(foto: Peter Morrison / AP)

Sinn Féin muncul sebagai parti nasionalis Ireland yang pertama menang paling banyak kerusi Dewan Undangan Ireland Utara dalam pilihanraya terbaru di wilayah tersebut. Ini merupakan satu kemenangan yang bersejarah bagi gerakan politik nasionalis republikan di Ireland Utara.

Pilihanraya Dewan Undangan Ireland Utara telah diadakan pada 5 Mei 2022, serentak dengan pilihanraya tempatan di England, Wales dan Scotland yang bergabung dalam United Kingdom (UK). Pada ketika Parti Konservatif pimpinan Boris Johnson mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya tempatan di England, Wales dan Scotland, satu gempa bumi politik turut berlaku dalam pilihanraya di Ireland Utara.

Sinn Féin, sebuah parti republikan Ireland dan sosialis demokratik yang memperjuangkan penyatuan seluruh Ireland, telah berjaya meraih undian keutamaan pertama yang terbanyak, sama ada dari segi jumlah mutlak atau peratusan, dalam sejarah penglibatannya dalam Pilihanraya Dewan Undangan Ireland Utara sejak tahun 1998. Sinn Féin muncul sebagai parti yang menguasai kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Ireland Utara selepas memperoleh 250,388 undi keutamaan pertama (bersamaan 29.0%) yang membolehkannya menguasai 27 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Ireland Utara. Undian yang diperolehi Sinn Féin telah meningkat sebanyak 1.1 titik peratusan berbanding pilihanraya sebelumnya pada tahun 2017. Kemenangan ini membolehkan pemimpin Sinn Féin di Ireland Utara, Michelle O’Neill yang merupakan Timbalan Ketua Menteri Ireland Utara selama dua tahun (2020-2022) sebelum ini, bakal menjadi Ketua Menteri Ireland Utara pertama di Ireland Utara yang datang daripada sebuah parti politik yang memperjuangkan pemisahan Ireland Utara dari UK dan penyatuan dengan Republik Ireland.

Parti Kesatuan Demokratik (DUP), parti berfahaman konservatif yang menyokong konsep penggabungan Ireland Utara dalam UK, menduduki tangga kedua dari segi penguasaan kerusi dengan menguasai 25 kerusi selepas hanya memperoleh 21.3% undi, dengan penurunan sokongan undi sebanyak 6.7 titik peratusan. DUP merupakan parti yang memenangi kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Ireland Utara dari tahun 2003 sehinggalah pilihanraya terbaru.

Dewan Undangan Ireland Utara sekarang ini ditubuhkan pada tahun 1998 berikutan Perjanjian Belfast yang bertujuan untuk menamatkan konflik keganasan akibat daripada “The Troubles” (Konflik Ireland Utara) yang berlarutan lebih kurang 30 tahun. Di bawah Perjanjian Belfast, prinsip “perkongsian kuasa” diamalkan dalam pembentukan badan eksekutif yang dipilih daripada Dewan Undangan Ireland Utara, di mana kedua-dua blok pengundi yang terbesar di Ireland Utara, golongan pendukung kesatuan British dan golongan nasionalis Ireland, mengambil bahagian dalam kerajaan Ireland Utara. Sejak tahun 1998, parti pendukung kesatuan British sentiasa merupakan parti yang memenangi kerusi terbanyak maka memegang jawatan Ketua Menteri Ireland Utara, sehinggalah pilihanraya yang terbaru ini.

Walaupun kemenangan Sinn Féin hanyalah berbentuk simbolik dan tidak mengubah susunan struktur pengagihan kuasa politik Ireland Utara pada masa kini, tetapi ia sudah cukup untuk memberi inspirasi yang membuka pintu kepada kemungkinan politik baharu untuk perkembangan terus idea penyatuan seluruh Ireland pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, Sinn Féin telah cuba mengelakkan bercakap tentang penyatuan Ireland dalam kempen pilihanrayanya terbaru ini, sebaliknya lebih memfokus pada isu-isu berkaitan dengan penyaraan hidup (“bread and butter”), maka kemenangan Sinn Féin lebih kepada manifestasi rakyat Ireland Utara untuk memperbaiki kehidupan ekonomi mereka berbanding persoalan nasional.

Sejarah ringkas Sinn Féin

Sinn Féin merupakan sebuah parti politik yang sering dimomokkan oleh pihak berkuasa British selama seabad yang lalu sebagai ancaman besar kepada negara UK. Sinn Féin ditubuhkan pada tahun 1905 oleh Arthur Griffith, seorang nasionalis Ireland yang mengimpikan golongan kapitalis Ireland dapat menjana keuntungan yang mampu bersaing dengan Britain. Kerajaan British mula menganggap Sinn Féin sebagai ancaman utamanya selepas berlakunya Pemberontakan Easter pada tahun 1916 yang menyaksikan kebangkitan golongan nasionalis Ireland untuk melawan pemerintahan British di Ireland. Namun, Griffith yang merupakan pengasas Sinn Féin itu tidak mengambil bahagian dalam pemberontakan tersebut malah mendesak orang lain untuk tidak berbuat demikian. Selepas Pemberontakan Easter yang dipatahkan secara zalimnya oleh pihak berkuasa British, ramai peserta pemberontakan menyertai Sinn Féin dan mencetuskan konflik dalaman antara anggota-anggota asal yang berfahaman konservatif (yang menyokong Griffith) dengan anggota-anggota baharu yang hendak membina sebuah republik. Lebih kurang 1,700 orang perwakilan menghadiri persidangan pada tahun 1917 yang menyusun semula organisasi Sinn Féin dan Éamon de Valera dipilih sebagai Presiden Sinn Féin.

Sebulan selepas penyusunan semula organisasi Sinn Féin, Tentera Republikan Ireland (IRA) ditubuhkan sebagai sayap tentera perjuangan nasionalis Ireland. Sejak itu, Sinn Féin menjadi titik tumpuan golongan nasionalis Ireland untuk organisasi politik yang bertujuan untuk melawan penindasan oleh Britain.

Dalam pilihanraya umum UK pada tahun 1918, Sinn Féin memenangi 73 daripada 105 kerusi yang dipertandingkan di Ireland. Selaras dengan manifesto pilihanraya Sinn Féin, Ahli-ahli Parlimen daripada Sinn Féin menolak untuk mengambil kerusi mereka dalam Parlimen UK, sebaliknya mereka membentuk parlimen mereka sendiri, yang dikenali sebagai Dáil Pertama, pada 21 Januari 1919. Pada hari yang sama dengan pembentukan Dáil Pertama, golongan nasionalis Ireland mengisytihar kemerdekaan Ireland dan melancarkan serangan ke atas tentera British, maka mencetuskan Perang Kemerdekaan Ireland (1919-1921).

Rundingan damai diadakan selepas gencatan senjata pada bulan Julai 1921, dan menghasilkan Perjanjian Inggeris-Ireland yang ditandatangani pada 6 Disember 1921. Perjanjian Inggeris-Ireland menamatkan pemerintahan British di kebanyakan kawasan di atas pulau Ireland, tetapi wilayah Ireland Utara masih kekal dikuasai British, menjadikan Ireland berpecah dua: Ireland Selatan yang merdeka dan Ireland Utara yang masih diperintah oleh Britain. Golongan nasionalis Ireland turut berpecah kepada puak yang menyokong dan membantah Perjanjian Inggeris-Ireland, sehingga tercetusnya Perang Saudara Ireland selama 11 bulan pada tahun 1922-1923. Perang Saudara Ireland dimenangi oleh puak pro-Perjanjian.

Puak pro-Perjanjian menubuhkan parti baharu, Cumann na nGaedheal, pada tahun 1923, memerintah negara Ireland baharu untuk 9 tahun, dan kemudiannya bergabung dengan parti-parti kecil yang lain pada tahun 1933 untuk membentuk Fine Gael, sebuah parti berhaluan kanan di Ireland yang pernah memerintah beberapa kali selepas Perang Dunia II. Ahli-ahli Sinn Féin yang anti-Perjanjian terus memboikot Dáil (Parlimen Ireland). Pada tahun 1926, pemimpin Sinn Féin Éamon de Valera mencadangkan untuk ahli parlimen Sinn Féin yang dipilih mengambil kerusi mereka tetapi ditolak oleh majoriti ahli Sinn Féin, maka menyebabkan de Valera menarik diri keluar daripada Sinn Féin dan menubuhkan Fianna Fáil, yang kemudiannya menjadi parti kapitalis utama yang memerintah Ireland berdekad-dekad lamanya.

Selepas kempen perang gerila IRA pada tahun 1956-1962 di sempadan Republik Ireland dan UK (Ireland Utara) menemui kegagalan, gerakan republikan berada dalam keadaan merudum pada awal tahun 1960-an. Namun, penindasan kejam oleh kerajaan British terhadap gerakan hak sivil yang diterajui oleh golongan republikan di Ireland Utara mengubah dinamik politik Ireland pada penghujung tahun 1960-an. IRA melancarkan pemberontakan bersenjata di Ireland Utara dan membawa kepada konflik berlarutan selama 30 tahun yang dikenali sebagai “The Troubles”.

Sinn Féin mula membangunkan politik berhaluan kiri pada tahun 1970-an. Pada penghujung tahun 1970-an dan awal 1980-an, semasa wujudnya kemuncak perjuangan tahanan politik dan tindakan mogok lapar, Sinn Féin bertegas untuk tidak mengambil bahagian dalam pilihanraya di samping mengekalkan pendirian politiknya yang memboikot parlimen, sama ada di Republik Ireland ataupun di UK. Namun, Sinn Féin bertukar pendiriannya tidak lama kemudian dan menekankan keperluan menggunakan pilihanraya sebagai strategi politiknya untuk perjuangan. Sinn Féin menggugurkan pendekatan politiknya yang memboikot Dáil di Republik Ireland pada tahun 1986. Pada tahun 1990-an, kepimpinan Sinn Féin terlibat dalam proses pendamaian Ireland Utara yang akhirnya membuahkan hasil melalui Perjanjian Belfast pada tahun 1998. Sinn Féin mula memintas Parti Demokratik Sosial dan Buruh (SDLP) menjadi parti nasionalis terbesar dalam Dewan Undangan Ireland Utara pada tahun 2003 dan kemudiannya menjadi parti kedua besar dalam Dewan Undangan Ireland Utara pada tahun 2007.

Sinn Féin masih mengekalkan dasarnya memboikot Parlimen UK sehingga kini (iaitu mengambil bahagian dalam pilihanraya tetapi tidak mengambil kerusi yang dimenanginya).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *