Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Sharan Raj

Report on Peninsular Malaysia Generation Development Plan 2020 (2021–2039) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga amat mengejutkan kerana Kerajaan Persekutuan akan memastikan model pengeluar tenaga bebas (IPP) yang berasaskan bahan api fosil itu diteruskan sehingga tahun 2039.

Antara tahun 2021-2039, walaupun Kerajaan Persekutuan akan menutup IPP berasaskan bahan api fosil yang lama dengan kapasiti hampir 17,000MW, tetapi Kerajaan Persekutuan akan membina IPP baharu yang berasaskan bahan api fosil dengan kapasiti lebih 17,000MW.

Malaysia perlu mencapai 100% Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam sektor elektrik selewat-lewatnya tahun 2035 untuk membendung krisis iklim yang sedang mengancam tamadun manusia.

Pada tahun 2020, hampir 66% daripada keperluan elektrik Semenanjung Malaysia telah dijana dengan mengimport arang batu bernilai RM9 bilion yang menjejaskan matawang Ringgit dan kedaulatan tenaga.

Di samping itu, IPP yang berasaskan bahan api fosil yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir pada tahun 1990-an telah memperkayakan kapitalis kroni sementara memiskinkan rakyat kerana tarif elektrik yang tinggi.

Di peringkat dunia, kos tenaga boleh baharu (TBB) sedang menurun dengan cepat manakala kos bahan api fosil semakin meningkat dengan secara mendadak. Kegagalan untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dalam tempoh masa 15 tahun akan memaksa rakyat untuk membayar tarif eletrik yang membebankan.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada Kerajaan Persekutuan supaya memperkenalkan moratorium kekal terhadap IPP yang berasaskan bahan api fosil untuk memacu Malaysia ke arah 100% Tenaga Boleh Baharu (TBB) sebelum tahun 2035.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada Kerajaan Persekutuan untuk menyempurnakan Sistem Grid Elektrik Pintar sebelum tahun 2025 untuk mengendalikan ketidaktentuan bekalan tenaga boleh baharu (TBB) dan mengurangkan tarif elektrik untuk rakyat.

Kerajaan Persekutuan harus membatalkan kelulusan untuk Stesen Janakuasa Pulau Indah (PIPP) di Selangor ketika ia masih di peringkat perancangan.

==========

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *