Fron Demokratik Kiri (LDF), sebuah gabungan parti-parti politik berhaluan kiri di negeri Kerala yang diterajui oleh Parti Komunis India (Marxis)[CPI(M)], menang dalam Pilihanraya Dewan Perundangan Negeri Kerala dengan kerusi yang lebih banyak, selepas keputusan pilihanraya diumumkan pada 2 Mei 2021. Ini merupakan kali pertama dalam tempoh 40 tahun kebelakangan ini bagi sebuah gabungan politik yang sama membentuk kerajaan negeri untuk dua penggal berturut-turut di Kerala.

Pilihanraya dewan perundangan telah diadakan di baru-baru ini di empat buah negeri dan sebuah wilayah kesatuan di India, iaitu Kerala, Bengal Barat, Tamil Nadu, Assam dan Puducherry, dengan keputusan diumumkan pada 2 Mei 2021. Pengundian di Kerala telah diadakan pada 6 April 2021.

Pilihanraya Negeri Kerala

LDF yang dipimpin oleh Pinarayi Vijayan, penyandang jawatan Ketua Menteri Kerala daripada CPI(M), telah memenangi sebanyak 99 daripada 140 kerusi yang dipertandingkan, dengan peningkatan sebanyak 8 kerusi berbanding Pilihanraya Negeri Kerala pada tahun 2016.

Pirayani Vijayan dalam satu aksi perarakan semasa kempen pilihanraya CPI(M) di Kannur, pada 4 April 2021. (foto: PTI Photo)

Parti yang terbesar dalam gabungan LDF, CPI(M), menang 62 daripada 77 kerusi yang ditandinginya; Parti Komunis India (CPI) menang 17 daripada 24 kerusi yang ditandinginya; Kongres Kerala (M) menang 5 kerusi; Janata Dal (Sekular) [JD(S)] dan Parti Kongres Nasionalis (NCP) masing-masing menang 2 kerusi; Kongres Kerala (B), Liga Kebangsaan India (INL), Loktantrik Janata Dal (LJD), Persidangan Sekular Kebangsaan (NSC), Kongres (Sekular) dan Kongres Kerala Janadhipathya (JKC) masing-masing menang 1 kerusi; manakala 5 daripada 10 orang calon bebas yang bergabung dalam LDF turut menang di kawasan yang ditandingi mereka. Dalam Pilihanraya Negeri Kerala pada tahun 2016, CPI(M) dan CPI masing-masing menang 58 dan 19 kerusi, dan bercampur dengan kerusi parti kecil yang lain, menjadikan LDF sebagai gabungan yang memerintah dengan 91 kerusi sepanjang 5 tahun yang lalu. Kemenangan dua kali berturut-turut dengan peningkatan kerusi ini menunjukkan pengundi Kerala mempunyai keyakinan yang lebih besar terus Kerajaan LDF pimpinan Pinarayi Vijayan untuk terus mentadbir negeri itu satu lagi penggal.

Pencabar utama kepada LDF, Fron Demokratik Bersatu (UDF) yang diterajui oleh Kongres Nasional India (INC), hanya memenangi 41 kerusi, berkurangan sebanyak 6 kerusi berbanding pilihanraya sebelum ini. Sejak tahun 1980, kuasa pemerintahan di negeri Kerala sentiasa bersilih ganti antara LDF dan UDF setiap kali berlangsungnya pilihanraya negeri. Namun, trend ini telah dipecahkan dalam Pilihanraya Negeri Kerala pada kali ini. Persoalan sama ada LDF dapat mengekalkan kuasa pernah wujud apabila LDF hanya menang 1 daripada 20 kerusi parlimen yang dipertandingkan di Kerala semasa Pilihanraya Umum India pada tahun 2019, namun persoalan ini terjawab dengan rakyat Kerala mengundi dalam pilihanraya negeri kali ini untuk LDF terus memerintah negeri yang kaya dengan tradisi politik kiri itu.

Parti Bharatiya Janata (BJP), parti berhaluan kanan yang memerintah di peringkat nasional India, telah kehilangan satu-satu kerusi yang dimenanginya dalam pilihanraya pada tahun 2016. Ini menunjukkan bahawa negeri Kerala menjadi satu-satunya negeri di India yang menolak sepenuhnya politik perkauman sempit yang dipermainkan oleh BJP.

Dengan CPI(M) akan memerintah negeri Kerala untuk satu penggal lagi, Sitaram Yechury, Setiausaha Agung CPI(M), berkata, “Saya memberi penghormatan kepada rakyat Kerala kerana menunjukkan sekali lagi kepercayaan terhadap Fron Demokratik Kiri (LDF). Kerajaan kami menyampaikan model Kerala yang baharu kepada dunia mengenai bagaimana untuk menangani pandemik.” Respon Kerajaan LDF di Kerala terhadap beberapa krisis utama di negeri itu dua tahun kebelakangan ini, termasuk banjir dan pandemik COVID-19, telah berjaya mendapatkan keyakinan rakyat Kerala terhadap kebolehannya untuk mentadbir negeri itu.

Pilihanraya Negeri Bengal Barat

Kongres Trinamool (TMC) yang dipimpin oleh Mamata Banerjee telah menang untuk kali ketiga dalam Pilihanraya Negeri Bengal Barat, dengan gabungan yang diterajui Kongres Trinamool memenangi 214 daripada 292 kerusi yang telah diumumkan keputusan (sebanyak 294 kerusi Dewan Perundangan Bengal Barat dipertandingkan, dan pengumuman keputusan untuk 2 kerusi lagi telah ditangguhkan sehingga 19 Mei 2021), dengan pertambahan sebanyak 3 kerusi. Namun, Mamata Banerjee yang menyandang jawatan Ketua Menteri Bengal Barat selama dua penggal sejak tahun 2011, telah kalah di kawasan Nandigram yang ditandinginya. Sebuah parti menang besar dalam pilihanraya, tetapi pemimpinnya yang sepatut kekal sebagai Ketua Menteri pula kalah di kawasan yang ditandinginya, memang sesuatu yang luar biasa.

BJP yang hanya menang 3 kerusi dalam Pilihanraya Negeri Bengal Barat pada tahun 2016, telah menambahkan kerusi yang dimenanginya secara signifikan, dengan memenangi 77 kerusi. Ini merupakan satu petanda bahawa polarisasi perkauman masih mengancam negeri di Bahagian Timur India itu.

Yang menyedihkan untuk golongan kiri di Bengal Barat adalah, CPI(M) yang pernah memerintah Bengal Barat selama 34 tahun berturut-turut (dari tahun 1977 hingga 2011) tidak dapat memenangi apa-apa kerusi dalam Pilihanraya Negeri Bengal Barat kali ini. CPI(M) masih boleh memenangi 26 kerusi dalam pilihanraya negeri pada tahun 2016, tetapi kali ini satu kerusi pun tidak dapat dimenangi di sebuah negeri yang pernah menjadi kubu kuat politik kiri. CPI(M) semakin kehilangan pengaruh politiknya di Bengal Barat selepas kalah kepada TMC dalam pilihanraya negeri tahun 2011. CPI(M) telah kehilangan sokongan daripada golongan petani (yang pernah pada satu ketika dahulu amat kuat kerana dasar reformasi tanah yang dilaksanakannya) kerana dasar-dasarnya yang mesra pelabur pada tahun 2000-an seperti mengambil tanah petani secara paksaan untuk membina kilang perindustrian. Kerjasama CPI(M) dengan INC amat tidak produktif. Kegagalannya dalam menangkis politik perkauman yang menyebabkan polarisasi masyarakat, telah menyebabkan pengundi Hindu yang mengundi CPI(M) telah menukar sokongan mereka kepada BJP, sementara undi daripada pengundi Muslim pula beralih kepada TMC. CPI(M) dan INC langsung tidak memenangi apa-apa kerusi di Bengal Barat dalam pilihanraya kali ni. Bersekutu dengan Pirzada Abbas Siddiqui, seorang ulama yang kontroversi dengan pandangannya yang fundementalis dan reaksioner, juga menyebabkan CPI(M) kelihatan menggadaikan prinsipnya dalam isu berkaitan dengan politik dan agama semata-mata untuk menang dalam pilihanraya (tetapi terbukti gagal menang apa-apa kerusi).

Tamil Nadu, Assam dan Puducherry

Di negeri Tamil Nadu, Pakatan Progresif Sekular (SPA) yang diterajui oleh Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) dan INC, menangi sebanyak 159 kerusi (meningkat sebanyak 61 kerusi), membolehkannya menewaskan Pakatan Demokrasi Kebangsaan (NDA) di Tamil Nadu yang diterajui oleh AIADMK (sebuah parti yang berpecah daripada DMK sejak tahun 1972) dan BJP, yang hanya memperoleh 75 kerusi. AIADMK telah memerintah Tamil Nadu untuk dua penggal sebelum ini. CPI(M) dan CPI yang turut menyertai gabungan SPA, masing-masing memenangi 2 kerusi di dalam Dewan Perundangan Tamil Nadu.

Di negeri Assam, gabungan NDA yang diterajui oleh BJP yang memerintah negeri itu sejak tahun 2016, mengekalkan kekuasaannya dengan memenangi 75 daripada 126 kerusi yang dipertandingkan (kurang sebanyak 11 kerusi); sementara Pakatan Progresif Bersatu (UPA) yang diterajui oleh INC menang 50 kerusi. CPI(M) yang menyertai gabungan pimpinan INC di Assam telah menang 1 kerusi.

Di Puducherry, INC yang memerintah untuk penggal yang lalu telah ditewaskan oleh gabungan NDA yang diterajui oleh AINRC dan BJP. NDA memenangi 16 daripada 30 kerusi yang dipertandingkan, sementara gabungan UPA yang diterajui oleh INC dan DMK hanya menang 9 kerusi.

One thought on “India: Fron Demokratik Kiri kekal memerintah Kerala

Leave a Reply to Politi Scheiss Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *