KUALA LUMPUR: 31 orang aktivis ditangkap oleh polis semalam (19 Ogos 2021) ketika mereka mengambil bahagian dalam satu aksi memorial untuk memperingati mangsa yang meninggal dunia kerana COVID-19. Mereka yang ditangkap dibebaskan beberapa jam kemudian pada lebih kurang pukul 1 pagi 20 Ogos 2021 dan dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 setiap orang.

Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) telah menganjurkan satu memorial di Dataran Merdeka pada 19 Ogos 2021, untuk memperingati jiwa-jiwa yang terkorban akibat kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional dalam mengekang penularan COVID-19. Walaupun peserta-peserta memorial tersebut mengadakan perhimpunan secara teratur dan mematuhi tatacara pengendalian standard (SOP) pengegahan wabak, tetapi pihak polis telah bertindak untuk menghalang anak-anak muda daripada berkabung untuk mangsa korban COVID-19, malah menangkap mereka. Mereka yang ditangkap dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi sebelum dilepaskan dengan dikenakan kompaun RM2,000 setiap orang.

(foto: Numan Afifi)

Penangkapan terhadap aktivis-aktivis yang berkabung untuk mangsa korban COVID-19 semalam, merupakan satu lagi intimidasi terhadap rakyat yang cuba bersuara untuk menyatakan ketidakpuasan hati dan mengetengahkan masalah serius yang sedang dihadapi oleh masyarakat kita pada masa kini.

Negara Malaysia sedang dilanda krisis yang mendalam, dari krisis kesihatan awam kerana penularan pandemik COVID-19 yang sudah berlarutan lebih 18 bulan, krisis ekonomi yang memberi impak kepada kehidupan masyarakat umum, dan juga krisis politik yang tidak habis-habisan kerana perebutan kuasa dalam kalangan elit politik. Walaupun Muhyiddin Yassin telah meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri dan sedang menunggu untuk pembentukan satu lagi Kerajaan Persekutuan yang baharu, tetapi sudah pastinya kemelut politik masih akan berterusan sekiranya pergelutan untuk kuasa dalam kalangan elit politik itu demi kepentingan mereka sendiri itu masih diteruskan.  

Setakat 19 Ogos 2021, jumlah kes jangkitan COVID-19 yang terkumpul telah mencecah 1,489,460 dan jumlah kematian ialah 13,480; dengan jumlah kes baharu pada 19 Ogos 2021 ialah 22,984 (satu lagi rekod baharu untuk kes harian yang baharu) dan 178 meninggal dunia pada hari yang sama. Kes kematian akan meningkat sekiranya kes jangkitan COVID-19 masih meningkat. Jumlah kes dan kemasukan wad Unit Jagaan Rapi (ICU) juga sedang meningkat di kawasan di luar Lembah Klang. Golongan miskin menerima kesan yang lebih teruk lagi dan menjadi lebih miskin kerana pandemik COVID-19. Semua ini menunjukkan bahawa Kerajaan yang sedia ada telah gagal dalam menangani krisis pandemik kini dan juga segala masalah yang timbul daripadanya. Namun, reaksi pihak berkuasa melarang rakyat daripada menyuarakan ketidakpuasan hati mereka hanya membongkarkan lagi betapa gagalnya kerajaan itu.

Mengawal penularan wabak bukannya alasan bagi pihak berkuasa untuk melenyapkan suara kritikan terhadap kegagalan kerajaan. Adalah ironi untuk pihak berkuasa menyekat perhimpunan rakyat dan menangkap mereka yang menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat, sedangkan kerajaan sedang melonggarkan SOP termasuk membenarkan makan di restoran di negeri-negeri Fasa 1.

Kerajaan tidak akan dapat melenyapkan ketidakpuasan hati rakyat dengan menyekat hak kebebasan untuk bersuara dan berhimpun. Cara yang paling berkesan untuk menghilangkan ketidakpuasan hati rakyat itu ialah menangani punca kepada ketidakpuasan hati itu, iaitu kegagalan kerajaan dalam melindungi nyawa dan menjamin kesejahteraan rakyat pada ketika negara kita dilanda krisis yang serius.

One thought on “Dilarang berkabung untuk mangsa korban COVID-19?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *