Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh S. Arutchelvan

Sejak Persidangan Khas Parlimen dibuka pada 26 Julai 2021, semua peristiwa yang berlaku bukan sahaja khas tetapi luar biasa dan luar tabii. Walaupun isu-isu yang diutarakan untuk dibincang adalah isu-isu penting dan berkepentingan awam, namun semua debat dan perbincangan telah ditangguhkan atas nama COVID-19. COVID-19 merupakan rakan seperjuangan PN yang paling akrab dan konsisten, di mana alasan yang sama digunakan sejak Langkah Sheraton untuk berkuasa. Pelbagai rintangan diatasi atas premis yang sama, iaitu dari membolehkan Belanjawan diluluskan, sehingga ke membolehkan darurat diproklamasi dan Sidang Parlimen ditangguhkan. Kini ia digunakan sekali lagi untuk menunda perbincangan mengenai isu darurat yang dititahkan oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong pada 29 Julai yang membawa nada yang amat mendukacitakan dan kini ditafsir sebagai PN derhaka oleh pelbagai pihak.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyedari bahawa Ordinan Darurat hanya boleh dibatalkan melalui dua cara, iaitu Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan atau Parlimen mengundi untuk membatalkannya. Adalah jelas bahawa kedua-dua perkara ini tidak berlaku. Krisis politik yang dihadapi sekarang amat serius sehingga tidak adanya jalan keluar kecuali satu pilihanraya umum diadakan dan satu kerajaan baru dibentuk. Namun demikian, ini adalah mustahil, dan tidak disokong oleh rakyat kerana pengalaman selepas Pilihanraya Negeri Sabah.

Maka, PSM ingin menyarankan:

1. Parlimen bersidang dalam masa terdekat seminggu ini dan satu pemilihan untuk seorang Speaker Dewan Rakyat baru diadakan. Ini adalah kerana Speaker yang sedia ada tidak dapat menjalankan tugasnya dengan adil dan jujur. Selain itu, cara beliau mengendalikan sesi khas parlimen dengan langsung tidak membenarkan ahli-ahli parlimen untuk berdebat telah menjadikan institusi awam paling utama di negara kita kini menjadi bahan ketawa dan pentas jenaka semata-mata.

2. Setelah memilih seorang Speaker yang baru, Ahli-ahli Dewan Rakyat dibenarkan untuk memilih seorang Perdana Menteri dalam kalangan Ahli-ahli Dewan supaya menentukan antara pemimpin yang ada, siapa yang mempunyai majoriti jelas. Sudah lama kita dikhabarkan kononnya orang-orang tertentu mempunyai majoriti tetapi ia tidak pernah diuji melalui satu pengundian di Parlimen. Kami berpendirian bahawa memberikan surat akaun bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong adalah satu proses yang tidak menyakinkan kerana ia tidak tranparen, malah terdedah kepada unsur-unsur rasuah, membeli sokongan Ahli Parlimen dan ugutan.          

3. Kami juga menyarankan bahawa Perdana Menteri yang baru dibenarkan untuk membentuk satu Jemaah Menteri yang terdiri daripada ahli-ahli politik yang berwibawa daripada semua parti politik yang sedia ada atau individu lain yang berkaliber. Ini boleh dipanggil sebagai Kerajaan Interim atau Kerajaan Perpaduan. Istilah yang mana satu digunakan, sama ada Interim atau Unity Government, adalah tidak penting tetapi yang lebih penting adalah Kerajaan tersebut mesti stabil dan boleh menangani krisis kesihatan dan ekonomi dengan berkesan dalam jangka masa pendek ini.

4. Satu tarikh untuk Pilihanraya Umum ke-15 juga patut ditetapkan pada tahun 2023 atau sebelumnya seperti yang dilakukan di banyak negara di dunia. Ini akan mengurangkan cubaan-cubaan yang menggugat kestabilan politik dan mengurangkan main politik (politicking).

Dalam masa-masa yang tidak menentu ini, kami juga amat mengharapkan institusi-institusi awam lain, seperti PDRM, SPRM dan sebagainya, menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional dan adil. Institusi-institusi ini tidak patut digunakan untuk memangsakan musuh politik dan gerakan rakyat dalam suasana yang amat celaru ini. Kami juga amat mengharapkan kakitangan kerajaan seperti Ketua Pengarah Kesihatan dapat berfungsi secara rasional dan tidak berat sebelah demi untuk kepentingan rakyat jelata.

Krisis Politik kini memerlukan penyelesaian interim yang stabil dan kukuh.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *