Pekerja-pekerja NagaWorld, hotel mewah dan kasino terbesar di negara Kemboja, telah ditindas oleh pihak berkuasa baru-baru ini kerana bermogok untuk menuntut pemulihan kerja pekerja yang dipecat tahun lalu.

Sejak melancarkan mogok pada bulan Disember 2021, 30 orang anggota kesatuan pekerja NagaWorld telah ditangkap oleh pihak berkuasa. Pekerja-pekerja juga menuduh bahawa pihak pengurusan NagaWorld enggan mendengar tuntutan pekerja.

Pada 18 Disember 2021, lebih 1,300 orang pekerja NagaWorld memulakan aksi mogok untuk menuntut pemulihan kerja bagi 365 orang pekerja yang diberhentikan kerja pada bulan April 2021. Sebanyak 1,329 orang pekerja diberhentikan kerja pada masa itu dengan alasan perniagaan syarikat telah merosot kerana pandemik COVID-19, namum sebahagian daripada pekerja yang diberhentikan kerja telah menolak syarat dan bayaran pampasan pemberhentian kerja yang dikemukakan oleh pihak pengurusan hotel. Pekerja-pekerja yang bermogok juga menuntut supaya membatalkan potongan gaji yang dikenakan ke atas mereka semasa pandemik COVID-19 dan merundingkan gaji yang lebih adil untuk hampir 2,000 orang pekerja di situ.

Antara pemimpin kesatuan yang ditangkap ialah Chhim Sithar, Presiden Kesatuan Sokongan Hak Buruh Pekerja Khmer NagaWorld (LRSU) yang juga merupakan wakil kesatuan di tempat kerja. LRSU telah menerima perintah mahkamah daripada Mahkamah Perbandaran Phnom Penh pada hari pertama mogok, yang menyatakan mogok tersebut adalah haram dan mengarahkan pekerja-pekerja yang bermogok untuk kembali bekerja serta-merta. Menurut perintah mahkamah yang dikeluarkan, syarikat NagaWorld boleh memecat pekerja yang bermogok dengan menuduh mereka melakukan salah laku yang serius. Selain itu, kerajaan tempatan Phnom Penh juga mengeluarkan surat kepada pihak kesatuan LRSU yang mengarahkan mereka untuk memberhentikan tindakan mogok atas sebab ia telah melanggar Undang-undang mengenai Demonstrasi Aman. Sejak itu, pekerja-pekerja yang bermogok telah menghadapi pelbagai penindasan daripada pihak berkuasa.

Sejak mogok dimulakan, pihak berkuasa telah melakukan penangkapan terhadap pemimpin dan anggota kesatuan sebanyak tiga kali. Pada 31 Disember 2021, 9 orang anggota kesatuan dan seorang pemandu tuk-tuk (beca berenjin) yang hanya merupakan pemerhati berdekatan dengan aksi mogok, telah ditangkap oleh pihak berkuasa. 3 orang anggota anggota kesatuan dan pemandu tuk-tuk itu dibebaskan pada 3 Januari 2022, selepas dipaksa untuk menandatangani satu surat akujanji yang berjanji tidak akan mengambil bahagian dalam tindakan mogok pada masa hadapan. Ini merupakan taktik biasa yang digunakan oleh pihak berkuasa Kemboja untuk menutup mulut dan menghalang aktivis-aktivis buruh daripada mengorganisasi dan menyertai demonstrasi aman. 6 orang anggota kesatuan yang lain itu masih ditahan polis dan dipindahkan ke penjara selepas hakim penyiasat mendakwa mereka dengan tuduhan “menghasut”, di samping mengatakan bahawa mogok tersebut telah mengancam “keselamatan sosial” dan “ketenteraman awam”. Pada hari yang sama apabila 6 orang anggota kesatuan yang ditahan itu dipindahkan ke penjara, 17 orang lagi anggota kesatuan, termasuk seorang pekerja yang mengandung, telah ditangkap. Mereka hanya dibebaskan sehari selepas itu setelah menandatangani akujanji.

Selepas itu, pada 4 Januari 2022, Chhim Sithar, pemimpin kesatuan LRSU, telah diserang dan ditangkap oleh pegawai polis yang berpakaian preman sejurus selepas dia keluar dari sebuah kereta berdekatan dengan barisan piket pekerja yang bermogok. Turut ditangkap pada masa itu ialah Sok Narith, seorang anggota LRSU, dan Sok Kongkea, seorang bekas pekerja NagaWorld yang kehilangan kerja semasa pemberhentian kerja besar-besaran tahun lalu. Sok Kongkea dibenarkan ikat jamin pada 5 Januari 2022, tetapi Chhim Sithar dan Sok Narith masih ditahan di ibupejabat polis Phnom Penh. Hakim penyiasat belum lagi mengemukakan pendakwaan terhadap mereka.  

8 orang anggota kesatuan pekerja NagaWorld yang masih ditahan.

Oleh itu, setakat ini, terdapat 8 orang anggota kesatuan masih berada dalam tahanan. Mereka ialah Chhim Sithar, Chhim Sokhorn, Kleang Soben, Sun Sreypich, Hai Sopheap, Ry Sovandy, Touch Sereymeas dan Sok Narith. (Selain Sok Narith, semua yang ditahan ialah wanita.)

Penangkapan dan penahanan anggota kesatuan ini jelas merupakan pencabulan terhadap hak asasi pekerja untuk kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan dan kebebasan berhimpun. Kerajaan Kemboja sepatutnya memainkan peranan untuk menjamin hak asasi pekerja, termasuk kebebasan berpersatuan, hak untuk rundingan kolektif dan organisasi, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) C087 dan C098 yang diratifikasi oleh kerajaan Kemboja sendiri. Pertikaian buruh hanya dapat diselesaikan dengan rundingan yang menghormati hak pekerja, bukannya penindasan terhadap pekerja.

NagaWorld diuruskan oleh syarikat NagaCorp Ltd., sebuah syarikat yang didaftarkan di Kepulauan Cayman dan disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong (HKSE), di mana pengasas syarikat tersebut ialah Chen Lip Keong, seorang kapitalis Malaysia yang bergelaran “Tan Sri”.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 7 Januari 2022, Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyatakan solidariti kepada pekerja-pekerja NagaWorld yang sedang memperjuangkan hak mereka dan menggesa syarikat milik warga Malaysia tersebut untuk menghentikan penindasan terhadap pekerja.

“Kebebasan bersuara dan jaminan kerja telah termaktub dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1948, tetapi rezeki pekerja-pekerja ini tidak dipeduli oleh kedua-dua NagaWorld, sebuah syarikat milik warga Malaysia, dan pihak berkuasa Kemboja yang memilih untuk berpihak pada perniagaan bukannya kelas pekerja,” kata Philip Wong, anggota Biro Pekerja PSM. “PSM menggesa kerajaan Kemboja untuk menghentikan semua penangkapan dan intimidasi terhadap pekerja-pekerja NagaWorld sementara menyelesaikan punca asal mogok ini – kehilangan punca pendapatan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *