Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Choo Chon Kai

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera yang zalim dan berterusan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin.

Genting Gaza yang sudah dikepung selama ini sedang diserang oleh Israel, sejak 10 Mei 2021, berikutan serangan ganas ke atas warga Palestin di Baitulmuqaddis Timur, termasuk rancangan untuk mengusir secara paksa keluarga-keluarga Palestin dari Sheikh Jarrah dan penyerbuan Masjid Al-Aqsa. Sehingga 16 Mei, dilaporkan sekurang-kurangnya 197 orang, termasuk kanak-kanak, telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza. Ramai juga warga Palestin terbunuh di Tebing Barat dalam episod keganasan terbaru yang dilakukan oleh tentera Israel.

Pembersihan kaum secara sistemik terhadap rakyat Palestin, telah berlaku sejak Nakba 73 tahun dahulu. Dari awal hingga hari ini, negara Zionis Israel dibina berasaskan rasisme, perampasan tanah, pendudukan, penindasan, apartheid, penjajahan dan keganasan negara terhadap rakyat Palestin, dengan sokongan daripada imperialisme Amerika Syarikat. Jentera perang genosid Israel yang represif terhadap rakyat Palestin ditaja dengan berbilion-bilion dolar pembiayaan tahunan daripada kerajaan Amerika Syarikat.

Negara Israel yang ditenterakan telah menjadikan Genting Gaza penjara terbuka yang terbesar di dunia dengan lebih 2 juta penduduk hidup dalam keadaan pengepungan dan sekatan yang berterusan di samping serangan ketenteraan daripada tentera Israel dari semasa ke semasa; sementara warga Palestin yang hidup dalam keadaan teruk di Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat yang diduduki tentera Israel tidak dapat bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain tanpa melalui sekatan tentera setiap hari. Perkampungan dan kejiranan Palestin juga menghadapi serangan yang semakin meningkat daripada peneroka Israel yang dilindungi oleh tentera Israel dan diapi-apikan oleh ideologi Zionis pelampau kanan. Puluhan ribu rakyat Palestin telah kehilangan nyawa mereka kerana kezaliman yang dilakukan oleh negara Israel yang rasis sejak Nakba, dan jutaan orang masih hidup sebagai pelarian pada hari ini. Kita tidak harus lupa pada hakikat bahawa Israel ialah punca utama kepada keganasan dalam Persoalan Palestin selama ini.

Kami amat memandang serius tentang serangan tentera terbaru terhadap rakyat Palestin. Kezaliman mesin peperangan rasis Israel ialah peringatan kepada rakyat dunia bahawa Nakba jauh belum tamat lagi selepas 73 tahun.

Kami menyeru:

  • Hentikan serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza dengan segera;
  • Hentikan pendudukan Israel di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis;
  • Batalkan semua sekatan ke atas Gaza;
  • Kenakan sekatan antarabangsa terhadap Israel atas jenayahnya yang mengancam kemanusiaan.

Keamanan yang berkekalan tidak akan wujud selagi negara Israel yang rasis meneruskan pendudukannya di bumi Palestin.

Kami menyatakan solidariti kami dengan rakyat Palestin yang masih berjuang demi pembebasan dan maruah mereka. Perjuangan rakyat Palestin untuk pembebasan ialah perjuangan yang melawan rasisme, kolonialisme dan imperialisme. Perjuangan mereka memerlukan sokongan dan solidariti daripada sesiapa yang berkomitmen dalam anti-rasisme, anti-kolonialisme dan anti-imperialisme.  

BEBAS PALESTIN! TAMATKAN NAKBA SEKARANG JUGA!

==========

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Antarabangsa PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *