyarakat daripada berjalan ke Parlimen yang sepatutnya menjadi medan di mana suara rakyat didengari.

Aksi “Berjalan untuk Kebebasan Kehakiman” ini dianjurkan berikutan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Majlis Peguam Malaysia pada 27 Mei 2022, di mana Majlis Peguam Malaysia mengecam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengumumkan secara terbuka mengenai penyiasatan jenayah terhadap seorang hakim kanan, sesuatu yang tidak pernah berlaku dahulu, sehingga dianggap bersamaan dengan intimidasi terhadap badan kehakiman negara kita.

SPRM mengumumkan pada bulan April 2022 bahawa ia telah memulakan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas sebuah blog politik membuat beberapa dakwaan terhadapnya. Hakim Mohd Nazlan sendiri telah membuat aduan polis mengenai dakwaan yang dikatakannya palsu dan berniat jahat. Sebelum ini, Mohd Nazlan ialah hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menyabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman ke atas Najib Razak, bekas Perdana Menteri yang penuh dengan skandal penyelewengan kuasa, dalam kes tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Najib dan pasukan peguam yang membelanya cuba mejatuhkan reputasi Hakim Mohd Nazlan dengan dakwaan bahawa Mohd Nazlan mempunyai konflik kepentingan yang tersembunyi.

Majlis Peguam Malaysia telah menyatakan pendiriannya bahawa sebarang penyiasatan terhadap hakim mahkamah tinggi oleh agensi penguatkuasaan undang-undang harus dilakukan dengan cara yang tidak menghakis kebebasan kehakiman dan keyakinan masyarakat awam terhadap sistem kehakiman negara kita. Sebarang aduan terhadap hakim mahkamah tinggi dan penyiasatan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang sekiranya diberi publisiti yang tidak wajar, sudah pasti akan memberi kesan yang meluas terhadap kebebasan kehakiman dan keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman. Oleh yang demikian, Majlis Peguam Malaysia memutuskan untuk mengadakan aksi protes demi mempertahankan kebebasan kehakiman.

Mereka yang hadir dalam aksi protes peguam pada hari ini termasuk Karen Cheah Yee Lynn (Presiden Majlis Peguam Malaysia), Ambiga Sreenevasan (bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia), Tommy Thomas (bekas Peguam Negara), Haris Ibrahim (peguam aktivis) dan ramai lagi.

Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), yang sepatutnya menerima memorandum daripada Majlis Peguam Malaysia di Parlimen, telah datang ke Padang Merbok untuk menerima memorandum yang ditujukan kepada Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu.

Bawani KS, Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang turut hadir bersolidariti pada hari ini, menyatakan kekecewaannya kerana peguam yang telah berhimpun di Padang Merbok tidak dapat berarak ke Parlimen yang terletak tidak jauh dari situ. Mengkomen tentang penyiasatan terhadap hakim kanan oleh SPRM, Bawani berkata, “Badan eksekutif tidak patut mencampurtangan dengan isu berkaitan dengan badan kehakiman, kerana ini akan mengancam pengasingan kuasa antara eksekutif dan kehakiman, maka menjejaskan kredibiliti sistem kehakiman kita.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *