oleh L. Danaletchumi
6 orang wakil pekerja pembersihan di 19 buah sekolah sekitar kawasan Sabak Bernam, Selangor, bersama-sama dengan 2 orang wakil Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) telah mengadakan mesyuarat dengan wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Putrajaya pada 4 Mac 2022.
Mesyuarat ini adalah susulan daripada aksi perhimpunan aman yang diadakan pada 18 Februari 2022 di hadapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam yang disertai oleh lebih kurang 100 orang pekerja. Pekerja berkumpul di PPD untuk mendapatkan pembelaan tentang masalah mereka, iaitu tidak dibayar gaji selama 3 bulan dari bulan November 2021 sehingga bulan Januari 2022. Pekerja terpaksa membawa masalah ini kepada PPD kerana mereka tidak mampu lagi hidup tanpa gaji dan tidak dapat bersabar lagi dengan janji-janji kosong yang diberi oleh majikan mereka, syarikat AS Rezeki Resources dan Panggilan Efektif Enterprises. Gaji mereka masih tidak dibayar sehingga ke hari ini.
Namun, mesyuarat dengan pihak KPM ini masih tidak dapat lagi menyelesaikan masalah pekerja kerana KPM mengalihkan tanggungjawab kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK), dengan harapan JTK Kuala Selangor akan mempercepatkan proses tuntutan bagi tunggakan gaji 3 bulan itu. Pihak KPM juga tidak memberikan tempoh yang jelas untuk menyelesaikan masalah pekerja ini.
Tuntutan pekerja-pekerja dan JPKK adalah bayar tunggakan gaji selama 4 bulan, dari bulan November 2021 sehingga bulan Februari 2022, dengan kadar segera serta menyenaraihitamkan syarikat kontraktor yang melanggar undang-undang buruh dan gagal menjaga kebajikan pekerja-pekerja. Ini adalah untuk mengelakkan masalah-masalah sebegini yang merumitkan dan menyukarkan kehidupan pekerja daripada terus berlaku.
Rantaian sistem kontrak menenggelamkan dan menghilangkan kesemua hak pekerja. Ini menyebabkan pekerja kehilangan saluran untuk membuat aduan bagi mempertahankan hak mereka. Semua pihak yang terlibat dalam rantaian ini enggan mengambil tanggungjawab untuk menjaga hak dan kebajikan pekerja. Adalah sangat jelas sistem kontrak ini memangsakan pekerja dan merumitkan lagi keadaan mereka.
Sejak tahun 2016, JPKK bertekad memperjuangkan tuntutan utamanya, iaitu hapuskan sistem kontrak di premis kerajaan seperti sekolah dan hospital untuk menghalang berlakunya ketidakadilan terhadap pekerja secara berterusan. Perjuangan kelas pekerja ini akan tetap berterusan sehingga pekerja mendapat keadilan dan tidak lagi menjadi mangsa kepada sistem yang menguntungkan kroni-kroni besar.
==========
L. Danaletchumi ialah aktivis Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).
2 thoughts on “Pekerja pembersihan sekolah di Sabak Bernam masih tidak terima tunggakan gaji selepas 4 bulan”