Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh R. Karthiges

Semalam, rakyat Kedah dikejutkan dengan banjir kilat di sekitar kawasan Yan yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan alam sekitar. Rakaman dalam media sosial menunjukkan visual banjir lumpur yang deras melalui kawasan perumahan itu sangat menakutkan dan memberi impak yang teruk kepada rakyat biasa yang sedang melawan pandemik COVID-19 pada masa kini.

Kejadian tersebut nampaknya berlaku di lokasi yang ditelah “dibersihkan” sama ada kerana aktiviti pembalakan, pembangunan ataupun kerja kuari. Arus air melimpah melepasi kawasan tadahan air tanpa kawalan dan halangan semulajadi, iaitu pokok-pokok hutan rimba.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mensyaki banjir ini adalah berpunca daripada pembersihan kawasan dari pokok, di kawasan hutan di Gunung Jerai. SAM dan masyarakat setempat pernah mengheret Kerajaan Negeri Kedah ke mahkamah untuk menghalang kuari perlombongan yang intensif di kawasan berkenaan beberapa tahun yang lalu tetapi mereka kalah.

Walaupun aktiviti yang merosakkan alam sekitar dan kemungkinan banjir akan berlaku pernah diutarakan oleh pihak aktivis sebelum ini, malangnnya kejadian banjir ini membuktikan kegagalan apa jua tindakan yang bertujuan untuk mengelakkan perkara ini. Akibatnya, rakyat jelata terpaksa menanggung penderitaan akibat kesan banjir teruk ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, pula pernah berkata bahawa pembalakan tidak akan dihentikan kerana Kerajaan Negeri akan kerugian berbilion ringgit. Adakah Menteri Besar Kedah sedar bahawa banyak aduan SPRM terhadap pembalak-pembalak haram pernah dilaporkan? Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah sendiri mengakui bahawa tiada kelulusan Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) diberikan kepada aktiviti pembalakan di beberapa kawasan seperti Rimba Teloi dan Gunung Bongsu. Pada tahun lalu pula, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan seorang lelaki yang melakukan aktiviti pembalakan haram di Kompartmen 50 Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik, Kedah.

Adakah ini menunjukkan Kerajaan Negeri Kedah bersikap was-was melakukan penguatkuasaan kerana risau hasil pembangunan dan pembalakkan akan terhenti daripada disalurkan ke dana Negeri jika penguatkuasaan ketat dilaksanakan? 

Tetapi jika hasil kepada Negeri difikirkan, sekarang siapa yang akan tanggung kos kerosakan harta benda dan nyawa rakyat yang terjejas?  Siapa yang akan tanggung kos pembaikpulihan infrastruktur yang rosak?

Menteri Besar harus menganjurkan satu penyiasatan bebas dan segera ke atas trajedi ini tanpa melindungi mana-mana pihak ataupun kepentingan politik Kerajaan Negeri.

PSM mencadangkan bahawa sebuah Jawatankuasa Dwiparti di bawah Dewan Undangan Negeri Kedah yang dianggotai oleh ADUN-ADUN Kedah harus dibentuk segera untuk menyiasat perkara ini. Selain daripada kejadian di Yan ini, jawatankuasa ini juga harus menyiasat pembalakan dan perlombongan haram di Negeri Kedah. Jawatankuasa ini juga harus diberikan kuasa untuk mengarah mana-mana pihak berkuasa negeri dan syarikat swasta berkaitan untuk menjawab di depan panel inkuiri khas ini. Hasil penyiasatannya harus dijadikan laporan umum kepada rakyat Kedah.

Sumber alam ialah harta warisan seluruh rakyat Kedah dan bukannya milik persendirian oleh mana-mana Kerajaan yang memerintah. Kerajaan hanyalah bertugas sebagai pemegang amanah yang menjaga warisan alam ini bagi pihak rakyat, dan dilarang mengondol kekayaan sumber alam untuk kepentingan segelintir orang. 

==========

R. Karthiges ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras PSM Zon Utara Semenanjung Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *