Kenyataan akhbar oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM)

Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM, juga dikenali sebagai Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan) mengecam tindakan yang cuai dan keras hati daripada majikan Radicare (M) Sdn. Bhd. terhadap seorang pekerja pembersihan (cleaner) yang dijangkiti COVID-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Pekerja pembersihan tersebut telah meninggal dunia disebabkan COVID-19.

Kesatuan mendapat tahu bahawa pekerja pembersihan yang berwarga Indonesia tersebut mula bekerja di HTAR pada bulan Jun 2021, dan dijangkiti COVID-19 pada awal bulan Julai 2021, selepas itu, dia dimasukkan ke wad pesakit HTAR pada 12 Julai 2021. Beliau telah dipasang alat bantuan pernafasan – mesin sokongan oksigen, pada 22 Julai dan meninggal dunia pada hari yang sama.

Kesatuan juga mendapat tahu bahawa, pekerja pembersihan yang lain di HTAR telah divaksinasi pada bulan Mei 2021 dan disebabkan pekerja ini masuk kerja pada bulan Jun, maka beliau tidak diberi vaksin dan terus bekerja sehingga dijangkiti COVID-19.

Maka di sini timbulnya persoalanan yang besar, kenapa pekerja pembersihan sebagai salah satu petugas barisan hadapan (frontliner) yang penting tidak diberi vaksin? Kenapa Kementerian Kesihatan Malaysia dan majikan konsensi utama Radicare serta sub-kontraktor Harta Maintenance Sdn. Bhd. tidak mengambil berat, supaya memastikan semua pekerja cleaner telah divaksinasi sebelum bekerja di HTAR – sebuah hospital yang telah digunakan untuk merawat pesakit-pesakit COVID-19?

Kelalaian daripada ketiga-tiga pihak yang berwajib tersebut telah menyebabkan tragedi ini berlaku. Tragedi ini hanya “tip of the iceberg” (sebahagian kecil daripada masalah besar), oleh sebab Kesatuan juga menerima banyak aduan daripada pekerja pembersihan hospital, antaranya:

  • Pekerja pembersihan tidak diberi peralatan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi sepanjang masa kerja, ataupun semasa mereka meminta PPE daripada majikan, mereka telah dimarahi oleh majikan atau disuruh untuk memberi alasan kenapa perlu PPE tersebut;
  • Pekerja pembersihan diberi tugasan kerja yang tiada dalam skop pekerjaan;
  • Pekerja tidak diberi taklimat / kursus / latihan bagaimana lindungi diri semasa kerja di kawasan COVID-19.

Oleh yang demikian, Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan menuntut:

  1. Bayaran pampasan kepada keluarga pekerja pembersihan hospital yang telah meninggal dunia, dan membantu mereka dalam urusan seterusnya.
  2. Kementerian Kesihatan harus melakukan siasatan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi ini.
  3. Kementerian Kesihatan perlu memastikan semua frontliner, termasuk pekerja pembersihan dan pekerja kawalan keselamatan di semua hospital kerajaan divaksinasi sepenuhnya, dan juga dibekalkan PPE yang secukup-cukupnya, supaya tiada pekerja dijangkit COVID-19 di tempat kerja.
  4. Elaun dan inisiatif COVID-19 yang diberi kepada frontliner, harus diberi kepada pekerja pembersihan di hospital kerajaan tanpa mengira pekerja tempatan atau pekerja asing.
  5. Mengakui dan menghargai jasa-jasa pekerja pembersihan sebagai frontliner yang penting dalam memerangi pandemik COVID-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *