Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Chong Yee Shan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat kecewa dengan keputusan kerajaan untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap kes hak kerakyatan anak yang lahir di luar negara bagi ibu berwarganegara Malaysia.

Keputusan Mahakamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 September 2021 adalah satu keputusan yang penting dan baik kerana ia telah memastikan tiada sebarang diskriminasi wujud berdasarkan gender seperti yang termaktub dalam Perkara 8 and 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan. Keputusan Mahkamah Tinggi tersebut adalah amat penting kerana ia menyatakan bahawa gender tidak harus digunakan untuk mendiskriminasi atau menafikan hak kerakyatan kepada seseorang.

Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) selama 25 tahun. Ini juga bermaksud bahawa kerajaan harus berusaha untuk menghapuskan segala undang-undang yang mewujudkan diskriminasi terhadap wanita dan kanak-kanak. Jangan jadikan anak-anak dan wanita sebagai mangsa kerana undang-undang yang lemah. Kerajaan harus menegakkan hak wanita Malaysia dengan pasangan asing untuk memberikan kewarganegaraan Malaysia kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa kerajaan untuk mencepatkan proses menyelaraskan undang-undang yang berkaitan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersebut dan tarik balik rayuan berkenaan dengan serta-merta, supaya undang-undang Malaysia tidak wujudnya dua darjat dalam hal pemberian kewarganegaraan.

Malaysia harus mengambil langkah untuk mengiktiraf bahawa ibu bapa, tanpa mengira gender harus mempunyai hak untuk mewariskan kewarganegaraan mereka kepada anak-anak mereka.

==========

Chong Yee Shan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Gender PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *