Forum Kesihatan Rakyat menyeru kepada Kerajaan supaya mengambil langkah-langkah segera untuk mengelakkan keruntuhan perkhidmatan kesihatan di Lembah Klang, memandangkan wad jagaan rapi untuk pesakit-pesakit COVID-19 telah mencecah kapasiti maksimumnya dan unit-unit kecemasan dibanjiri dengan pesakit-pesakit yang mempunyai masalah kesukaran bernafas. Sistem kesihatan kita pada takat ini sudah tidak dapat memberikan jagaan yang sesuai kepada 20-25% pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan berkualiti tinggi dan tepati masa dengan oksigen, steroid and bahan anti-pengumpal untuk mereka bertarung dengan penyakit.

“Kita harus sedar bahawa walaupun jika angka kes baharu di KL-Selangor menurun secara ajaibnya kepada sifar pada hari esok, perkhidmatan hospital yang terlampau dibebankan di Lembah Klang akan terus dibanjiri dengan lebih kurang 640 kes COVID-19 Kategori 4 setiap hari untuk 2 hingga 3 minggu akan datang. Ini kerana terdapat selang masa lebih kurang seminggu hingga 10 hari antara kemunculan simptom kepada perkembangan menjadi susah bernafas kerana reaksi berlebihan imunologi. Angka purata kes yang didiagnosis harian di wilayah KL-Selangor ialah 2,962 untuk tempoh 24 hingga 30 Jun 2021, dan 3,477 dari 1 hingga 5 Julai 2021. Kes COVID-19 Kategori 4 akan memerlukan sekurang-kurangnya 5 hingga 7 hari rawatan pesakit dalaman untuk menstabilkannya. Ini akan meningkatkan kadar penggunaan katil wad yang sudah melebihi 100% di sesetengah hospital kerajaan,” begitu katanya kenyataan yang dikeluarkan oleh Forum Kesihatan Rakyat pada 7 Julai 2021.

“Secara puratanya, 10% pesakit yang memerlukan sokongan oksigen (kes Kategori 4) akan memerlukan jagaan ICU (Unit Jagaan Rapi) dalam tempoh masa seminggu selepas dimasukkan ke hospital. Jadi, hospital-hospital di Lembah Klang akan memerlukan 64 katil ICU tambahan setiap hari untuk 3 minggu akan datang. Jika kita tidak dapat memberikan jagaan pada tahap ini, morbiditi dan kematian kerana COVID-19 akan meningkat. Kadar kematian dalam gelombang COVID-19 pada masa ini telah mencecah 1.3% – dalam erti kata lain, 13 orang pesakit daripada setiap 1,000 pesakit yang didiagnosis itu mati. Ini lebih tinggi berbanding dengan tahun 2020, apabila hanya 3.8 orang mati daripada setiap 1,000 kes. Varian virus terkini nampaknya lebih dahsyat, dan jika kita tidak dapat memberikan jagaan yang optimum, kadar kematian kes akan meningkat lebih banyak lagi.”

“Meningkatkan kadar vaksinasi dan memperketatkan langkah-langkah penjarakan fizikal ialah langkah-langkah kesihatan awam yang penting, tetapi masih tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh hospital-hospital awam di Lembah Klang yang terlampau dibebankan. Kami memahami bahawa Kementerian Kesihatan sudah mula memobilisasi doktor-doktor dan jururawat-jururawat dari hospital-hospital awam di negeri yang lain untuk membantu di Lembah Klang. Namun, kita perlu memobilisasi segera lebih banyak sumber untuk mengelakkan keruntuhan jagaan perubatan di Lembah Klang,” ulas Forum Kesihatan Rakyat.

Forum Kesihatan Rakyat mencadangkan 4 langkah berikut untuk dilaksanakan segera:

1. Memindah sebahagian daripada kes baharu COVID-19 Kategori 4 ke hospital-hospital di negeri-negeri berjiranan – Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka. Kes-kes Kategori 5 adalah terlalu tenat untuk dipindahkan secara selamat dan perlu dikendalikan di hospital-hospital di mana mereka berada.

2. Proklamasi Darurat khususnya memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambilalih sementara kemudahan hospital swasta untuk menangani krisis COVID-19. Masa untuk menggunakan peruntukan ini ialah sekarang. Kerajaan harus mengambilalih sebahagian daripada katil-katil ICU di hospital-hospital swasta di Lembah Klang, supaya tekanan ke atas ICU di hospital kerajaan dapat dikurangkan. (Sebahagian sahaja kerana hospital-hospital swasta akan memerlukan sebahagian kapasiti ICU untuk menempatkan pesakit-pesakt yang sangat tenat di situ. Namun, mereka perlu menjadualkan semula kes-kes elektif yang memerlukan pengurusan ICU pasca-pembedahan.)

3. Kita patut bersedia untuk meminjam alat-alat ventilator dari Singapura, China dan Australia, supaya kita dapat mengembangkan kapasiti ICU kita dengan cepat.

4. Pemantauan terhadap pesakit-pesakit yang berada di rumah mereka sendiri harus dinaiktarafkan supaya kejadian kemerosotan penyakit kepada fasa imunologi boleh dikesan lebih awal dan rawatan yang sesuai dapat diberikan tepat pada masanya. Pusat-pusat Penilaian COVID-19 di peringkat daerah harus mengambil sekumpulan sukarelawan (doktor-doktor bersara, jururawat-jururawat bersara dan mereka yang berkemampuan) di mana mereka diberikan satu set pesakit untuk tindakan susulan dengan panggilan telefon setiap hari untuk 2 minggu pertama selepas didiagnosis dengan COVID-19. Jika symptom-simptom mereka menunjukkan kemungkinan bertambah teruk, pesakit-pesakit itu harus dimasukkan ke hospital untuk penilaian dan rawatan optimum. Satu sistem pelaporan harus diwujudkan supaya sukarelawan-sukarelawan memberi maklum balas setiap hari.

Keempat-empat langkah yang dicadangkan ini merupakan perkara yang dapat dilakukan, tetapi memerlukan inisiatif daripada peringkat tertinggi Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Suasana politik sedang hangat dengan sesi persidangan parlimen semakin dekat dan akan tamatnya Darurat. Bahayanya adalah pergolakan politik akan mengalihkan perhatian pihak berkuasa daripada hakikat bahawa ramai warga Malaysia sedang bersusah payah dalam kehidupan mereka dan sistem kesihatan kita di Lembah Klang sedang berada di ambang keruntuhan.

“Marilah mengutamakan keselamatan pesakit-pesakit COVID-19 kita dan secara bersama kita meninggikan suara kita untuk menggesa Kerajaan supaya melaksanakan serta-merta langkah-langkah yang disebut ini untuk mengelakkan bencana kesihatan,” tegas Forum Kesihatan Rakyat.

Forum Kesihatan Rakyat ialah satu inisiatif yang diwujudkan oleh beberapa organisasi dan individu yang memperjuangkan hak asasi manusia untuk kesihatan. Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga merupakan salah sebuah organisasi yang memulakan dan menyertai inisiatif ini.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *