oleh Jaringan Penternak Nasional Marhaen
Pada 1 Ogos 2021, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan, bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Wira Halimah Mohamed Sadique, telah menyerahkan lembu kepada beberapa pengusaha-pengusaha lembu tenusu kaum India di Johor di bawah “Program Peningkatan Kapasiti Dan Pendapatan Pengusaha-Pengusaha Lembu Tenusu Kaum India 2021”. Program ini dilaksanakan oleh Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) Kementerian Perpaduan Negara.
Walaupun inisiatif yang diambil oleh Kementerian Perpaduan Negara diberitakan telah mendapat sambutan baik daripada pengusaha-pengusaha lembu tenusu, namun selepas pengumuman ini keluar dalam berita dan media sosial, ramai penternak tenusu berasa tidak puas hati kerana program ini tidak telus, tidak mesra dan mencurigakan.
Tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh Kementerian Perpaduan Negara sebelum melancarkan program dan juga majoriti penternak tidak tahu maklumat mengenai program ini. Semakan kami di laman web Kementerian dan MITRA juga tidak menunjukkan pengumuman atau maklumat mengenai program ini.
Borang permohonan yang tular dalam media sosial juga seolah-olah seperti surat layang kerana tiada maklumat yang tepat, tiada panduan bagaimana untuk memohon, tiada maklumat di mana permohonan ini perlu dibuat dan tiada maklumat syarat-syarat permohonan.
Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Datuk Seri Saravanan, beliau berkata seramai 200 orang pengusaha lembu tenusu kaum India di seluruh negara bakal menerima 2 ekor lembu dan akan mendapat manfaat daripada program ini. Beliau juga berkata penternak ini dikenalpasti melalui rekod pendaftaran penternak di Jabatan Veterinar.
Apabila pihak kami menghubungi Jabatan Veterinar, mereka memaklumkan tidak tahu sebarang maklumat tentang program ini dan memaklumkan bahawa Jabatan Veterinar juga dapat tahu program ini selepas keluar dalam berita. Jadi, persoalan adalah tanpa penglibatan dan bantuan Jabatan Veterinar, bagaimanakah Kementerian Perpaduan Negara dapat memastikan mereka yang memohan itu adalah pengusaha lembu tenusu yang aktif dan berdaftar di Jabatan Veterinar?
Siapakah yang membuat keputusan untuk menentukan siapa yang layak mendapat apabila tiada maklumat mengenai kriteria permohonan? Ini adalah penting untuk pastikan ketelusan penternak yang sebetulnya layak dapat bantuan.
Bagi pihak Jaringan Penternak Nasional Marhaen yang mempunyai wakil penternak dari lima negeri, kami menyeru Kementerian Perpaduan Negara untuk bekerjasama dengan Jabatan Veterinar dalam melaksanakan program ini.
Jabatan Veterinar harus dilibatkan kerana mereka sahaja mempunyai data penternak yang lengkap dan mengenali pengusaha-pengusaha yang masih aktif dalam bidang tenusu. Harap permohonan program ini dibuka semula dengan maklumat lengkap dan dikendalikan melalui Jabatan Veterinar untuk memastikan ketelusan dalam pemilihan penternak. Senarai nama yang menerima bantuan perlu diumumkan untuk memastikan 200 orang penternak terpilih adalah mereka yang layak dapat bantuan.
Bantuan sebegini masa COVID 19 amat membantu rakyat, dan kami mengalu-alukannya, tetapi ia harus dilaksanakan secara telus, transparen dan sampai kepada golongan penternak yang paling memerlukan dan yang masih aktif mengusahakan kerja-kerja penternakan ini.
==========
Kenyataan ini dikeluarkan oleh R. Gandi, Penyelaras Jaringan Penternak Nasional Marhaen.