oleh Choo Chon Kai

Parti Sosialis Malaysia (PSM) berprihatin pada pekerja-pekerja perkhidmatan penghantaran syarikat e-dagang Lazada yang bermogok untuk membantah tindakan pihak syarikat yang menjejaskan pendapatan mereka. PSM bersolidariti dengan pekerja-pekerja yang berjuang untuk hak mereka dan pendapatan yang terjamin.

Menurut berita yang diterbitkan semalam (3 Januari 2022), pekerja-pekerja syarikat tersebut melancarkan mogok kerana tidak berpuas hati dengan keputusan sehala daripada pihak syarikat yang merugikan pekerja penghantaran menggunakan van. Pihak syarikat hanya mengeluarkan notis mengenai struktur bayaran upah yang terbaru sehari sebelum ia berkuatkuasa tanpa sebarang rundingan dengan pekerja-pekerja berkenaan terlebih dahulu. Kontrak baharu yang dikeluarkan kepada pekerja-pekerja tidak lagi memberikan bayaran tetap setiap hari dan hanya memberikan komisen berdasarkan bilangan bungkusan yang dihantar. Ini menyebabkan pendapatan pekerja yang berkenaan menyusut dengan hebatnya dan semestinya akan membebankan kehidupan pekerja-pekerja.

Tindakan syarikat mengubah syarat kontrak dan skim pembayaran secara sehala tanpa berunding dengan pekerja ini merupakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan. Pekerja-pekerja penghantaran yang menyumbangkan titik peluh mereka tidak harus dilayan sebagai barangan yang boleh diubah harganya sesuka hati.

PSM mengggesa pihak syarikat Lazada untuk mendengar suara tuntutan pekerja-pekerja penghantaran yang bekerja dengannya dan mengekalkan bayaran tetap harian kepada semua pekerja penghantaran menggunakan van.

Kemelut yang dihadapi oleh pekerja-pekerja penghantaran ini turut menunjukkan masalah besar yang dihadapi oleh semua pekerja ekonomi gig yang harus diselesaikan, iaitu tiadanya perlindungan hak pekerja di bawah undang-undang yang sedia ada. Pekerja ekonomi gig biasanya dianggap sebagai individu atau “kontraktor bebas” yang bekerja sendiri, maka tidak dilindungi di bawah undang-undang buruh yang sedia ada, dan menyebabkan masalah ketidakjaminan kerja. Kita perlukan pembaharuan undang-undang untuk mengiktiraf pekerja ekonomi gig dan melindungi hak semua orang yang bekerja untuk mencari nafkah.

==========

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *