Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

PUTRAJAYA – 25 OKTOBER 2021: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyerahkan satu memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri pada hari ini untuk mengemukakan maklum balas dan kritikannya terhadap Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) berdasarkan tinjauan awal PSM terhadap dokumen RMK-12. Memorandum yang ditujukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Sri Mustapa Mohamed ini telah diterima oleh Dato’ Mohamed Irwan Mansor selaku Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri.

PSM telah mengemukakan kritikannya terhadap RMK-12 dalam beberapa aspek, termasuk pengagihan kekayaan masyarakat, perumahan, kesihatan dan alam sekitar, berdasarkan penelitian awalnya terhadap dokumen RMK-12.

Mereka yang hadir sebagai wakil PSM semasa penyerahan memorandum ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM), A. Sivarajan (Setiausaha Agung PSM) dan Soh Sook Hwa (Bendahari PSM).

Maklum balas PSM terhadap Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12)

PSM sedang meneliti analisis dan cadangan yang terkandung dalam RMK-12 kerana ia menggariskan pendekatan kerajaan Malaysia terhadap beberapa isu yang penting untuk rakyat dan negara.  Walaupun PSM masih sedang mengkaji dokumen RMK-12, terdapat enam perkara penting yang ingin dibangkitkan untuk perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Portfolio Hal Ehwal Ekonomi) dan Unit Perancang  Ekonomi (UPE) pada masa ini. PSM berharap bahawa maklum balas ini akan membantu dalam memantapkan lagi strategi dan cadangan untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh negara Malaysia.

Perkara 1: Matlamat meningkatkan Bahagian Pampasan Pekerja (BPP) dari 37.2% KDNK pada tahun 2020 (m/s 1-5, Dokumen RMK-12) ke 40% KDNK pada tahun 2025 (m/s 1-25)

PSM bersetuju dengan analisis yang dihuraikan dalam muka surat 1-18 bahawa peningkatan gaji pekerja adalah amat penting dalam memastikan kualiti hidup yang selesa untuk rakyat jelata. Tetapi BPP adalah satu pengukur yang tumpul dan tidak cukup spesifik bagi tujuan menangani ketidakcukupan pendapatan bagi pekerja dalam kalangan B40. Kenaikan gaji CEO, pengurus kanan, akauntan dan peguam dalam syarikat-syarikat besar boleh meningkatkan BPP tanpa membawa sebarang manafaat kepada pekerja dalam kalangan B40 dan M40. Kita perlu menentukan dan memantau BPP untuk setiap desil (10%) (nota 1) lapisan pekerja dalam masyarakat Malaysia jika kita mahu meningkatkan kualiti hidup pekerja biasa dari bawah .

Perkara 2: Kegagalan pihak perancang RMK-12 mengambilkira kekangan yang mengehadkan usaha meningkatkan Bahagian Pampasan Pekerja (BPP) dalam kalangan B40

Pada tahun 2020, gaji median pekerja Malaysia adalah RM2,062. Ini bererti 50% daripada pekerja kita menerima gaji bulanan yang kurang daripada RM 2,062 (nota 2). Pada tahun 2018, apabila PSM dan MTUC mengesyorkan kenaikan gaji minimum dari RM1,000 ke RM1,500, pihak Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), telah berhujah dengan lantangnya bahawa kenaikan gaji sebegini akan memudaratkan ekonomi negara dan menyebabkan pemindahan modal ke negara lain di rantau ASEAN dan kehilangan kerja. Akhirnya kerajaan hanya bersetuju untuk menaikkan gaji ke RM1,050 sahaja!

PSM berpendapat bahawa kerajaan terlalu berwaspada pada masa itu, dan kenaikan gaji minimum sebanyak 30-40% tidak membawa kesan yang begitu buruk. Tetapi masalah yang diadu oleh para majikan ada kesahihannya. Malaysia ialah peserta dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) ASEAN di mana 99% daripada barangan yang dijual beli antara negara-negara ASEAN tidak dikenakan cukai import. Ini bererti, jika kos pengeluaran barangan pengguna seperti baju, kasut atau beg meningkat di Malaysia, ada kemungkinan pengilang Malaysia akan kehilangan pasaran kepada pengilang di negara ASEAN lain yang dapat membekalkan barangan yang sama dengan harga yang lebih murah.

Kegagalan pihak perancang di Jabatan Perdana Menteri dalam mengenalpasti hakikat ini bererti isu ini tidak diteliti dan dibahas dalam dokumen RMK-12 dan satu peluang untuk mencipta kaedah-kaedah mengatasi kekangan ini ditidakkan. PSM telah lama mengesyorkan “gaji sosial” dalam bentuk program seperti pencen warga emas sejagat untuk semua rakyat yang berusia 65 tahun ke atas dan yang tidak menerima sebarang pencen, pembinaan lebih banyak rumah PPR untuk disewa dengan kadar sewa murah kepada golongan B40, peningkatan belanjawan kesihatan supaya kesesakan dan kelambatan yang sering berlaku di hospital kerajaan dapat dikurangkan, dan beberapa program yang serupa. Program-program seperti ini dapat mengagihkan kekayaan negara Malaysia dengan lebih adil tanpa menyebabkan meningkatkan kos barangan buatan Malaysia serta kehilangan syer pasaran para pengilang kita. 

Perkara 3: Kekeliruan berkaitan istilah “rumah mampu milik”

Adalah dinyatakan dalam RMK-12 bahawa rumah berharga di bawah RM300,000 adalah “mampu milik”. (Sila rujuk nota di m/s 4-8, Dokumen RMK-12) Persoalannya adalah, mampu milik untuk desil keluarga yang mana satu? Pinjaman RM300,000 dengan tempoh bayaran 30 tahun memerlukan bayaran balik hutang bulanan sebanyak RM2,100. 50% daripada keluarga-keluarga di Malaysia memperolehi pendapatan bulanan yang kurang daripada RM4,850. Adalah mereka sanggup membayar RM2,100 sebagai bayaran pinjaman bank setiap bulan? Sudah tentu tidak.

Hanya desil 7 (berpendapatan bulanan melebihi RM7,100) ke atas mampu membeli rumah berharga RM300,000 (nota 3). Pihak perancang RMK-12 harus membahagikan populasi kita ke dalam kumpulan desil dan mengkaji kemampuan setiap desil membeli rumah. Analisis PSM terhadap isu kemampuan membeli rumah adalah disimpulkan dalam jadual di bawah:-

Jadual 1: Kemampuan rakyat membeli rumah

DesilPendapatan isi rumah sebulanKemampuan membeli rumah
D1 dan D2Di bawah RM3,000Tidak sanggup membeli rumah. Mereka harus ditawarkan rumah PPR dengan sewa bulanan yang rendah (di bawah RM200 sebulan). Jika mereka dipaksa membayar lebih untuk penginapan, keperluan lain seperti makanan dan pendidikan kanak-kanak akan diancam.
D3 dan D4Antara RM3,000 dan RM4,000Kerajaan harus menubuhkan “Amanah Perumahan Bukan-Keuntungan” untuk menyediakan rumah yang berharga tidak melebihi RM100,000 bagi lapisan masyarakat ini. Setiap keluarga hanya layak untuk membeli satu unit rumah di bawah Amanah Perumahan ini, dan dengan syarat jika hendak menjual rumah itu, ia harus dijual balik kepada Amanah Perumahan tersebut dengan penambahan nilai mengikut kadar inflasi sahaja. Ia tidak boleh digunakan untuk spekulasi.
D5 dan D6Antara RM4,000 dan RM7,000“Amanah Perumahan” (yang bukan untuk tujuan keuntungan) harus menyediakan rumah yang berharga RM200,000 ke bawah untuk lapisan masyarakat ini dengan syarat yang sama seperti di atas.
D7 dan 8 serta T20Lebih daripada RM7,000Lapisan ini sanggup membeli rumah yang dibina oleh pemaju swasta.

Perkara 4: Ketidakseriusan kerajaan mencapai matlamat-matlamat berkaitan rumah mampu milik

Adalah dicatit dalam RMK-12 bahawa 500,000 unit rumah mampu milik akan dibina sebelum tahun 2026 (m/s 4-15, Dokumen RMK-12). Malangnya prestasi kerajaan dalam Rancangan Malaysia yang sebelum ini amat mengecewakan seperti digambarkan dalam jadual yang berikut.

Jadual 2: Pembekalan rumah mampu milik di Malaysia

Rancangan MalaysiaBilangan rumah mampu milik yang disasarkanBilangan yang disediakan
RMK-10161,000102,000
RMK-11653,000*282,259 (m/s 4-8)
RMK-12500,000 (m/s 4-15) 

* “Mampu milik” didefinisi sebagai rumah dengan harga di bawah RM 300,000 (m/s 4-8, Dokumen RMK-12)

Adalah diharapkan bahawa kerajaan boleh bersikap lebih serius terhadap angka-angka yang disebut dalam dokumen RMK-12 berkaitan dengan bilangan rumah mampu milik yang akan disediakan. PSM berharap poin-poin yang dikemukakan dalam perkara 3 di atas berkaitan kemampuan keluarga B40 membeli rumah dan penubuhan “Amanah Perumahan” yang bukan untuk keuntungan akan diberi perhatian yang serius. 

Perkara 5: Pendekatan yang menganggap kos perkhidmatan kesihatan sebagai satu beban kewangan kepada kerajaan yang harus dikurangkan

PSM amat terkejut dengan mengetahui bahawa adanya puak-puak dalam kerajaan yang berpendirian sebegini dan berniat mengurangkan belanjawan kesihatan. Adalah dinyatakan dalam m/s 4-22, RMK-12

“Beban kewangan Kerajaan akan dikurangkan secara beransur-ansur dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti yang mampan… Caj penjagaan kesihatan sedia ada akan disemak semula supaya pesakit yang berpendapatan lebih tinggi dikenakan bayaran yang lebih tinggi. Subsidi untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan akan diperkemas berdasarkan penilaian kelayakan (hanya untuk mereka yang benar-benar miskin)… Beberapa pendekatan termasuk kerjasama awam swasta, sewa untuk beli, sewaan dan perkongsian fasiliti akan diteroka untuk mengurangkan kebergantungan kepada perbelanjaan Kerajaan.”

dan

“Usaha akan dilaksana untuk menggalakkan rakyat memiliki insurans dan takaful bagi membiayai perbelanjaan penjagaan kesihatan.”

PSM langsung tidak dapat menerima pendekatan ini kerana:

  1. Kita sedang mengalami fenomena “penekanan gaji” (wage suppression) di Malaysia, di mana pekerja dan petani kita tidak dibayar gaji (ataupun harga produk pertanian) yang setimpal dengan nilai sebenar pengeluaran mereka. Gaji pekerja kilang kita adalah lebih kurang 1/8 hingga 1/6 berbanding gaji yang diterima oleh pekerja di kilang yang mengeluarkan barangan yang sama dan dengan teknoloji yang sama di negara Jerman ataupun Amerika Syarikat. Perbezaan dalam gaji ini disebabkan oleh kuasa monopoli syarikat gergasi yang menguasai rantaian pengeluaran antarabangsa (global supply chains). Tetapi kerajaan kita mahu pekerja Malaysia menerima gaji yang rendah supaya Malaysia boleh bersaing di pasaran antarabangsa dan menarik lebih banyak pelaburan asing.
  2. Oleh kerana pekerja dan petani Malaysia berkorban dan berkerja untuk pendapatan yang rendah demi kepentingan negara, adalah wajar untuk mereka menikmati “gaji sosial” seperti dihuraikan dalam Perkara 2 yang disebut di atas.  Adalah tanggungjawab kerajaan untuk mengimbangkan pengagihan kekayaan negara melalui cukai terhadap keuntungan koporat supaya dapat membekalkan perkhidmatan asas dengan caj yang murah.
  3. Ramai dalam kalangan B40 dan M40 menghadapi masalah menampung kos hidup keluarga. Beban kawangan mereka akan naik lagi jika setiap keluarga “yang bukan miskin” dikenakan bayaran RM300 hingga RM400 sebulan untuk insurans kesihatan (nota 4).
  4. Pada masa ini, pembiayaan perkhidmatan di hospital awam adalah melalui sistem “global budget” di mana hospital-hospital kerajaan diberi sejumlah dana untuk memberi rawatan kepada semua orang yang datang. Jika sistem pembiayaan ditukar kpadae kaedah fi untuk setiap jenis rawatan (fee-for-service), kos rawatan akan naik secara mendadak. Birokrasi untuk mengendalikan pembiayaan juga memerlukan belanjawan yang besar.
  5. Sistem kesihatan yang sedia ada di Malaysia adalah berdasarkan pada prinsip “kita jaga kita”, dan ianya mewujudkan solidariti dalam kalangan masyarakat dan memainkan peranan dalam menjadikan Malaysia sebuah masyarakat penyayang . Cadangan dalam m/s 4-22 dokumen RMK-12 berpotensi menghancurkan semangat kemasyarakatan ini.

Perkara 6: Unsur-unsur “Greenwashing” dalam dokumen RMK-12

Pemanasan dunia akibat pelepasan karbon dioksida, metana dan gas-gas “rumah hijau” (GHG) yang lain adalah satu masalah yang amat serius. PSM menerima baik perhatian yang diberi oleh RMK-12 terhadap masalah ini. Tetapi PSM kurang pasti terhadap kesahihan beberapa angka yang diberi dalam dokumen RMK-12, termasuk:

  • Intensiti pelepasan gas rumah hijau (nota 5) di Malaysia pada tahun 2016 telah dikurangkan 29.4% berbanding tahun 2005 (m/s 8-4);
  • Kadar kitar semula sisa isi rumah telah mencapai tahap 30.7% (m/s 8-3);
  • 55.3% daripada muka bumi Malaysia diliputi hutan (8-7);
  • 28.5 juta pokok telah ditanam antara tahun 2015 dan 2020 (m/s 8-5).

Berkaitan intensiti pelepasan gas hijau setiap unit KDNK:

  • PSM ingin mengetahui bagaimana indeks ini dikira. Apakah andaian-andaian (assumptions) yang digunakan untuk menganggarkan pelepasan gas rumah hijau di setiap sektor?
  • Adakah KDNK pada tahun 2005 dan 2016 diukur dengan nilai ringgit semasa ataupun adakah impak inflasi ringgit diambil kira? (Penambahan dalam indeks harga pengguna adalah lebih daripada 22% antara tahun 2005 dan 2016).
  • Penjanaan kuasa elektrik merupakan sumber terbesar untuk pelepasan GHG di Malaysia. Ianya telah menyumbang 45% daripada jumlah GHG yang dilepaskan di Malaysia pada tahun 2014 (nota 6). Penggunaan arang batu telah bertambah daripada 20.9% dalam campuran bahan api penjanaan kuasa elektrik pada tahun 2007 (nota 7) ke 43% pada tahun 2018 (nota 8). Pembakaran arang batu mengeluarkan hampir dua kali ganda lebih karbon dioksida untuk setiap unit kuasa elektrik yang dijana berbanding gas asli (nota 9). Ertinya intensiti pelepasan GHG untuk setiap unit kuasa elektrik yang dijana telah meningkat antara tahun 2007 dan 2018.

Berkaitan kadar kitar semula sisa isi rumah pula:

  • Bagaimanakah kita dapat mencapai kadar 30.7%? Pada tahun 2012, hanya terdapat 10 tapak pelupusan sisa sanitari di antara jumlah 167 tapak pelupusan sisa di Malaysia (nota 10). Adakah bilangan tapak sanitari ditingkatkan?
  • Jika sisa sampah domestik diasingkan di peringkat rumah pun, sehingga kini kita masih gagal mengamalkan konsep pengasingan sampah domestik. Ianya dicampur balik apabila dikutip kerana lori-lori kutipan sampah tidak ada ruang-ruang yang berasingan untuk kategori sisa yang berlainan.

Kenyataan bahawa 55.3% daripada muka bumi Malaysia diliputi hutan menyamarkan fakta bahawa 2/3 kawasan yang diwartakan sebagai hutan telah dibalak pada takat ini (tetapi masih belum ditukar penwartaannya).

Jika kita mahu mengatasi ancaman pemanasan dunia akibat pelepasan GHG, kita perlu mengatur strategi yang berkesan dan yang berdasarkan pada fakta yang benar. Negara-negara harus elak daripada memberi laporan yang ada unsur “greenwashing” (“pencucian hijau”) dan yang mengandungi angka-angka yang tidak benar. 

Syor PSM adalah satu jawatankuasa teknikal harus ditubuhkan dengan penglibatan para akademik dan juga NGO alam sekitar untuk memantau pelepasan GHG di setiap sektor yang berkenaan supaya kita boleh mendapat angka-angka yang benar. Kita perlukan data yang sahih untuk menangani perubahan iklim secara yang berkesan.   

“PSM berharap kami dapat membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dalam memorandum maklum balas mengenai RMK-12 ini dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi secara bersemuka ataupun melalui sesi atas talian. Kami akan menunggu respon daripada pihak Menteri,” kata Dr. Jeyakumar.

**********

Nota:

  1. Desil – masyarakat kita boleh dibahagikan kepada 10 lapisan mengikut pendapatan bulanan isi rumah. D1 ialah 10% keluarga yang termiskin di negara, dan pada masa ini, pendapatan bulanan mereka adalah di bawah RM2,400. 
  2. Sumber: Laporan Survei Gaji & Upah, Jabatan Perangkaan Malaysia, 2020
  3. Pada masa ini beribu-ribu ekar tanah kerajaan berdekatan bandar telah dilupuskan kepada GLC milikan kerajaan negeri. GLC-GLC ini berspekulasi dengan tanah dan ini meningkatkan kos perumahan untuk rakyat biasa. Untung GLC pula diagihkan antara elit politik negeri melalui jawatan tinggi dalam GLC berkenaan dan bayaran fi lembaga pengarah. Masalah ini harus ditangani untuk menyelesaikan isu perumahan untuk rakyat.
  4. Belanjawan Kementerian Kesihatan untuk tahun 2021 adalah RM33 bilion. Bilangan keluarga di Malaysia adalah 7.2 juta. 33 bilion dibahagi 7.2 juta = RM4,583 sekeluarga setahun atau RM382 sebulan.
  5. Intensiti pelepasan gas rumah hijau pada tahun 2016 adalah perbandingan amaun gas rumah hijau yang dilepaskan dalam penjanaan RM1 bilion KDNK pada tahun 2016 berbanding amaun yang dilepas setiap RM1 bilion KDNK pada tahun 2005.    
  6. Second Biennial Update Report UNFCCC, 2015.
  7. Laporan Suruhanjaya Tenaga 2007
  8. Laporan Suruhanjaya Tenaga 2018
  9. US Energy Information Administration
  10. Second Biennial Update Report, UNFCCC. 2015

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s